SELAMAT DATANG

Sabtu, 29 Ogos 2009

Isu rotan Kartika: BN diperangkap 'negara Islam' ciptaan sendiri


KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Di tengah-tengah kekecohan berhubung hukuman rotan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno, terdedahlah kelemahan kerajaan Barisan Nasional melalui sikap berdolak-daliknya dan hipokrasi dalam pelaksanaan undang-undang syariah.

Selasa lalu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menggesa Kartika, yang didapati bersalah kerana minum arak, supaya merayu hukuman enam sebatan yang perlu dihadapinya.

Tindakan beliau dilihat dibuat kerana kebimbangan kerajaan selepas dikejutkan dengan liputan meluas media antarabangsa berkenaan kes itu, yang sudah tentu akan menjejaskan imej keterbukaan pentadbiran sekarang yang cuba diketengahkannya.

Pada sebelah malamnya pula, hanya beberapa minit sebelum berbuka puasa, Najib bangkit setapak lagi meminta pihak berkuasa agama supaya tidak mengutamakan hukuman rotan.

Hukuman fizikal sepatutnya menjadi pilihan terakhir, kata beliau yang mungkin telah menyedari Kartika tidak akan merayu hukuman rotannya itu.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan mengapa Kartika yang sepatutnya sejak Isnin lalu dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman rotan, dihantar semula pulang.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa kakitangan penjara tidak ada kepakaran merotan menurut peruntukan undang-undang syariah yang mensyaratkan rotan tidak diangkat mengatasi kepala.

Hishammuddin dilaporkan berkata, keperluan Jabatan Penjara yang di bawah seliaannya untuk melaksanakan hukum sebat mengikut undang-undang Syariah merupakan satu perkara baru dan mustahil untuk dilaksanakan tanpa pengalaman.

Tambahnya lagi kaedah hukuman itu akan dikaji secara mendalam oleh pegawainya dengan pihak berkuasa agama untuk memastikan keadilan.

Tindakan beliau itu satu lagi usaha untuk menjarakkan kerajaan persekutan daripada hukuman rotan itu kerana bimbang dengan implikasi hukuman tersebut di peringkat antarabangsa.

Kartika telah berjaya menarik simpati media dengan keputusannya untuk menerima hukuman itu dan turut meminta supaya dirotan di tempat awam, lantas berjaya dilihat sebagai mangsa.

Hakikatnya kerajaan BN telah terperangkap dalam usahanya untuk menunjukkan ia lebih mempunyai kelayakan Islam daripada PAS.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga jelas tidak gembira dengan hukuman rotan itu dalam catatan terbaru blognya.

Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum beer, kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

Beliau jelas bimbang parti yang diketuainya selama lebih dua dekad kini cuba mengikuti rentak PAS dan kehilangan jati diri yang dipertahankannya sebelum ini.

Anehnya Dr Mahathirlah yang sebelum ini memulakan permainan berlumba-lumba menunjukkan pentadbirannya lebih Islami berbanding PAS.

Hampir dua tahun selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan kemenangan beberapa kerusi baharu PAS di Selangor dan Perak beliau membuat perisytiharan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Pengumuman itu dibuat sebagai menyahut cabaran Presiden PAS ketika itu Almarhum Datuk Fadzil Noor.

Walaupun Dr Mahathir dalam pengumuman pada tahun 2001 itu semasa mesyuarat agung Gerakan sebenarnya cuba membentuk sendiri dan merampas definisi negara Islam, tetapi ia ditafsir banyak pihak sebagai langkah ke arah pelaksanaan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara.

Penggantinya pula Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambung tradisi itu dengan memperkenalkan Islam Hadhari.

Hari ini melalui kes Kartika, kerajaan BN terperangkap dalam jerat "negara Islam" yang dipasangnya sendiri

Kepala Lembu Berdarah: Usaha Umno jatuhkan kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 29 Ogos: Pakatan Rakyat Selangor mendakwa perarakan 'kepala lembu' yang masih segar berdarah semalam di depan Pejabat Menteri Besar Selangor sebagai usaha terbaru 'pelampau Umno' untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.

Bercakap di depan Balai Polis Seksyen 11 Shah Alam pagi tadi, Ahli Parlimennya Khalid Samad mendesak pihak polis segera bertindak ke atas ekstremis-ekstremis Umno terbabit supaya insiden yang sama tidak lagi berulang.

"Umno ini sudah jadi parti yang ekstrem. Di tempat-tempat-tempat lain pun, Umno sudah berdemontrasi ekstrem sebegini, di Kuala Selangor, Ijok, Tanjong Karang.

"Mana-mana tempat yang dia nak api-apikan semangat perkauman yang sempit (serta) sentimen agama (Islam) yang salah, mereka terus buat. Sebab itu, Polis perlu bertindak.

"Kalau polis tidak bertindak dan dilihat seolah-olah bersama-sama mereka (pelampau Umno), ini akan menyebabkan tindakan yang lebih liar berlak," kata Khalid.

Beliau yang dikenali sebagai penyokong kuat PAS dalam Pakatan Rakyat turut mempersoal sikap 'tunggu dan lihat' Polis ketika perhimpunan itu berlangsung.

"Mereka (Polis) tidak boleh kata: Kami menunggu laporan mana-mana pihak dibuat dahulu. Bolehkah Polis �tunggu dan lihat� cermin sebuah kereta dipecah penceroboh, atas alasan menunggu rakyat atau pemilik kereta itu sendiri buat laporan; baru boleh bertindak," katanya.

Bercakap pada sidang media yang sama, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr. A. Xavier Jayakumar turut melahirkan rasa kesal atas pelampau-pelampau terbabit.

"Kita tidak mahu keharmonian rakyat menjelang Hari Merdeka ke-52 ini digugat oleh demopntrasi yang penuh melampau itu. Kita minta Polis segara bertindak sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku," katanya.

Ujarnya lagi, mana-mana pihak termasuk Umno sendiri dibenarkan berdemontrasi secara aman. Kerajaan negeri konsistan tidak akan menentang hak asasi tersebut.

Namun, demontrasi ekstrem seperti semalam sebenarnya melanggar undang-undang serta perlu tindakan segera oleh pihak Polis.

"Mereka boleh demontrasi. Kita tidak akan tentang. Tetapi, demontrasi yang melampau seperti itu sesiapa pun lihat melampaui undang-undang. Jadi, saya gesa polis bertindak pada demontran yang melampau," katanya.

Beliau turut menjelaskan inti maklum balas pihak Polis sebelum membuat kenyataan media di sini.

"Saya diberitahu dia ada masalah peribadi di Alor Star. Pegantinya juga ada masalah peribadi di Shah Alam. Jadi, dia menyuruh kita (Pakatan) bertemu dengan Ketua Polis Daerah Shah Alam," katanya.

�Kita tidak mahu keharmonian rakyat menjelang Hari Merdeka ke-52 ini digugat oleh demontrasi yang penuh melampau itu. Kita minta Polis segara bertindak sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku," katanya.

Turut menyertai kenyataan media di sini, Adun Batu Tiga dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Ketua Penerangan PAS Pusat Idris Ahmad pada satu kenyataan media yang lain petang tadi, menegaskan demontrasi melampau itu bukannya berdasarkan ajaran Islam, sebaliknya amalan tradisi Umno sejak ditubuhkan lagi.

Tambahnya lahi, "Apa yang mereka buat itu bukan sahaja melampaui undang-undang negara, tetapi jelas membelakangi agama Allah, iaitu Islam dan Rasulullah s.a.w tidak pernah menyuruh ummatnya berbuat demikian atas nama Islam.

"Jika berjuang atas nama Melayu, beginilah akibatnya (melampau)," tegas beliau.

Katanya, PAS berpegang dengan prinsip Islam yang menghargai kehormonian penganut agama-agama lain serta melarang ahli-ahlinya (umat Islam) memaki-hamun kegamaan lain; sebagaimana dalam ayat 108 dari Surah al-An�aam.

Firman Allah bermaksud, �Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.�

Beliau turut mempersoal kredibiliti Polis dan FRU yang tidak membedil kumpulan ekstremis Umno tersebut dengan gas pemedih mata dan pacutan meriam air berasid, sebagaimana beberapa demontrasi aman rakyat seperti Anti-iSA, Mansuh PPSMi dan BERSIH lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Noor Azam Jamaluddin menjelaskan bahawa pegawainya tidak boleh terus bertindak waktu insiden itu berlaku, demi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan agar insiden itu disiasat dan demontrans yang didakwa ekstrem itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Noor Azam juga memaklumkan bahawa pasukannya sudah ditempatkan di beberapa lokasi strategik demi memastikan insiden terbabit tidak berulang.

Nasihatnya, semua rakyat diminta bersabar dan tidak lagi mengeruhkan keadaan, terutamanya di kala negara bakal menempuhi Hari Kemerdekaan ke-54 Isnin depan.

Semalam, kira-kira 50 orang Melayu dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Umno mengarak kepala lembu yang masih segar berdarah dari Masjid Negeri menuju ke pejabat Menteri Besar.

Berdepan Bangunan MBSA, pemuda-pemuda �ekstrem� terbabit kelihatan saling menendang bangkai itu sambil melaungkan �Kami Bantah�.

Pada masa yang sama, kelihatan Pejabat Adun Batu Tiga turut dijadikan medan bantahan dengan contengan, �Khalid-Rodziah, Pengkhianat Bangsa�.

Laungan dan bantahan itu dipercayai khalayak ekoran keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memindahkan kuil Hindu ke lokasi yang baru di Syeksyen 23 Shah Alam.

Insiden �Kepala Lembu Berdarah� itu merupakan cabaran tergenting Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, setelah isu arak dan penternakan babi yang dipercyaai dicetuskan juga oleh Umno mulai reda belakangan ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar politik melaporkan Umno akan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor pada Hari Kemerdekaan, 31 Ogos ini. _


Samy Vellu perang dengan anak didiknya Sothinathan...

Memutar masa ke belakang mengingati sikap Datuk Seri S Samy Vellu, ada pihak melabelkan Presiden MIC itu seorang yang cukup kontroversi sama ada pertuturan atau tingkah lakunya.

Kadangkala cakapnya ada yang menyakitkan hati bila mengulas isu-isu yang berkaitan partinya ataupun kementerian yang pernah diketuainya.

Barangkali antara menteri Kabinet dan presiden parti paling lama sejak 1979, Samy Vellu cukup bijak mencipta kontroversi demi survival politik dan kedudukannya dalam kerajaan.

Selain dikenali Samy Tol, bekas ahli parlimen Sungai Siput itu juga diingati kerana perang beliau dengan bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri M.G Pandithan sehingga orang kanannya itu dipecat daripada MIC dan kemudiannya menubuhkan parti baru dikenali IPF.

Tentu ramai masih ingat kerana pertelagahan mereka Pandithan berpuasa dan bawa keranda kerana menentang bekas bossnya itu.

Samy juga pernah menjadi punca kekalahan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam dengan menyokong Datuk G. Palanivel untuk bertanding jawatan tersebut.

Akibatnya, Subramaniam tidak terpilih lagi sebagai calon dalam pilihan raya dan kini sedang berusaha bangkit untuk mendapat semula tempatnya dalam parti utama kaum India di negara ini.

Ketika bertelagah dengan Subramaniam, bekas Menteri Kerja Raya itu tiba-tiba menjadikan Datuk S.Sothinathan sebagai anak didik.

Namun menjelang pemilihan MIC 12 September ini, Naib Presiden MIC itu umun bertanding jawatan Timbalan Presiden menyebabkan Samy Vellu naik angin kerana beliau menyokong Palanivel kekal jawatan tersebut..

Marah dengan tindakan Sothinathan, yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC dan bekas ahli Parlimen Teluk Kemang, Samy Vellu pada Khamis berkata, beliau telah memutuskan hubungan dengan anak didiknya itu kerana pertandingan itu.

"Saya tidak akan menerima beliau kerana beliau telah membelakangkan hasrat saya,” katanya yang sebelum ini meminta Sothinathan dan ahli lain menyokong Palanivel.

Samy Vellu berkata, Sothinathan telah mengelirukan perwakilan dengan memberitahu cerita yang berlainan kepada orang yang berlainan bagi meraih undi.

"Saya yang membawa beliau ke dalam parti ketika beliau hanyalah kakitangan Koperasi Pekerja Jaya.

"Beliau telah lupa dan sekarang, apabila beliau berjumpa dengan orang-orang yang tidak menyukai saya, beliau memberitahu mereka supaya mengelak daripada saya.

"Tapi apabila beliau bertemu dengan penyokong saya, beliau memberitahu mereka yang saya seperti bapanya dan oleh itu, mereka (penyokong saya) perlu mengundi beliau," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau adalah orang yang melantik Sothinathan sebagai setiausaha agung parti yang membolehkannya berhubung rapat dengan perwakilan dan pengerusi cawangan.

"Saya tidak harap beliau (Sothinathan) menghargai tetapi saya tidak mahu beliau memperdaya perwakilan dan ahli-ahli parti dengan mempercayai yang beliau adalah orang Samy Vellu.

Tanpa beliau katanya, Sothinathan tidak akan menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang, seorang Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri.

Nampaknya ketika perang dalam MCA kerana Majlis Presiden parti itu memecat Timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek malam Rabu belum seleai, MIC pula akan turut berperang.

Ianya bukan sahaja bagi mereka yang merebut jawatan utama dalam pemilihan parti itu tetapi perang Samy Vellu dengan Sothinathan.

Perkembangan terbaru ini pasti menyebabkan pertarungan merebut jawatan timbalan presiden parti itu lebih menarik malah ada pemerhati politik membayangkan kemungkinan Sothinathan dan Subramaniam akan bekerjasama untuk mengalahkan Palanivel.

Jika Palanivel tewas dan sama ada Sothinathan atau Subramanian menang, apakah Samy Vellu yang sudah umum lepas jawatan presiden MIC pada 2012 akan berbuat demikian, sama-sama kita tunggu.-27/8/2009


ANALISA KEPUTUSAN PRK PERMATANG PASIR

Alhamdulillah keputusan PRK Permatang Pasir 4 Ramadhan 1430H/25hb Ogos 2009 Pas (Ustaz Salleh Man 9618) BN (Rohaizat Osman 5067) majoriti 4551, jumlah keluar mengundi 14768, 73% keluar mengundin, dengan undi rosak 83.

PR telah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam setiap PRK kecuali di Batang Air Sarawak.

Faktor kemenangan

1- Dengan izin Allah SWT

2- Calon Pas ustaz Salleh Man calon bersih daripada jenayah tipu duit orang dan bertanggungjawab pula kepada isteri.

3- Perpaduan yang erat di kalangan pimpinan dan petugas PR.

4- Sumbangan kerja daripada petugas muslimat dan wanita PKR dan DAP adalah penyumbang besar kejayaan PRK PP

5- Peranan blog yang melaporkan secara adil sebagai penapis media penipu umno telah membantu aliran pengundi terutama anak-anak muda

6- Pemimpin Pas seperti Tuan Guru Presiden, Tuan Guru Nik Aziz, Mohd Sabu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saifudin Nasution, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan lain lagi. Mereka tidak kira cuaca hujan atau panas terus berkempen untuk bertemu dnegan masyarakat.

7- Penduduk Permatang Pasir dekat dekat dengan Bandar, isu pembangunan tidak makan.

8- Anak-anak muda yang bekerja kilang, mereka adalah generasi yang berkawan dengan dunia luar, maka mereka tidak boleh ditipu, kerana di kilang mereka terdapat kawan-kawan yang print daripada internet untuk disebarkan.

9- Tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi jaminan untuk menamakan ustaz Salleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam telah meyakinkan pengundi melayu. Dengan ini tertolak hujah umno yang mengatakan Pas tidak dapat apa-apa walaupun ustaz salleh menang.

10- Terdapat institusi agama yang terkenal di kawasan itu iaitu Pondok Penanti dan Madrasah Masriah yang merupakan tapak sokongan Pas

11- Terdapat Sembilan buah masjid di kawasan PP, Cuma ada dua sahaja yang berkarat biru sikit. Maknanya sokongan kuliah agama menyebabkan rakyat tidak boleh ditipu dengan rasuah duit.

12- Kempen umno terlalu ketara dengan rasuah duit, termasuk duit palsu yang diedar di tengah malam dengan diletak di celah-celah pintu. Perangai ini tidak ubah seperti toyol.

13- Dakwaan Muhyidin yang mangatakan Anwar khianat, telah menjadi senjata makan tuan. Seoalah-olah isu ini telah menjadi bola tanggung untuk PR mencuri mata. Sehingga rakyat sedar bahawa yang khianat Melayu ialah Muhyidin dan umno, bukan Dato’ Seri Anwar atau Lim Guan Eng. Maka pendedahan telah dibuat membuktikan umno khianat bangsa dan agama.

MCA Sedar Keputusan Pecat Dr Chua Bimbangkan BN

KUALA LUMPUR,(Bernama) - Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata parti itu amat menyedari bahawa keputusan Majlis Presiden memecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mencetuskan kebimbangan di kalangan anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam bersama rakan-rakan parti saya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha bagi menjelaskan keputusan Majlis Presiden MCA.

"Pendirian Datuk Seri Najib yang membenarkan MCA menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campurtangannya adalah dihargai. Saya juga berterima kasih atas nasihat Datuk Seri Najib menyelesaikan masalah parti secepat mungkin," katanya dalam komen ringkas di blognya www.ongteekeat.net Jumaat.

Beliau berkata kepimpinan parti adalah "sekata dalam pendiriannya bagi mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang" dan fokus mereka "bukan politik yang eksesif tetapi mengutamakan khidmat kepada rakyat".

"Saya memberitahu Datuk Seri Najib dengan cara amat jelas bahawa MCA komited terhadap konsep 1Malaysia," katanya.

Malah kebanyakan pemimpin BN dalam reaksi terhadap pemecatan Dr Chua berkata ia adalah urusan dalaman MCA, namun kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan ia akan mendatangkan implikasi kepada BN.

Najib dalam komen terbarunya hari ini menggesa parti itu menyelesaikan segera krisis dalamannya bagi mengelakkan kesan negatif terhadap parti dan BN.

Najib berharap krisis itu diselesaikan menerusi orang tengah memandangkan kedua-dua pemimpin berkenaan bertegas dengan pendirian masing-masing.

-- BERNAMA



Jumaat, 28 Ogos 2009

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1)Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]
Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN


Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, memang sepatutnya tidak boleh hakim menjatuhkan hukuman tanpa undang-undang itu dikanunkan, cuma saya tidak pasti mengapa ia belum dikanunkan. Sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan oleh Tun memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?
Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.
Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

Semoga beroleh manfaat, sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
5 Ramadhan 1430 H
26 Ogos 2009

Mai Kita Ajar Pihak Penjara Tibai Cara Islam

SEBAT CARA ISLAM

1. Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
2. Jika pesalah hamil, hukuman dilaksanakan selepas 2 bulan melahirkan anak.
3. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
4. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
5. Sebatan dengan kekuatan sederhana.
6. Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala.
7. Tidak melukakan kulit pesalah.

Tenang, insaf dan redha menerima hukuman Allah



SEBAT CARA SIVIL



Zalimnya Hukuman Manusia

1. Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
2. Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat.
3. Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.
4. Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat.
5. Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
6. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
7. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan.
8. Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.





Respon : PAS UMNO Berbeza?

pemudabaru

Salam Dato’,semoga Dato’ dan keluarga sentiasa sihat.

Saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan saya utk posting terbaru Dato’ kali ini. Selalunya saya sentiasa bersetuju dgn Dato’ tapi kali ini saya mohon untuk berbeza pendapat dgn Dato’kerana ini merupakan pandangan paling lemah Dato’ dan jauh bezanya dgn garapan segar dan bernas Dato’ dalam buku tulisan Dato’.

Berkenaan dengan perkara yang pertama tentang isu arak di Selangor. Pandangan peribadi saya tentang isu ini, PAS telah memulakan satu jalan baru yg sepatutnya telah lama wujud di negara kita. Lebih baik memulakan satu usaha daripada terus tidak melakukannya. Saya fikir semua kita percaya setiap kejayaan bermula dari langkah pertama. Masalah yang bakal berlaku dalam penguatkuasaan yang akan dijalankan pastinya Dr Hassan sendiri sedia maklum saya yakin beliau telah bersiap sedia untuk menambahbaik mekanisme bagi menguatkuasakan peraturan itu.

Pastinya kita semua sedar bahawa setiap urusan berkaitan dengan perniagaan minuman keras adalah haram disisi agama Islam dan usaha PAS ini menggambarkan parti itu melakukan apa yang termampu dalam kuasa yang ada untuk membersihkan orang Islam di Malaysia dari perkara tersebut. Mungkin sesetengah orang percaya bahawa mengharamkan perniagaan yang melibatkan minuman keras adalah yang terbaik. Pandangan itu ada benarnya namun ia seolah-olah menafikan apa yang dibolehkan kepada orang yang bukan beragama Islam, jadi saya rasa PAS telah mengambil pendekatan secara hikmah dalam hal ini.

Dalam isu hukuman sebat kepada pesalah yang meminum arak, ramai pakar perundangan Islam bersetuju bahawa itulah hukuman yang sepatutnya malah jumlahnya boleh mencapai sehingga 80 kali sebatan namun kita tidak boleh menyamakannya dengan sebatan sivil kerana kaedahnya jauh berbeza. Saya yakin hukum yang telah ditentukan oleh Allah tidak layak bagi manusia untuk mengubahnya.

Sebagai seorang pemuda, saya juga tidak boleh lepas mengatakan bahawa saya juga berminat dengan hiburan seperti konsert MLTR namun saya juga sedar bahawa gejala negatif yang terlalu banyak dalam penganjuran konsert seumpama itu. Pergaulan bebas dan aktiviti sosial yang melampau merupakan satu kelaziman dalam konsert-konsert seperti itu malah Mufti Perak, Tan Sri Hasrussani pernah mengharamkan Konsert Sure Heboh (kini Jom Heboh). Saya berpendapat tentangan dari pemuda PAS ada asasnya.

Saya masih ingat bahawa Presiden PAS pernah berkata “PAS rela ditolak rakyat dalam menegakkan Islam” namun saya yakin jika faham keadilan yang dibawa Islam, PAS akan terus mendapat tempat dihati rakyat Malaysia. Namun dalam perjuangan itu, KeADILan dan DAP perlu bersama-sama untuk menjanjikan perubahan yang lebih baik buat Malaysia. Semoga kerjasama Pakatan Rakyat dapat diteruskan untuk Malaysia Baru.

Sekian, Wassalam.

Beza PAS Dan UMNO?

Rasa gembira dan puas hati selepas berkempen di Permatang Pasir bertukar menjadi gelisah dan penuh kebimbangan. Dalam keadaan negara yang tak menentu di mana rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, api perkauman dimainkan oleh UMNO dan media miliknya serta kes yang melibatkan kematian petugas Pakatan Rakyat, tiba-tiba YB Hassan Ali, Exco Selangor, mengeluarkan kenyataan pada hari membuang undi di Permatang Pasir bahawa orang-orang Islam yang didapati minum beer atau arak akan ditangkap oleh pegawai-pegawai Majlis dan Jabatan Agama yang akan diberi kuasa. Apa niat sebenar beliau? Nampak nya begitu yakin sekali ketua PAS ini dengan kekuatan mereka sekarang hinggakan sanggup mengambil risiko ini.

Saya kata risiko kerana tidak cukup dengan itu, Hassan Ali juga akan menangkap orang Islam yang berkerja di tempat minuman itu dijual atau ada kaitan secara langsung dengan penjualan itu. Mengikut laporan berita beliau menyatakan bahawa orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Nampaknya ini akan melibatkan pekerja Melayu dalam hotel, bar, pub dan mana-mana tempat yang menjual beer atau arak seperti kedai runcit, kedai 7-Eleven dan banyak lagi. Drebar lori yang kerjanya mengangkat minuman haram itu juga mungkin dikenakan tindakan. Mungkin juga pegawai kastam yang menilai cukai barangan itu juga dikenakan tindakan.

Kalau kita ikut lojik YB itu, semua pegawai Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan juga bersalah kerana membenarkan beer dan minuman yang dianggap haram dijual di Malaysia, kerana ia membolehkan orang Islam membelinya. Saya tidak tahu bagaimana penguatkuasaan arahan seperti itu akan dilaksanakan tanpa kerumitan yang besar.

Saya juga hairan mengapa Hassan Ali ghairah mahu menangkap orang dan tidak pula mencadangkan perkara yang lebih mudah dilaksanakan. Sepatutnya semua beer dan minumam keras diharamkan sahaja di seluruh Selangor, barulah ada keadilan sejagat. Bukan ikan bilis saja jadi sasaran, malah orang elit pun tidak boleh atau selindung di sebalik undang-undang. Nanti bila PAS mengambil alih Putrajaya, boleh lah pula diharamkan beer dan minuman keras di seluruh negara. Ini samalah seperti cara kerajaan mengharamkan dadah di negara ini. Inilah saja cara kita boleh memastikan orang Islam tidak dimalukan di khalayak ramai apabila didapati bersalah seperti keadaannya sekarang ini. Cara-cara yang lain hanya akan menyusahkan orang yang tak ada kena-mengena dengan perbuatan itu iaitu minum minuman keras.

Ketua Pemuda PAS pun tak kurang hebatnya kerana mendesak kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan pop Michael Learns To Rock yang akan diadakan di Genting tidak lama lagi. Saya tak faham apa tujuan bantahan itu dibuat. Saya juga tak pasti sama ada puluhan ribu umat Islam akan ke Genting, tempat perjudian antarabangsa yang diluluskan oleh kerajaan, untuk menonton konsert itu. Lagipun, kalau konsert itu tidak dibenarkan sekali pun, orang Islam yang berminat masih boleh menonton DVD kumpulan itu setiap hari. Kalau pun tak ada DVD pun, masih boleh download dari internet atau mendengar lagu-lagu kumpulan itu di radio dan TV. Jadi apa hasil dari perbuatan mengharamkan konsert itu? Jangan lah ikut pemimpin BN/UMNO yang membenarkan konsert tapi kerana penaja konsert itu syarikat minuman keras maka orang Islam tidak dibenarkan menonton. Kita sudah menjadi Negara “apartheid” sekarang ini. Beza nya kita guna agama untok memisahkan rakyat dan regim apartheid Afrika Selatan pula menggunakan ras atau warna kulit. Jangan lah mengambil pendekatan mudah saperti BN dan UMNO. PAS mestilah menunjokan keupayaan membuat keputusan mentadbir yang lebih harmonis, lembut dan mengambil kira semua aspek kehidupan. Kalau tidak, rakyat yang lebih sederhana pemikiran dan amalan hidup mereka, dan dari golongan muda, akan menganggap PAS parti yang ekstrem. Ini akan menjejaskan peluang PAS untuk memerintah Kerajaan Pusat. Mungkinkah PAS sekarang tidak berminat lagi untuk menang pilihan raya atau memerintah Kerajaan Pusat kerana lebih suka berjuang untuk mengharamkan itu dan ini daripada menggunakan hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana yang diajar oleh tokoh-tokoh besar Islam?

Malah, dari peringkat tertinggi PAS pula, Timbalan Presidennya Nasharudin Mat Isa mendesak kerajaan supaya mengekalkan hukuman rotan terhadap seorang wanita Islam yang didapati bersalah minum beer. Pemimpin PAS itu merasakan itulah cara terbaik untuk menunjukan amalan Islam kepada dunia. Orang-orang “kafir” di Barat yang mendalam ilmu “jurisprudence” hukum mereka, selalunya tidak mengenakan hukuman berat kepada orang yang melakukan kesalahan buat kali pertama, kecuali bila menerima hukuman mandatori. Mereka mengambil kira fakta lain dalam pertimbangan mereka bagi pesalah kali pertama, terutama bagi orang yang telah mengaku secara sukarela bahawa mereka bersalah. Dalam kes wanita Islam itu, dia telah pun mengaku salah dan menyesali perbuatannya. Setahu saya cerdik-pandai agama Islam juga banyak bercerita tentang firman-firman Allah yang menggalakkan kita supaya memaafkan orang yang sedar perbuatan salah mereka.

Dalam hal ini saya menganggap tindakan dan kenyataan Perdana Menteri supaya hukuman rotan ini digunakan sebagai langkah terakhir atau “last resort” adalah wajar dan berpatutan. Ingatlah bahawa Islam bukan agama birokrasi; ia penuh hikmah dan kebijaksanaan. Kalau tidak masakan tamadun Islam begitu gemilang dan dihormati dunia pada suatu masa dahulu. Jadi saya harap Mahkamah Syariah di Pahang tak payahlah tunggu pesalah membuat rayuan; mereka ada kuasa untuk menyemak dan mengkaji semula keputusan mereka, sama seperti mahkamah-mahkamah lain di dunia ini.

Saya juga berharap bahawa rakan-rakan PAS saya dalam Pakatan Rakyat supaya memikirkan semula perkara ini. Jika benar kita berjuang untuk menegakkan keadilan, perkara paling utama yang mesti kita perangi habis-habisan adalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta perbuatan mengapi-apikan sentimen kaum dan agama. Semua ini boleh menghancurkan masyarakat. Pengalaman menunjokan bahawa ada kerajaan Islam di luar negara hari ini yang ghairah nak tangkap dan sebat orang Islam masih bergelumang dengan najis rasuah dan penyelewengan. Banyak pula anak muda mereka terjebak dengan dadah, dan mengandong tanpa bapa. Banyak lagi perkara yang Pemuda Pas boleh memberi perhatian yang hasilnya tentu lebih memberi manfaat kapada orang Islam. Imej Islam yang macam mana kita mahu mempamerkan?

Pesan Datuk Zaid Ibrahim

PAS-Dulu Dan Sekarang

Saya telah dijemput untuk menghadiri satu seminar anjuran PAS di Kota Bharu pada Sabtu lalu (15 Ogos). Terima kasih saya ucapkan kepada pimpinan PAS Kelantan kerana penghormatan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Maklumlah sayalah orang yang menyaman kerajaan negeri pada suatu masa dulu berhubung soal hukum hudud. Namun sebagaimana yang pernah saya jelaskan dahulu, saman itu dibuat atas dasar perundangan dan Perlembagaan, dan tidak ada kena-mengena dengan agama. Kalau ingin tahu lebih lanjut hal itu, saya telah jelaskan dalam buku saya “Saya Pun Melayu”.


Yang menarik dalam seminar Sabtu lalu adalah perbincangannya berkisar hal-hal dalamam dan permasalahan parti yang diperkatakan secara terbuka. Itulah tanda keterbukaan PAS masa kini. Seminar itu diadakan di dewan Kelantan Trade Centre, sebuah bangunan canggih bertaraf 5 bintang, untuk membuat post-mortem keputusan pilihan raya kecil Manek Urai serta merangka perancangan kekuatan PAS di masa depan. Kalau dalam tahun 1990 dulu bila UMNO teruk, pemimpin mereka berkata PAS hanya dapat bertahan satu penggal saja. Kini terbukti PAS telah memerintah Kelantan selama lima penggal dan sekarang menguasai Kedah pula. PAS telah bertambah maju manakala UMNO bertambah tempang.

Di seminar itu, saya telah mencadangkan PAS supaya jangan berpuas hati sebagai parti orang Kelantan sahaja. PAS, sebagai rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat, dan sekarang berkuasa di Kedah, harus befikir sebagai parti nasional. Putrajaya mesti menjadi sasaran PAS dan Pakatan Rakyat. Amatlah perlu PAS meneroka jalan baru dalam usahanya meluaskan pengaruh. Bukan saja intipati mesej politiknya perlu disampaikan dengan yang lebih canggih, pendekatan baru juga diperlukan supaya lebih ramai orang Melayu dan Islam menerimanya. PAS harus yakin bahawa ia adalah alternatif kepada UMNO untuk orang Melayu.

Pada masa yang sama, mesej politik PAS pula mestilah mendapat sokongan semua kaum, atau sekurang-kurangnya orang bukan Islam tidak menentang atau menolak PAS. PAS mesti memperjuangkan hak asasi maanusia atau ‘human rights” yang memangpun dituntut oleh Islam. PAS perlu menerima hakikat bahawa Malaysia ada lebih 100 suku kaum dan kepercayaan agama yang berbeza. Saya setuju dengann kata-kata YB Dato Nik Amar Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, iaitu cara atau proses penyampaian sama pentingnya dengan dasar dan intiparti perjuangan parti. Kita mesti bulatkan kata. Jangan pula pepat di luar, pencong di dalam.

Walau pun sudah banyak perubahan dalam PAS hari ini berbanding tahun-tahun 1990an dahulu, masih ada segolongan kecil pemimpin mereka yang was-was tentang cita-cita parti lain dalam Pakatan Rakyat. Mungkin ada juga parti lain dalam Pakatan yang turut syak wasangka terhadap PAS. Ini mesti berubah dan perlu diatasi oleh pucuk pimpinan Pakatan. Hanya kekuatan muafakat sebenar dari ketiga-tiga parti Pakatan ini mampu mengatasi Barisan Nasional.

Kita tahu UMNO akan sentiasa mempermainkan cita-cita kita dalam Pakatan kerana memang tabiat mereka suka memperlekehkan keupayaan orang lain. Bukan sahaja Pakatan, malah orang Melayu dan Islam yang mereka tak suka juga mereka hina dan jatuhkan maruah. Tetapi itu tidak mengapa. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP serta parti parti lain di Sabah dan Sarawak mampu mengatasi BN jika pilihan raya yang bersih dan adil dapat diadakan. Syaratnya kita mesti teguh bersatu. Ketiga-tiga parti Pakatan ini tahu bahawa mereka hanya mampu mengatasi BN dengan dasar yang kukuh dan kemas yang dicapai secara perundingan dan konsensus serta boleh dipercayai oleh rakyat semua kaum.Menjadi rakan hanya untuk membantu dalam masa berkempen pilihan raya tidak cukup. Kita harus menjadi sahabat dan saudara seperjuangan untuk memastikan berakhirnya era ketidakadilan UMNO dan BN.

Pucuk pimpinan ketiga-tiga parti ini sudah pun bersetuju dengan prinsip-prinsip utama perjuangan Pakatan Rakyat. Cuma huraian yang terperinci perlu dibuat di atas platform dan dasar bersama ini. Jika ini dapat dipenuhi dengan isi yang memuaskan, maka proses untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu gagasan atau wadah rasmi akan berjaya tidak lama lagi. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, apa-apa isu remeh dan salah faham sesama pemimpin dan ahli perlu diselesaikan segera. Rakyat pula diharap bersabar dengan proses ini. Saya yakin jika rakyat dapat menanggung sengsara UMNO dan BN lebih 50 tahun, apa salahnya diberi peluang untuk Pakatan bersiap sedia mengharungi badai politik. InsyaAllah hasrat rakyat melihat Pakatan bersatu melawan BN satu lawan satu akan tercapai juga akhirnya

Makanan percuma Jumaat, santuni gelandangan ibu kota

Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat.

Selang 15 minit sebelum jarum jam pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni mereka.

Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'.

Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu.

Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.

Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi.

Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu.

Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu.

Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini.

Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu.

"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily.

Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi.

Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.

"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah.

Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan.

"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran.

Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu.

Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah.

Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo Hj Ghazali dengan mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, berhampiran bangunan PAS ini.

Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana kepadatan jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan ini dipikul Syaripuddin yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'.

Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu.

"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini.

Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan tuhan yang menentukan.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya.

Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini.

Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka.

"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu.

Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati...

(Bagi yang berhajat dan ingin menyumbangkan dana bagi edaran makanan percuma setiap Jumaat ini, maklumat lanjut bolehlah dimajukan kepada Pejabat Agung PAS di talian 03-26925000)

(Sebarang pandangan dan kritikan, boleh di sisipkan ke azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )

KOMEN PEMBACA

Beruntung ada yang prihatin

Saya rasa beruntung memiliki satu kumpulan insan yang benar-benar prihatin mendasari naluri keperluan fizikal insan yang lain.

Kalau beginilah berterusan tidak syak lagi negara ini akan dikuasai dan ditadbir oleh kumpulan ini kerana dapat memahami dan menyelami rintihan insan walaupun mereka ini bergelandangan tetapi mempunyai hati dan perasaan seperti manusia yang lain. Syabas dan teruskan usaha yang murni ini.

Baharin Sabar

Linangan air mata

Salam,

Menbaca cerita ini terdetik dihati menglinang air mata dibuatnya walau pun mereka ini buka dari kalangan ahli keluarga saya. pemberian makan percuma oleh Pas ini baru hari ini saya mengetahuinya perkara ini saya ingatkan belum ramai rakyat malaysia yang mengetahuinya. cadangan saya kita akan memyambut ramadhan tak berapa harilagi hebahkan perkara ini untuk tatapan ramai yang mana setiap umat islam dimalaysia yang inginkan sedekah makanan salurkan kepada Pas pusat.

bukan bermaksud makanan yang dimasak tetapi dengan wang ringgit atau bahan mentah untuk di masak dan disedekahkan kepada mereka ini.

saya harap pas pusat boleh menyuarakan perkara ini kepada pas Negeri dan pas kawasan yang mana setiap sumbangan dari kawasan hendak lah diserahkan terus kepada urusetia makan percuma ini yang mana kebanyakan orang ramai tidak mengetahui akan perkara ini.

sekian terima kasih

Basharudin Mat isa
Al-Qulam

Tersentuh

salam sejahtera ...tersentuh hati saya bila membaca artikel tuan pemberian makanan percuma oleh PAS pada sigelandangan di ibu kota......lebih-lebih lagi apabila saya membayangkan si Nurulhuda menyuapkan anaknya makan....apakah tuan mempunyai gambar -gambar tentang artikel ini...kalau ada boleh lah kiranya tuan forwardkan pada saya sebagai simpan peribadi saya........ itu pun kalau tuan tak keberatan...terima kasih....

Khalid

Akaun
salam....blh tak wat satu akaun bank online untuk kami bagi sumbangan

Azizi Bin Mohd Zain

Cara nak sumbang

Terima kasih diatas program tersebut, dan saya berharap semoga program tersebut dapat diteruskan . Macammana caranya untuk saya menyumbang kepada tabung tersebut ?

Mahazan.Jusoh _


Rabu, 26 Ogos 2009

RAKYAT TAK NAK BN BUKAN TAK NAK PERUBAHAN




CARI 10 PERBEZAAN YANG TERDAPAT ANTARA DUA GAMBAR DI ATAS.

SEBENARNYA BUKAN PENGUNDI TIDAK MAHUKAN PERUBAHAN TAPI PENGUNDI TIDAK MAHUKAN BN.TAKKAN HANGPA TAK PAHAM-PAHAM LAGI.DAH TUJUH KALI KALAH TAKKAN SEMUA TAKNAK PERUBAHAN KOT.AGAK-AGAKLA BAI..NAK BAGI ALASAN PUN.yusuuuufffff taiiiiyyooooobbb...


Pengundi Permatang Pasir Tidak Mahukan Perubahan - Muhyiddin

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan sikap pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang tidak mahukan perubahan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menunjukkan pengundi terlalu selesa dengan keadaan mereka ketika ini sehingga tidak mahukan pembangunan.

"Kita menerima keputusan ini kerana mengikut apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen dan kita menghormati keputusan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada pilihan raya itu, calon PAS, Mohd Salleh Man, 52, menewaskan calon BN, Rohaizat Othman, 38 dengan majoriti 4,551 undi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon Pas beliau berkata isu melibatkan calon yang dieksploitasi pembangkang juga menjadi faktor kepada kekalahan BN.

Selain itu, Muhyiddin berkata Permatang Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan merupakan kubu kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi faktor kepada kekalahan BN.

"Tempat itu juga adalah kubu Pas dan mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai," katanya yang turut menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya ini tidak boleh dibandingkan dengan pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan jumlah undi yang diperolehi calon BN, sokongan terhadap pakatan tidak berkurangan jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 2008.

"Kita nampak cuma ada sedikit perubahan (sokongan terhadap BN) di beberapa peti undi tetapi tidak begitu ketara," katanya.

Beliau berkata BN akan menganalisis punca kekalahan pada pilihan raya itu dari aspek sokongan pengundi Melayu, Cina dan India bagi membuat penambahbaikan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Muhyiddin berkata beliau yakin sokongan terhadap BN akan pulih dari semasa ke semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya dan yakin kita akan pulih," katanya.

Beliau turut mengingatkan Umno Permatang Pauh untuk terus bekerja keras bagi mendampingi pengundi dan memahami sikap mereka.

Sementara itu, Rohaizat berkata beliau akan terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu sebagai tanda terima kasihnya kepada pengundi yang menyokongnya.

Katanya, sebagai Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, beliau akan terus membantu golongan yang memerlukan bantuan di kawasan itu setelah mendengar masalah yang mereka hadapi mereka sepanjang tempoh berkempen.

Rohaizat berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka kerana itu adalah keputusan rakyat dan berharap Mohd Salleh akan memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk di situ.

-- BERNAMA

Walaupun belum sihat sepenuhnya, Dr Lo' Lo' bersemangat untuk berbakti

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Setiap kali Ramadan, wajahnya yang ceria sentiasa menyantuni penghuni lorong-lorong 'gelap' dan golongan daif ibu kota. Namun kali ini, beliau terpaksa berehat seketika selepas menjalani satu pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya yang masih tinggi untuk berbakti kepada masyarakat khasnya kepada para penduduk di kawasan beliau, Parlimen Titiwangsa.

Dalam keadaannya yang uzur, beliau masih berusaha mencari dana dan sumbangan oleh orang ramai yang bersimpati terhadap golongan yang tidak bernasib baik, daif dan gelandangan ibu kota yang perlukan perhatian dan meringankan beban yang ditanggung.

Ini terbukti, apabila beliau mengirimkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily untuk meuar-uarkan Program Singgah Iftar yang lazimnya di adakan saban tahun oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa yang diketuai oleh Dr Lo' Lo' sendiri.

"Saya masih mahu terus berbakti dengan sedaya upaya dan dengan kemampuan yang ada. Takkanlah kerana saya sakit, saya mesti berada dalam keadaan lemah dan tak buat apa-apa untuk masyarakat," katanya melalui sms.

Lajnah Kebajikan PAS Pusat (LKKPP) katanya akan mengadakan edaran pek makanan percuma seperti nasi dan bubur lambuk untuk warga Lorong Haji Taib dekat sini.

(Dr Lo' Lo' mengunjungi IJN 3 Ogos lalu dalam rangka kerja sebagai anggota Parlimen kawasan Titiwangsa sebelum dia sendiri terpaksa mendapatkan rawatan di situ)

Ini termasuklah edaran buku panduan Ramadhan, sejadah dan lain-lain di samping LKKPP juga akan mengadakan Majlis Iftar serta Solat Terawih untuk warga INSAF Lorong Hj. Taib sepanjang Ramadhan.

Sebelum ini, turut mengadakan makanan percuma ialah Pejabat Agung PAS, yang mengedarkannya pada setiap hari Jumaat dan tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Dr. Lo' Lo' sendiri yang mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, berhampiran bangunan PAS ini.

Sesuatu yang mengejutkan apabila reaksi yang memberangsangkan diterima daripada penghuni-penghuni yang gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

"Saya selaku Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) merayu sumbangan orang ramai untuk program-program tersebut," kata Dr Lo' Lo' yang menjelaskan butiran sumbangan yang diperlukan.

Bagi bubur lambuk RM400 diperlukan untuk satu periuk, pek nasi RM500 (100 orang) manakala buku-buku dan risalah berkenaan Ramadan, Syawal, Solat dan Taubat sekitar RM10 setiap orang.

"Sejadah RM10 sehelai. Untuk setiap majlis dianggarkan antara 250-300 orang akan disantuni. Anda boleh menyumbang sepenuhnya iaitu RM25 darab dengan 300 orang yang jumlahnya RM7500 atau sebahagian dari kos tersebut,"

"Sila maklumkan sekiranya sumbangan melalui transaksi bank. Semoga setiap sumbangan anda akan mendapat ganjaran dari-Nya..Ameen," katanya penuh semangat.

Selain itu beliau turut memohon maaf kerana tidak dapat ditemui buat sementara waktu, sungguhpun sudah berada di rumah kerana faktor kesihatan dan bagi mengelak penularan wabak influenza A H1N1 muktakhir ini.

"Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya dinasihatkan untuk tidak menerima tetamu, kerana risiko tinggi. Saya mohon maaf banyak-banyak," katanya mengakhiri perbualan.

Bagi yang berhajat menyumbang, bolehlah disalurkan di tiga akaun iaitu Dana Kami Prihatin, akaun BIMB 12113010026150, Yayasan Prihatin Titiwangsa, akaun MayBank 564799106040 dan Dr. Lo' Lo', akaun CIMB 14410005980052.

Atau untuk mengetahui maklumat lanjut, sila ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa, No. 10. Jalan. Raja Muda Musa, Kg. Baru, Kuala Lumpur atau hubungi talian Tel: 03-26980025. Fax 0326980026_


Permatang Pasir jadi momentum perubahan PRU13

Dzulfikar Mashoor

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos: Pakatan Rakyat berkeyakinan kemenangan calon PAS Mohd Salleh Man di Dun Permatang Pasir dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon Umno, Rohaizat Othman akan memperkukuhkan momentum untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum ke-13 kelak.

Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi.

"Umno sudah kalah 7 (kali) dan menang di Batang Ai sahaja. Kalau main bola, secara kebiasaannya itu (kekalahan berterusan) menandakan bahawa Umno akan kalah dalam permainan keseluruhannya...pilihanraya ke-13 kelak.

"Hari ini (25 ogos) adalah hari jadi saya (dan) saya kira ini hadiah hari jadi saya. Pilihanraya ke-13 kelak, rakyat pula dapat hadiah kemenangan peringkat persekutuan, insyaAllah."


Bagi beliau, Umno tidak boleh lagi kata ini (kemenangan) sama dengan kemenangan mereka di Manik Urai, kononnya berjaya kurangkan majoriti (sehingga) 65 undi.

"Najib (Perdana Menteri) boleh katakah Umno berjaya di Permatang Pasir, sedangkan Pakatan dapat empat ribu lebih (4,551 undi)."

Nada yang sama turut disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Lim Guan Eng, Pakatan Rakyat bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno sebagai Pakatan yang 'rapuh'.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN dalam pilihanraya umum akan datang berdasarkan kekalahan berterusan parti-parti pemerintah.

"Ini (Dun Permatang Pasir) bukan sahaja kemenangan bagi kerajaan negeri dan rakyat seluruh Pulau Pinang, tapi suatu terjemahan perasaan rakyat bahawa Umno sedang ditolak berterusan dalam setiap kali pilihanraya (kecil) yang diadakan."

"Ini (kemenangan) menunjukkan sokongan kuat pada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) DAP, PAS dan PKR. Bukan seperti Umno katakan, Pakatan kita (adalah) pakatan yang rapuh."

"Bukan seperti Umno (dan) Barisan Nasional yang mengabaikan rakyat. Pakatan (rakyat) yang kukuh ini boleh memenangi pilihanraya (ke-) 13 nanti, sebab rakyat mahu sebuah (kerajaan) persekutuan yang ada 'jiwa' Malaysia, bukannya perkauman sempit."

Timbalan Ketua Menteri 2, Dr. P. Ramasamy yang ditemui kemudian mengganggap kemenangan berterusan Pakatan Rakyat ini boleh menjadi 'gelombang perubahan' yang besar di Dun Seputeh, jika berlaku pilihanraya kecil; dan nasional.

"Memanglah (benar). Saya tidak perlu sebutlah (soal kemenangan). Kemenangan ini sudah jadi gelombang...tentu jadi gelombang di (Dun) Seputeh jika jadi pilihanraya."

"(Dun Permatang Pasir) sudah jadi gelombang perubahan yang berterusan Pakatan ke peringkat nasional juga."

Bercakap di luar tempat perjumlahan pengundi IKBN kemudian, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal.

Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak.

"Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat."

"Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah."

Daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Pada Mac tahun lalu, bekas penyandang Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat 5433 undi majoriti; dari 20,350 atau 82.5% undi keseluruhannya.

Disebabkan peratusan turun mengundi berkurang sebanyak 9.4% dari piliharaya sebelumnya, bermakna undi tradisi PAS dan Umno juga masing-masing turut menyusut sebanyak 12.6% (1386 undi) dan 9.5% (504 undi).

Tuntas bagi PAS/Pakatan adalah berjaya mengekalkan status quo mereka di 'kubu kuat' PAS tersebut.

Manakala, Umno tidak boleh lagi menjadikan pilihanraya kali ini sama seperti Manek Urai - bukti rakyat mula menerima mereka dan menolak Pakatan Rakyat lagi.

Selain kalah di Dun Permatang Pasir, Umno BN pernah kalah berterusan di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang; dan Dun Bukit Selambau serta Penanti sebelum ini.

Puji sikap Kartika, hukuman hanya kepada 'ikan bilis' - Dr Asri

KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Kerajaan mesti melihat isu arak secara keseluruhan, tidak menghukum orang awam sahaja tetapi tauke, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang kilang dan premis perniagaan arak juga mesti dikenakan tindakan.

Apa yang berlaku kini, hukuman hanya dikenakan ke atas 'ikan bilis' sahaja apabila melakukan kesalahan seperti minum arak sedangkan orang-orang yang berkepentingan khususnya yang beragama Islam yang 'menjana' industri arak ini terlepas begitu sahaja.

Demikian ditegaskan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abdin kepada Harakahdaily pagi ini, ketika diminta mengulas hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang dihukum kerana minum arak.

"Sebenarnya hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah itu 'mendekati' hukuman Islam sungguhpun ulama berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan.

"Namun saya puji sikap Kartika kerana akui kesalahannya dan tidak membantah hukuman yang dikenakan.

"Sepatutnya kita puji dia tetapi sehingga kini tidak ada satu tokoh politik atau pemimpin yang memuji tindakan Kartika ini, mungkin ada kepentingan dan jaga hati pihak tertentu..." katanya yang juga bersetuju, sekiranya Kartika merayu bagi meringankan hukuman.

Padanya, prinsip hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah mesti jelas, dan soal rayuan, merupakan hak bagi pesalah untuk memohon meringankan hukuman.

Beliau turut menjelaskan bahawa bukan semua yang meminum arak atau melakukan apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya ataupun membenci Islam.

Sungguhpun, maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seseorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya, katanya.

Kartika seorang model sambilan di Singapura dihukum denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan kerana minum arak di sebuah hotel di Kuantan. Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu sebaik sahaja ditahan di Penjara Kajang bermula semalan.

Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan alasan hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan selepas bulan Ramadhan.

Dalam pada itu Dr Asri dukacita dan mengkritik sikap mahkamah syariah yang dilihat begitu 'cepat' menyelesaikan kes Kartika, sedangkan kes-kes seperti cerai, talak, penderaan dan pembahagian harta pusaka yang melibatkan wanita, mengambil masa yang lama untuk diputuskan atau dijatuhkan hukuman.

"Janganlah ketika wanita bersalah, dihukum begitu cepat tetapi bila wanita dianiaya, ditangguhkan. Hukuman dan tindakan mesti adil malah ianya mesti dilihat berlaku adil.

"Kita memuji langkah mencegah mungkar tetapi yang paling penting ialah penegasan hukuman supaya menjadi contoh kepada yang lain dan dilihat adil," katanya yang kini sudah seminggu berada di Malaysia, sekembalinya daripada pengajiannya di London.

Beliau juga kecewa dengan sikap media barat seperti CNN yang cuba mengaangkat isu hak asasi manusia untuk minum arak sedangkan agama mempunyai hukuman dan peraturan yang tertentu bagi mendefinasikan kebebasan penganutnya agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi agama sekaligus menjaga masyarakat akibat tabiat buruk arak.

Seorang pakar motivasi Dr. Danial Zainal Abidin dalam Program TV9 Halaqah minggu lalu, turut mengupas keburukan akibat meminum arak, yang jelas mempunyai sebab-sebab utama Allah SWT mengharamkan dalam al-Quran.

"Arak menyebabkan sebarang mesej atau maklumat tidak sampai ke otak. Arak menyebabkan pertimbangan tubuh badan tidak seimbang. Ia mengundang pelbagai penyakit dan bahaya.

"Mengikut kajian, arak merupakan pembunuh nombor satu bagi remaja di Eropah dan penyebab utama masalah rumah tangga di Britian. Jika mereka kata ini hak asasi dan arak sebagai penyelesai masalah...fikirkan kembali" kata Daniel merujuk kepada kajian perubatan dan WHO.

Dengan kajian itu katanya, membuktikan hukuman dan tindakan agama Islam melarang penganutnya meminum arak, adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah masyarakat dan punca gelaja sosial yang semakin membarah kini.


RENUNGAN: UMNO YANG MULIA YANG SENTIASA MEMBELA ISLAM.

Bismillahirahmannirahim..

Rakaman penuh pemusnahan Masjid Desa Makmur, Rancangan Tanah Berkelompok Kijal, Kemaman, Terengganu pada 26hb Mei 2005. Arahan dari Kerajaan BN dan dilaksanakan oleh Bhgn Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kemaman dengan bantuan FRU yang menembak gas pemedih mata dan menghalau penduduk kampong disana yang terdiri dari penyokong penyokong PAS.

Rakaman ini ihsan dari Pemuda PAS Kawasan Dungun.



Tujuan Mahaguru58 menyiarkan rakaman video ini adalah supaya setiap Muslim yang menonton video pemusnahan Masjid Desa Makmur akan senantiasa ingat akan bahaya berdiam diri bila institusi Agama Islam dicabar oleh musuh musuh Islam baik dari dalam atau pun luar Ummah!

Biar daku dituduh oleh musuh musuh Islam sebagai itu dan ini, tak jadi hal bagiku!
Cintaku Hanya kepada Allah Azza Wa Jalla Maha Pencipta! Cukuplah Allah bagiku!
Semoga Muslimin & Muslimat sedar akan tanggungjawab membela Ad Deenul Islam dimana sahaja sedaya mungkin!

Allahu Akbar!Allahu Akbar!Allahu Akbar!
La haula wala quwwata illa billah hal aliyyil azhim!

- http://mahaguru58.blogspot.com

SIS BUAT KECOH LAGI.. MAJLIS FATWA KEBANGSAAN MANA ? DAH DIMANSUHKAN KE..?

Bismillahirahmannirahim..

Kes Kartika Sari: Empunya diri dah redha dengan hukuman, orang lain pula yang sibuk-sibuk
CUBA anda baca komentar yang dihantar oleh Norhayati Kaprawi, 25 Ogos 2009 di Malaysiakini. Sungguh menyedihkan, dan cukup menghinakan.

Penulis yang mendakwa pernah bertugas sebagai Pengurus Program Sisters In Islam (patutla beliau guna logik akal, dari SIS rupanya) dengan begitu biadap dan kurang ajar cuba mempersoalkan hukuman yang dikenakan ke atas Kartika, yang didapati bersalah mengambil minuman keras (arak) semasa di sebuah Kelab Malam di Cherating.

Bagi beliau, kesalahan Kartika (meminum arak) tidak memudaratkan sesiapapun, dan untuk menjustifikasikan logik akalnya itu beliau telah membuat perbandingan dengan mat-mat rempit dan peragut.

Tindakan beliau ini bukan bertujuan menegakkan Islam dan hukum, tetapi semacam menggalakkan lagi orang Muslim meminum arak. Atas alasan minum arak tidak memudaratkan sesiapapun.

Yang empunya diri sudah redha dan ikhlas ingin menjalani hukuman sebat, atas kesedaran bahawa apa yang beliau lakukan adalah salah dan haram di sisi agama. Orang lain yang dok sibuk-sibuk tak tentu pasal ni kenapa? Islam bukan berjalan dan tertegak dengan logik akal sepertimana yang kamu anuti itu.

Majlis Fatwa Kebangsaan yang hebat dan cepat bertindak, kenapa kamu tidak keluarkan fatwa dalam hal ini? Sepatutnya Sisters In Islam ni dah lama dimansuh dan diharamkan macam Al Arqam. Kehadirannya bukan menerangkan, tetapi menyesatkan.

Isnin, 24 Ogos 2009

POLITIK KEDAH : Bagus untuk dikongsi, mesti baca





Gambar (Kiri) RADHI BABI (kanan)

Setelah reda isu pusat sembelihan babi di Kedah, politik Kedah sedikit bergolak dengan keputusan yang saya kira sudah dijangka apabila Adun Lunas yang juga EXCO pelancongan Kedah dari PKR Mohd. Radzi Salleh mengumumkan menjadi Adun Bebas tetapi mengistiharkan menyokong Perdana Menteri 1Malaysia. Masuk Umno le tu..

Sebelum ini beliau dikatakan beberapa kali mengungut
kepimpinan PKR dan juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak tentang hasratnya untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Desakan ini dikatakan berkait rapat dengan laporan media Pro Umno termasuk TV3 yang sering menyiarkan dan mengaitkan seorang Exco Kedah dengan gejala rasuah. Apabila Radzi mengistiharkan menjadi Adun bebas maka segala teka teki Exco yang didakwa rasuah terdedah bahawa individu berkenaan adalah Radzi.Jika itulah situasinya, langkah Radzi menyertai Umno adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Sebagaimana Adun Behrang dan Changkat Jering yang juga menyertai Umno (kononnya bebas) setelah didakwa dengan gejala rasuah. Jadi hanya parti yang bergelumang dan terlibat dengan rasuah sahaja yang layak untuk mereka. Maka apa yang berlaku tidak lebih hanya 'ribut dalam cawan' sebagai satu program 'pembersihan' untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan negeri-negeri lain yang turut dikuasai Pakatan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah masih kekal stabil dan utuh. Lebih-lebih lagi dengan wibawa dan kepimpinan Ustaz Azizan sebagai peneraju kerajaan Kedah.Ingatan kepada Umno@BN...Kedah bukan Perak
(Angkasanuri)



Ahad, 23 Ogos 2009

ADUN Lunas keluar PKR - 200 ahli PKR keluar parti

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat bebas.

Bahagian PKR Padang Serai turut dibubarkan dan seramai 200 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Padang Serai hari ini bertindak keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinannya dan mendakwa perjuangan parti itu kini tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Keputusan pembubaran bahagian itu diumumkan oleh pemangku ketua bahagiannya, Jamaludin Abu Hassan dalam satu sidang akhbar di Hotel Legend. di sini sebentar tadi.

Turut mengikut jejak sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh yang mengumumkan keputusan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas

Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan selaku ahli exco Kedah yang memegang portfolio pelancongan, pembangunan masyarakat serta sumber tenaga manusia. -Utusan



Anak Emas : Dulu Manek Urai Sekarang Permatang Pasir Pulak dahhh

Untung 'anak emas '


TANAH LIAT, Kehadiran Sasterawan Negara, Dato A Samad Said menyerikan lagi program Hi-Tea yang berlangsung pada 6.00 petang di UPU Tanah Liat. Dalam setiap kali ucapannya, beliau tidak lupa untuk mendeklamasikan sajak di Pentas-pentas UPU tersebut.

Antara sajak yang disampaikan oleh beliau itu bertajuk "Suara dari Dinding" yang ditulis pada Mei hingga Jun 1996. Menurut beliau sajak ini ditulis empat tahun sebelum munculnya gagasan PPSMI yang dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional, sebagai sebuah tulisan bagi membantah pihak yang sedang berusaha menjatuhkan martabat Bahasa Melayu.

Susulan dari ucapan dan deklamasi sajak yang disampaikan, beliau turut menyaran agar para pengundi di sekitar Permatang Pasir tidak mudah tertipu oleh kalimah 'anak emas' yang sedang enak diwarwarkan oleh pihak BN dan UMNO sepanjang pilihan raya kecil kali ini.

Kalimah 'anak emas' yang diguna pakai oleh BN ini katanya, sentiasa menjadi modal mereka bagi meraih undi rakyat sepertimana yang dilakukan oleh mereka di sekitar pilihan raya kecil Manik Urai yang lepas.



MARHABAN RAMADHAN

Taqwa: Objektif Madrasah Ramadhan


Oleh:HambaAllah

ALLAH Taala berfirman; “Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang – orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah” [Surah al Baqarah:183]

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah Taqwa.

Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah Taala.

Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai . Inilah yang iasa disebut sebagai management by objective .

Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili (di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri Damsyik) ketika menafsirkan ayat ini menyebut nahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor :

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah (seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah. Justeru Allah Taala adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui).

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya (lantaran puasa melemahkan gelora nafsu).

3. Mencetus naluri yang peka (sensitive) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain (lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik).

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang–orang kaya dan miskin (mereka di sisi Allah Taala).

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

Definisi Taqwa : Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.[1]

Rasulullah SAW pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha)[2]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka’ab r.a. akan makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.

Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.[3]

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.[4]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[5]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[6]

Martabat Taqwa

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[7]

Martabat Pertama : Membebaskan diri dari kekufuran. Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya : “…Lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu’min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …” (Surah Al-Fath:26)

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.[8]

Martabat Kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat Ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah Taala. Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah; “..Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri (kepada Allah)…” ( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.

Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia .

Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .

Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa

1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat

Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti. Firman Allah Taala yang bermaksud ; “….Maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan…” (Surah Al Maidah:100)

“…Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan…” (Surah An Naba’:31)

Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh-musuh Allah. Renungkanlah firman Allah ini;

“…Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya…” (Surah Al A’raf:96)

Menurut para mufassirin, yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.

Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah. [9]

Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya; “…Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa…” (Surah Aali Imran:133)

“…Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh kenikmatan…” (Surah Al Maidah:65)

2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah

Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya. Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya: “…Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar…” (Surah al-Anfal:29)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta`ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar” (Surah Al Ahzab:71)

Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).[10]

Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar.

Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat” [11]

3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah

Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah; “…Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…” (Surah Al Anfal:29)

“…Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang…” (Surah Al Hadid:28)

Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil”.

Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”
.[12]

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[13]

“…Kitab (Al Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa…” (Surah al Baqarah:2)

“…(Al Qur’an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa…” ( Surah Aali Imran:138)

4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah

Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka. Firman Allah Taala ; “…Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa…” (Surah At-Taubah:4)

“…Dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa…” ( Surah At Taubah:36)

Orang yang menjadi kekasih Allah, ia tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan, Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya. Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.

“…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu…” (Surah Ath Thalaq:2-3)

“…Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa…” (Surah Yunus:62-63)

Kata Ibnu Abbas; “Orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat”.

Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.[14]

Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.

“…Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan…” (Surah Aali Imran:120)

___________________________

[1] Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.
[2] Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.
[3] Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah .
[4] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[5] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[6] Tafsir al-Qurthubi (ayat 2, surah al-Baqarah).
[7] Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.
[8] Lihat tafsir al-Jalalain.
[9] Tafsir ‘Abrul Athir, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz 9, hlm. 29-30.
[10] Tafsir an-Nasafi, Imam Abi al-Barakat Abdullah bin Ahmad an-Nasafi (surah al-Anfal, ayat 29).
[11] Tafsir Ibnu Kathir (Surah al-Ahzab, ayat 70)
[12] Tafsir Ibnu Kathir (surah al-Anfal, ayat 29)
[13] Al-Muqtathaf min ‘Uyun at-Tafasir (surah al-Baqarah, ayat 2)
[14] Radhatul Muttaqiin (Syarah Riyadhus Salihin), jil 1, bab at-Takwa, hal. 113.



Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails