SELAMAT DATANG

Sabtu, 7 Ogos 2010

Chua Soi Lek kata negara umat Islam paling ramai makan rasuah!


Presiden MCA Chua Soi Lek yang terpalit dengan skandal seks menyerang parti Umno rakan sekutunya dalam BN dan juga Pas kerana guna agama untuk pikat orang Melayu. Harus diingat dalam pru-12 yang lalu parti Cina MCA ditolak masyarakat Cina hingga menjejaskan pengaruhnya dikalangan masyarakat Cina.

Nak salahkan siapa bila Chua Soi Lek kata "Kita perhatikan Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu. Kita timbulkan isu ini bagi memembolehkan masyarakat Cina berfikir mengenainya,” katanya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, hari ini. "Jangan optimistik bahawa jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Perlu diingat ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam,” katanya.

Chua berkata di bawah pemerintahan PAS, generasi muda tidak akan mempeduli untuk mempelajari impak ke atas negara yang mungkin menjejaskan keadaan sosial dan pembangunan ekonomi negara.

Dalam ucapannya, Chua merujuk kepada buku tulisan, Syed Akbar Ali yang berjudul "Malaysia and the Club of Doom", yang mana pengarangnya menyenaraikan beberapa ciri-ciri umum di 57 negara-negara Islam di seluruh dunia.-Malaysiakini -.Guna agama raih sokongan -Umno-Pas dibidas.

Dulu Umno , kini dan selamanya tuduh Pas guna agama untuk kepentingan politik.Bagi Pas pulak dasarnya ialah Islam yang tak mengasingkan agama dan politik. Bagi Pas amalkan politik suku agama suku itu bukan kamus Pas.

Chua Soi Lek ambik rujukan orang Islam untuk serang parti politik yang jadikan agama sebagai dasar perjuangan mereka.Chua lepaskan peluru yang dibekalkan orang Islam untuk hentam umat Islam . Adakah Chua berkata demikian untuk tarik hati masyarakat Cina yang tolak MCA parti perkauman yang bersekutu dengan Umno perintah Malaysia?

Hidup ni kalau tak bersandarkan kepada agama nak bersandarkan kepada apa. Takkan nak jadikan kepala lutut sebagai tuan sandaran kita.Longgarnya pegangan agama yang menyebabkan ratusan ribu anak zina dilahirkan di negara kita . Apa yang kita buat?

Saman ekor: Kerajaan kemaruk duit rakyat


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS berpandangan tindakan saman ekor menampakkan kerajaan begitu kemaruk duit rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ianya bertentangan dengan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, realiti yang berlaku adalah saman diutamakan, rakyat dibebankan.

Katanya, PAS bimbang rakyat yang menjadi mangsa saman ekor yang dilonggokkan sejak sekian lama akan tertekan untuk membayar saman.

Justeru, ujarnya jalan mudah untuk membayar saman ialah dengan meminjam daripada along.

“Kalau ini berlaku maka akan bertambah masalah sosial di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, tegasnya, PAS mendesak supaya saman ekor dibatalkan, dan mencadangkan supaya dihadapkan mereka ke muka pengadilan, bukan memakai undang-undang rimba.

“Cukuplah rakyat terlalu menderita dengan kenaikan harga barang dan kos hidup melambung dan dibebani pula dengan saman ekor,” katanya lagi.

PAS juga, katanya tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan bahawa pihak polis akan mengurangkan bayaran saman bagi setengah kesalahan jalanraya supaya meringan bebanan kesalahan jalan raya.

Beliau berkata, apa yang dituntut oleh PAS dan rakyat yang menjadi mangsa, saman ekor mesti dihapuskan kerana ia menyalahi prosedur undang-undang.

PAS, tambahnya mempersoalkan kenapa begitu mudah kerajaan menyiksa rakyat dengan menyaman mereka yang belum tentu bersalah.

Beliau mempersoalkan kaedah manakah yang mereka ambil untuk mendenda rakyat tanpa dibawa ke pengadilan.

“Kenapa pihak polis dan JPJ menunggu begitu lama untuk disenarai hitam mereka yang bersalah sejak tahun 2000?

“Apakah ini bukan satu kezaliman terhadap rakyat di negara ini?” soalnya.

Sekarang, katanya sudah ada 1.07 juta orang yang menjadi mangsa.

Apa yang paling malang sekali, tambahnya semua kereta akan disenarai hitam selagi atas nama tertuduh.

“Semua kenderaan tidak dapat cukai jalan. Tindakan ini merugikan negara kerana cukai jalan dan insuran tidak boleh diperbaharui,” ujarnya.

Selamatkan Selangor dari Umno

Roslan SMS

Kebelakangan ini Umno Selangor kelihatan sibuk menganjurkan program yang mereka kenali sebagai roadshow gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan? Dianjurkanlah ceramah di sana-sini, dengan pendekar mereka seperti Ezam Md Nor, Zahid Md Arip selain Noh Omar dan lain-lain bergilir-gilir bersyarah menghamburkan fitnah dan kata nista kepada musuh-musuh politik mereka. Selamatkan Selangor dari apa?

Sedangkan pada 8 Mac lalu rakyat di Selangor khasnya bangkit memenangkan calon-calon PKR, DAP dan PAS kerana mereka sudah bosan dan hilang harapan pada Umno. Umno pincang, Umno rasuah, Umno gasak harta dan kekayaan negeri, lantas Umno dan BN ditendang keluar angkara kemarahan rakyat!

Tiba-tiba hari ini tak sampai 29 bulan, Umno seolah-olah bagaikan malaikat mengajak rakyat mengangkat mereka kembali. Barangkali rakyat Selangor ini sudah lupa, sudah mengampunkan dosa mereka.

Juga, tak tahulah jika sesiapa ada ambil pusing. Atau memang rakyat Selangor pun sudah tidak ambil pusing langsung. Ke mana rakan-rakan Umno di Selangor? Takkanlah kerja nak gulingkan Pakatan Rakyat di Selangor hanya kerja Umno? MCA, MIC, Gerakan mana? Atau memang mereka sudah cedera parah dan tak bangkit-bangkit lagi?

Mahukah rakyat Selangor bersama mengharungi gelombang Umno itu?

Kalau dari raut wajah Noh Omar dan Ezam pada siri-siri ceramah mereka, seakan Pakatan Rakyat sudah hampir tumbang di Selangor esok entahkan Noh entahkan Ezam bakal jadi MB.

Sewajarnya PR Selangor perlu beri perhatian pada tindak-tanduk Umno itu, tetapi yang lebih utama adalah bekerja memperkemaskan jentera dan turun ke bawah bertemu rakyat. Tak mengapalah Umno mahu seronok-seronok pukul curi sana-sini, tetapi kekuatan kita perlu dipertingkatkan dan jentera perlu terus diperkemaskan.

Baru-baru ini buat pertama kali di Selangor, pimpinan Penerangan ketiga-tiga parti peringkat Selangor telah bertemu dengan wakil-wakil jentera penerangan parti seluruh Selangor dalam sebuah majlis bengkel penerangan PR Selangor. Beberapa isu berhubung PR Selangor dibincangkan dan dibengkelkan termasuklah bagaimana cara menambah-baik sistem “delivery” penerangan Selangor agar rakyat terus bersama PR dan menolak BN.

Ternyata hubungan mesra antara jentera penerangan ketiga-tiga parti sudah jelas terjalin, ini diperhatikan sepanjang bengkel dan bagi saya ini jugalah diterjemahkan dalam hubungan sesama PR seluruh Selangor sejak ketiga-tiga parti menguasai negeri bertuah ini.

Umno boleh ghairah menaruh cita-cita dan impian untuk merampas kembali negeri ini, itu hak mereka. Tetapi selagi ketiga-tiga parti boleh duduk bersama, mesra bekerja bagi mempertahankan kemenangan ini dengan jujur dan ikhlas. Noh dan Ezam boleh terus main gelombang, tetapi kesannya jauh tak mencecah minat rakyat.

Kerajaan PR Selangor akan terus kukuh kerana ia dibina atas kehendak rakyat. Ia dibina oleh mereka yang menghargai dan menghormati kehendak dan kebajikan rakyat. Ia mungkin baru tetapi ia tidak pernah dalam tempuh memegang amanah ini menodai apa lagi menyalah-guna kepercayaan yang diberi rakyat.

Dari angka-angka penganalisa dan pengkaji politik yang diperolehi oleh PR Selangor penerimaan rakyat terhadap kerajaan ini semakin meningkat, ini sekaligus menunjukkan yang serangan “senapang-senapang angin” Noh, Ezam dan rakan-rakan itu sekadar jolokan-jolokan kosong sahaja, namun tidak harus dipandang ringan.

Agenda utama sekarang adalah bekerja,biarlah mereka dipukul gelombang mereka sendiri.

Saman Ekor: Mahfuz dakwa KPN cuba alih isu

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar mendakwa Ketua Polis Negara, cuba mengalihkan isu sebenar apabila mencadangkan kepada kerajaan agar mengurangkan kadar bayaran saman ekor.

Beliau berkata, isu sebenar adalah bukan kadar bayaran, tetapi tindakan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyekat mereka yang disaman ekor dari memperbaharui cukai jalan.

"Dia (Tan Sri Musa Hassan) faham, atau buat-buat tak faham atau sengaja nak alihkan isu.

"Isu sebenar yang kita tentang adalah menyenarai hitam mereka yang disaman ekor dari memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan" katanya yang juga Naib Presiden PAS kepada Harakahdaily.

Tindakan terbaru Polis Di Raja Malaysia (PDRM) itu juga kata Mahfuz cubaan membuat untung atas angin apabila tidak mahu mengikut prosedur untuk membawa mereka yang disaman ekor ke Mahkamah.

Saman ekor katanya bukan saman, namun hanya notis saman yang perlu dibuktikan bersalah oleh mahkamah sebelum individu yang menerimanya diarahkan membayar.

"Itu juga menunjukkan polis tidak boleh proof kesalahan, dia tidak ada bukti, kamera tidak boleh dijadikan bukti.

"Mereka malas nak ke mahkamah, jadi nak suruh orang tetap bayar, mereka kata kurangkan kadar bayaran," katanya.

Musa semalam memberitahu PDRM telah mengemukakan cadangan agar kerajaan menetapkan kadar kompaun saman ekor yang mampu dibayar pesalah trafik berikutan pelbagai rungutan di kalangan orang ramai berhubung kadar saman itu.

Beliau juga berkata kadar kompaun saman itu juga akan diselaraskan antara dua agensi, iaitu PDRM dan JPJ.

Semalam juga, Kase ke pejabat Kementerian Pengangkutan, menyerahkan memorandum bantahan kepada menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Mereka mendesak menteri menggunakan kuasanya mengarahkan JPJ dan PDRM agar tidak menyenaraihitamkan mereka yang disaman.

Ia kerana, menurut mereka tindakan tersebut adalah bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara boleh menggunakan hartanya.

Jumaat, 6 Ogos 2010

Saman ekor kalau tak mansuh pun, ubahlah!

http://msomelayu.blogspot.com/

ARAHAN Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein agar saman ekor dikaji balik satu pandangan postif yang akan meringankan beban rakyat. Polis dan JPJ yang melaksanakan saman berkenaan tidak perlu berdolak dalih. Alasan untuk menambahkan wang dalam karung kerajaan menerusi kutipan saman itu tidak munasabah. Begitu juga dengan langkah saman itu untuk mendisiplikan pemandu kereta juga tidak mencapai sasarannya.

Sebaiknya saman berkenaan dihapuskan terus. Ataupun kalau tidak mahu menghapuskannya, kerana kutipan wang itu boleh menambahkan pendapatan kerajaan bagi membayar gaji polis yang dinaikan baru-baru ini, jumlahnya hendaklah dikurangkan. RM300 adalah sangat membebankan.

Saya ada cadangan dalam hal ini dan cadangan ini dirasakan adil dan tidak menganiayakan rakyat. Saman ekor bagi kesalahan pertama bolehlah dikenakan RM50 sahaja. Sama kedua dinaikan menjadi RM100 dan saman ketiga RM150. Untuk saman-saman seterusnya dinaikan sehingga 50% hingga 100% menjadi RM300.00.

Cara ini tidak membebankan dan munasabah. Kerana cara penguatkuasaan yang dikenakan kini membebankan bila mana pemilik kenderaan terlibat kena membayar semua saman sekaligus. Bayangkan kalau mereka ada lima saman, bermakna mereka kena menyediakan RM1,500 untuk menggerakkan kenderaan dijalan raya.

Penguatkuasa boleh ditambahkan ke atas mereka yang tetap berdegil untuk membayar saman dengan menggantung terus kenderaan mereka untuk tempoh tertentu sehingga mereka membayar kesemua saman. Had untuk menggantung kenderaan ini biarlah saman itu melepas 10 kali saman atau setelah nilai samannya mencecah ke angka RM5,000.00.

Biasanya kalau kenderaan disaman sampai 10 kali itu bermakna tuan punya kenderaan berkenaan tidak bertanggungjawab dan sengaja mahu melepaskan diri. Mereka yang sebegini wajar dikenakan hukuman keras.

Saya rasa cadangan ini munasabah daripada apa yang dikuatkuasakan kini. Apapun sebaik-baiknya mansuhkan terus saman ekor kerana ianya menganiayaan dan amalan yang tidak praktikal. Lagipun jika mengikut kepada kes saman ekor yang dibawa ke mahkamah ianya dilepaskan oleh mahkamah.

Sudah ada kes-kes saman ekor yang dibawa ke mahkamah tetapi ditolak. Ini bermakna penguatkuasaan saman berkenaan bersalahan dengan undang-undang atau tidak mesra undang-undang. Janganlah pihak polis atau JPJ mengambil kesempatan atas sikap malas dan kurang prihatin rakyat negara ini terhadap undang-undang dan mahkamah. Kebanyakan pemandu yang kena saman mengambil jalan mudah membayar saman kepada polis atau JPJ atas alasan malas naik turun ke mahkamah.

Tidak kurang juga ada yang sanggup menghulurkan wang serendah RM5 kepada polis agar tidak menyaman mereka.

Ketahuilah bahawa wang saman yang dipunggut itu adalah wang yang tidak jelas! Aduhai Mat Maslan kenapala Felda nak bankrup!

GAJI PENGERUSI SYABAS RM425 RIBU SEBULAN

بسم الله الرحمن الرحيم



Salam semua…

Hampir terkejut saya bila membaca laporan akhbar Selangor tentang gaji pengerusi Syabas mencecah RM425000 Sebulan. Menurut Dr. Badrul Amin, Penerangan Negeri Selangor, mutu air di Selangor masih berada di tahap corot walaupun gaji pengerusinya mencecah ratusan ribu.

Pada saya dengan gaji sebanyak itu, pengerusi Syabas sepatutnya TIADA ALASAN untuk bekerja lebih kuat untuk memastikan kualiti air di Selangor berada di tahap yang lebih baik. Apalah gunanya gaji ratusan ribu jika kualiti air di Selangor masih berada di tahap corot. Lebih baik gaji sebanyak itu kita serahkan kepada fakir miskin yang lebih memerlukan daripada kita beri kepada orang yang gagal menjalankan tanggungjawab.

Inilah yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan BN. “Yang Kaya Bertambah Kaya, Yang Miskin Papa Kedana”. hmm….

LAWAN TETAP LAWAN!!!! - Shamsul Iskandar

Khamis, 5 Ogos 2010

Saman ekor: Kase mahu menteri guna kuasa

Nazri Abdullah

PUTRAJAYA, 5 Ogos: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mahu Menteri Pengangkutan menggunakan kuasanya mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menyekat pembaharuan lesen kenderaan kepada mereka yang disaman ekor.

Selain itu, mereka juga mahu menteri mengarahkan JPJ menarik balik arahan menyenarai hitam selagi mereka yang diberi notis saman tidak dibukti bersalah.

Ini kerana tindakan JPJ itu bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana tidak dapat bertemu menteri sendiri dan hanya menyerahkan kepada setiausaha akhbarnya.

Turut serta pada serahan itu Yang Dipertua PAS Putrajaya, Nazir Zakaria, Adun Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff.

Tambahnya, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan JPJ menyenarai hitam mereka yang diberi notis saman adalah pelik dan salah.

"Polis buat salah, suruh pula JPJ buat salah," katanya.

Menurutnya, saman ekor dikeluarkan oleh PDRM bukan saman, tetapi hanya notis mengesahkan mahlumat.

Manakala untuk menentukan bersalah dan dikenakan saman, ianya perlu dibawa ke mahkamah.

"Yang menentukan bersalah adalah mahkamah, bukan polis, bukan JPJ," katanya.

Apa yang dibimbangi katanya, dengan keputusan terbaru ini akan menggalakkan rakyat memandu tanpa lesen dan tanpa cukai jalan atau cukai jalan palsu.

Tambahnya, lebih teruk ianya juga bakal menyumbang kepada rasuah bagi memadam nama yang disenarai hitam.

Kase dilancar 2 Ogos lalu dalam usaha PAS membela nasib mereka yang menjadi mangsa saman ekor.

Kase berpendapat, selain menganiaya rakyat, saman ekor juga bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan yang membenarkan seseorang menggunakan hartanya.

Sehubungan itu, dalam fasa kempen mereka, Kase juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri minggu ini, dan membuat aduan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam masa terdekat.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan hari bertemu mangsa pada 9 dan 10 Ogos bagi memberikan khidmat nasihat undang-undang kepada mereka.

Bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor, pertemuan akan diadakan di auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) manakala bagi mereka yang tinggal di Melaka dan Negeri Sembilan, pertemuan akan diadakan di Seremban.

Isnin, 2 Ogos 2010

PAS Wilayah lebar sokongan bukan Islam

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan satu peluang yang harus digunakan sebaik mungkin oleh PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan sokongan kepada orang bukan Islam, kata Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Hatta juga yakin kerterbukaan yang ditunjukkan PAS ketika ini akan turut mendapat sokongan daripada orang Islam terutamanya ahli PAS sendiri.

"Kita menerima bahawa penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai satu peluang yang baik kepada pada PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan tapak sokongan kepada masyarakat bukan Islam dan saya yakin keterbukaan ini pula akan mengundang sokongan daripada umat Islam sendiri, terutamanya ahli," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja ‘Islam Adil Untuk Semua’ di majlis Munaqasyah Ucapan Presiden, dekat sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut berkata, PAS Wilayah harus menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan suasana majmuk di kawasan ini dengan memperbanyak program bersama dua rakan dalam Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Pendekatan PAS Wilayah Persekutuan ini harus disesuaikan dengan kemajmukan keadaan di Kuala Lumpur dan melalui program bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat kita akan dapat menembusi halangan-halangan yang selama ini mungkin kita hadapi," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan parti agar memperkasa pengkaderan ahli agar dapat menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan.

"Dari segi muhasabah dalaman saya rasa cukup elok untuk memperkemaskan proses pengkaderan ahli supaya menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan dan komited dengan kerja-kerja parti," ujarnya.

Selain itu katanya, pengurusan organisasi parti harus diperkemaskan dari semua aspek terutamanya penyampaian maklumat kepada ahli dan rakyat keseluruhannya serta mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang mengamalkan keterbukaan dan mesra rakyat.

"Semua bersetuju bahawa parti perlu diurus dengan lebih berkesan dari segi organisasi, kesetiausahaan dan penyampaian maklumat dan penerangannya.

"Perlu menggunakan pendekatan yang lebih profesional dalam pengurusan parti dan yang saya nampak juga kita harus mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang terbuka, lebih mesra rakyat bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam," katanya.

Terdahulu, munaqasyah itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

Sebanyak enam kawasan dan keempat-empat dewan iaitu Dewan Ulama, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong membahaskan ucapan tersebut.

Antara topik yang mendapat perhatian peserta ialah mendepani masyarakat majmuk yang dibahaskan oleh kawasan Wangsa Maju.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa dan Pengerusi DHPP Wilayah Persekutuan, Vincent Lee.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails