SELAMAT DATANG

Selasa, 12 Jun 2012

PERUTUSAN ISRA' WAL MI'RAJ YDP PAS PUTRAJAYA

ASSALAMUALAIKUM WRMTWBRT


Saban tahun setibanya bulan Rejab kita sebagai umat Islam sudah pasti mengingati suatu peristiwa besar yang tidak pernah berlaku kepada sesiapa pun dan kepada mana-mana tamaddun pun, tetapi berlaku dan dialami oleh baginda Nabi SAW iaitulah peristiwa perjalanan yang jauh tetapi mengambil masa yang singkat. Perjalanan Isra' dan mi'raj Rasulullah SAW ini telah diwartakan oleh Allah SWT seperti FirmanNya di dalam Surah AL-Isra':


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Yang bermaksud: Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya pada waktu malam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya kami menunjukkan kepadanya di antara tanda-tanda kebesaran kami, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah Al Isra’: 1)


Antara Pengajaran Isra’ Dan Mi’raj

Saudara Saudariu Sekelian,

Perjalanan ini sebenarnya adalah perjalanan kita hamba Allah bermula dari kita dilahirkan hinggalah roh kita melewati pintu-pintu langit untuk bertemu dengan Allah Azzawajalla. Apa mungkin roh hamba Allah akan diizin melewati pintu-pintu langit seperti diizinnya Rasulullah SAW sekiranya di dalam perjalanan hidup kita ini tidak diawali dengan pembersihan jiwa, dimasukkan iman dan hikmah (ilmu) terlebih dahulu?

Kita sedari atau tidak, dalam perjalanan hidup menuju ke hadhrat Allah Azzawajala ini kita menempoh seruan yang pernah menyeru Rasulullah SAW. Di kiri kanan kita diseru saepanjang masa oleh desakan dunia, rayuan syaitan, yahudi dan nasrani agar kita terpesong dari jalanNya. Hanya memilih dan mengikut panduan Allah sahaja (Fitrah) kita akan terselamat sampai menuju Hadhrat Allah.

Saudara Saudari;

Isra’ dan Mi’raj merupakan ujian bagi orang-orang islam dan bertujuan membersihkan saf  mereka, kerana ketika diberitakan kepada kaum Quraisy tentang Isra’ dan Mi’raj maka sebahagian daripada orang-orang Islam teruji iman mereka malah ada di kalangan mereka yang murtad. Imam Ibnu Kathir meriwayatkan dari Qatadah bahawa: “Nabi SAW pergi ke Makkah dan memberitahu orang-orang Quraisy tentang perkara tersebut (Isra’ dan Mi’raj), maka ramai manusia yang mendustakan baginda SAW, dan sebahagian lagi murtad, sedangkan Abu Bakar As-Siddiq RA segera membenarkan baginda SAW, dan beliau bertanya kepada baginda SAW tentang sifat Baitul Maqdis, seraya berkata, “Sesungguhnya aku membenarkannya tentang berita langit pada waktu pagi dan petang, maka tidakkah patut aku membenarkannya tentang pengkhabaran Baitul Maqdis?” Maka sejak peristiwa tersebut beliau digelar sebagai sebagai As-Siddiq. Demikianlah Isra’dan Mi’raj sebagai satu peristiwa yang penuh dengan keindahan dan mukjizat, ia adalah antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang sudah tentu tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa pun sama ada di bumi mahupun di langit, dan di antara pengajaran Isra’dan Mi’raj ialah:

1. Menguji kebenaran iman orang-orang yang beriman.
2. Membersihkan saf mereka daripada orang-orang yang lemah iman dan tidak yakin dengan kebenaran Nabi SAW.
3. Menguji keyakinan dan keteguhan iman di dalam jiwa mereka, kerana peristiwa tersebut di luar jangkauan akal manusia, ia memerlukan kepada mu’min yang benar dalam imannya, tidak ada sesuatu pun yang mampu menggoyangkan keyakinannya walau sebesar dan sedahsyat mana pun perkara itu.

Isra’ dan Mi’raj berlaku sebelum peristiwa hijrah ke Madinah dan sebelum peninggalan rumah-rumah dan tanah air, supaya ia menjadi ujian dan latihan bagi orang-orang mu’min untuk mentaati Allah Azza Wajalla, kerana hijrah adalah satu peringkat yang baru, yang mana seluruhnya adalah jihad dan pengorbanan di jalan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mukmin (yang sebenar) ialah mereka yang beriman dengan Allah SWT dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” (Al Hujurat : 15)

Kewajipan Berjihad Di Jalan Allah

Isra’ dan Mi’raj adalah pengumuman kepada seluruh dunia bahawa Rasulullah SAW merupakan Nabi kepada dua kiblat (Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa) dan Imam kepada timur dan barat serta pewaris bagi para nabi sebelumnya dan contoh tauladan kepada generasi selepasnya.

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hambanya agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam ” (Al Furqan: 1)

Ketahuilah bahawa menjadi satu perkara yang besar, pelik dan bahaya untuk kita bercakap atau menulis tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sedangkan bumi Isra’dan Mi’raj, laluan penghulu segala makhluk SAW dan tempat baginda mengimami para Anbiya’ berada di bawah tangan orang-orang yahudi, mereka bebas melakukan apa sahaja terhadap penduduk-penduduknya, menumpahkan darah-darah mereka dan memusnahkan kehidupan mereka, dan para ibubapa menyaksikan detik berpisah dengan anak-anak mereka, para syuhada’ yang mulia, dan rumah-rumah menangis ketika melihat perarakan mengiringi para syuhada’ menuju ke tempat tinggalnya yang terakhir di dunia ini. Ironiknya, dunia Islam seluruhnya seolah-olah terbius, tiada pembelaan yang sewajarnya dilakukan seolah-olah isu Masjidil Aqsa ini langsung tiada kaitan dengan dunia Islam.

Saudara saudari, 

Sedarlah bahawa menjadi sesuatu yang sangat bahaya apabila sensitiviti terhadap islam itu telah mati, nyenyak dalam tidurnya. Ketahuilah, bahawa menjadi sesuatu yang sangat genting apabila umat Islam sibuk dengan perkara-perkara remeh, salah faham dan saling berselisisih pendapat dalam menentukan halatuju mereka yang akhirnya memalingkan mereka daripada jalan yang benar dan misi yang agung. Sesungguhnya risalah Islam yang mulia dan jihad Nabi SAW bersama para sahabatlah yang memberikan kehidupan ini erti yang sebenar, dan tidak sepatutnya bagi pendukung-pendukung agama yang agung ini untuk redha dengan kehinaan dan kelemahan, sedangkan perlembagaannya yang kekal (Al-Quran) telah menetapkan:

“Dan kehebatan itu hanya bagi Allah, Rasulnya,dan orang-orang yang beriman”. (Al Munafiqun: 8 )

Dan Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang memberikan kehinaan pada dirinya tanpa dipaksa maka dia bukanlah dari kalanganku”.

Sesungguhnya satu-satunya jalan untuk mendapatkan semula Masjidil Aqsa telah jelas, lebih jelas dari cahaya matahari, iaitulah Jihad di jalan Allah dan syahid demi menyelamatkan umat ini. Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi (untuk berperang) kerana mereka dizalimi dan Allah Maha berkuasa membantu mereka” (Al Haj: 39)

Dan orang-orang yang berjihad di jalan Allah demi membantu orang-orang yang dizalimi, dan demi membalas kejahatan, permusuhan, penjajahan, dan kerosakan mereka sahajalah yang akan dikurniakan kehidupan yang sebenar. Adapun mereka yang menghina orang-orang yang meminta pertolongan mereka ketika susah dan bencana, dan tidak menyahut seruan orang yang dizalimi maka merekalah orang-orang yang keluar dari dunia dalam keadaan tidak dimaafkan bagi mereka dan tidak akan dikasihani oleh seorang pun. Renungilah maksud firman Allah SWT:

“Maka langit dan bumi tidak menangisi pemergian mereka dan mereka tidak diberikan penangguhan waktu.” (Ad Dukhon: 29)

Muslimin dan Muslimat Sekelian

Hari ini kita menyambut Isra’dan Mi’raj dengan kita meyakini keagungannya. Justeru itu keyakinan ini hendaklah diikuti aqidah yang teguh dan keikhlasan hati dalam melaksanakan ajaran kebenaran (Islam) ini dari sudut ibadat, muamalat, dan akhlak kerana sesungguhnya jika benarlah amalan dan keikhlasan yang berada di dalam diri kita nescaya kita akan mampu — dengan izin Allah — untuk berjaya didalam segala aspek kehidupan, dan berjaya menutup segala pintu-pintu putus asa, kegagalan dan kelemahan.

Sesungguhnya tanggungjawab umat — pemerintah dan rakyat — pada saat ini adalah terlalu besar, dan pada hari ini Baitul Maqdis — pusat dunia Islam — dan sekelilingnya meraung sebagai orang-orang yang dizalimi dan dihina dengan penindasan mereka yang paling memusuhi orang-orang yang beriman… Keadaan Masjidil Aqsa hendaklah menjadi agenda utama umat Islam hari ini, dan juga bagaimana cara untuk mengembalikannya semula ke tangan umat Islam. Kita perlu menggunakan semua wasilah-wasilah yang dibenarkan oleh syara’ untuk merealisasikan tujuan ini. Inilah perkara yang wajib dilakukan dan misi yang agung. Inilah peristiwa yang mulia di antara peristiwa-peristiwa dan salah satu tanda yang agung di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

“Sesungguhnya pada perkara tersebut terdapat peringatan bagi mereka yang mempunyai hati atau orang yang menggunakan pendengaran sedang dia menyaksikannya.” (Qaf : 37).

Ustaz Mohamad Nazir Zakaria
YDP PAS Putrajaya

Himpunan Hijau Menuju Putrajaya

Intipati Ucapan Presiden PAS

Munajat dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya

Firman Allah:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa  jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)

1. Mukadimah

  • PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan petunjuk Allah,  dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t., insyaAllah. Sudah tiba masanya BN diundurkan, kerana tempoh masa terlalu panjang sehingga terdedah banyak kesilapan yang memalukan. Kalau dibiarkan berterusan, menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.

  • Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut. Justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.

  • Dalam menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.

  • Marilah kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة
Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .


2.  Kandungan


2.1 Allah menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 – 13)

  • Allah s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفوز الغظيم) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فتح قريب) di dunia.

  • Kemenangan akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله) setelah kita mempersiapkan ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak, komited, pimpinan-pimpinan parti yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti yang tepat.


2.2 Menegaskan kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.

  • Tiada percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):

“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

Memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah: (آل عمران)

104.  Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.

  • PAS sedia berdailog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan pendirian PAS yang sentiasaberistiqamah.

  • Membangunkan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia, malah kepada seluruh alam sejagat.

  • PAS menyeru kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang dikemukakan:

“Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات) dan saling bekerjasama (التعاون) ke arah kejayaan (الفلاح) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat.”

Allah membuat perbandingan dengan firmannya: (البقرة)
200.  Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.
201.  Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

  • Model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO dan BN, kerana  sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan Bumiputera.

  • Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah kepada alam sekitar.

2.3 PAS telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

  • UMNO sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

  • Dasar perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di Malaysia. Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan rakyat yang berteraskan adil kepada semua .

  • Dengan semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakang al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam. Hukum-hukum Allah dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.

  • Apabila Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak dapat dipertahankan.

  • UMNO juga bertanggungjawab

-          Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.

-          Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi

-          Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.

-          Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing.

-          Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah. Antaranya dengan menafikan hak kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Serawak.

  • Pemerintahan UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun. Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.

  • PAS benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran al-Quran dan al-Sunnah.

2.4 PR juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.

  • Negara Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara semakin runtuh dengan:

-          Terhakisnya semangat federalisme.

-          Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja Melayu.

-          Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa, sehingga Institusi Kehakiman tidak lagi berwibawa dan hilang keyakinan.

-          Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri.

-          Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.

-          Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah begitu besar.
-          Ketika orang lain mengambil contoh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat, BN yang berketuakan Umno menipu dan merasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan apa sahaja.

  • Masa depan ekonomi Negara juga semakin suram.

-          Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion melebihi 53% KDNK Negara.

-          Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.

-          Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.

-          Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah.

  • Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.

  • Dasar dan polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air Asia.

  • Begitulah kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya.
فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة


2.5 Roadmap ke Putrajaya

  • PAS menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung Malaysia di samping melipat-gandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.

  • PR perlu memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:

-          Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008

-          Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU ke-12 2008.

-          Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

  • PAS mesti berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia di perintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

  • PAS mesti berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di samping berusaha menawan negeri Perlis.

  • PAS mesti berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

  • PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

  • PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3 - 4 % dengan langkah-langkah berikut:

-          Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.

-          Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.

-          Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar. Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut.

-          Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

  • PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepadapengundi-pengundi Muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.

  • PAS melalui Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

  • PAS melalui Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

  • PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan “PAS for All”.

  • Semua ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpujisupaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.

2.6 Persiapan Ahli-ahli PAS

Firman Allah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

  • Berdasarkan ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling sengit.

  • Para petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.

  • Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang tidak perlu dan mengutama semangat syura dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

  • Mempereratkan hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.

3. Penutup

  • Saya menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita , melaksanakan tugas dengan Istiqamah dan Iltizam , semata-mata mencapai keredhaan Allah.
  • الله أكبر ولله الحمد

CERAMAH UMUM ANJURAN PAS KAWASAN PUTRAJAYA






SEMUA DIJEMPUT HADIR

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails