SELAMAT DATANG

Rabu, 14 November 2012

Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun

Doa Akhir Tahun
Bacalah doa ini sebanyak tiga kali saat menjelang akhir tahun baru Islam, dilakukan selepas waktu asar atau sebelum maghrib pada 29 atau 30 Dzulhijah. Dengan doa ini kita memohon agar kita akan mengakhiri perjalanan tahun yang akan ditinggalkan ini dengan mendapatkan keampunan dari Allah Swt. atas perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh-Nya, dan apabila dalam tahun yang akan ditinggalkannya itu ada perbuatan-perbuatan yang diredhai oleh Allah Swt yang kita kerjakan, maka mohonlah agar amal tersebut diterima oleh Allah Swt.
Doa Awal Tahun
Bacalah doa ini tiga kali ketika masuk tahun baru iaitu 1 Muharam. Boleh dilakukan selepas maghrib atau pun sesudahnya. Dengan doa ini kita sebagai mukmin memohon kepada Allah Swt. agar di dalam tahun baru ini kita dapat meningkatkan amal kebajikan dan ketaqwaan kepadaNya.
Selamat beramal dan ku memohon keberkatan dariMu ya Rabbi.

TAZKIRAH : HIKMAH HIJRAH


Assalamualaikum

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

Sempena kita menyambut ketibaan tahun baru hijrah dan juga peristiwa hijrahnya Rasulullah saw marilah kita sama sama mengambil pengajaran daripada Firman Allah dalam ayat  5 surah Ibrahim :
وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur
Esok kita akan menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1434H yang mengingatkan kita bagaimana kita bukan sahaja menyambut bulan yang baru malah melangkah kepada tahun yang baru. Sempena berada pada bulan Muharram marilah kita sama-sama menghayati beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan ini termasuk peristiwa Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan para pengikutnya daripada kalangan bani Israel daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang dihancurkan dengan tenggelam lemas dalam Laut Merah. Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ  -  رواه البخاري
Maksudnya : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya: Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik di mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  - رواه مسلم
Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya
Warga Putrajaya yang berkati Allah
Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Setiap kali menyambut kedatangan bulan Muharram maka kita dihidangkan dengan kisah Hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah tanah air tercinta ke Kota Madinah. Kegagalan dalam meletakkan betapa bernilainya pengajaran Hijraturrasul menyebabkan ia hanya menjadi sambutan tanpa tindakan sewajarnya. Oleh itu kita wajib berusaha dalam memartabatkan nilai hijrah dalam diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara barulah kebaikan hijrah dapat dirasai dan membawa nilai yang tinggi dalam membentuk peribadi dan suasana yang hebat. Peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri kepada manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri oleh Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah. Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah.
Inilah antara intipati hijrah yang mahu kita suburkan dalam masyarakat kita yang semakin hilang jatidiri sehingga agama dipinggirkan manakala hawa nafsu dijadikan Tuhan. Kesannya begitu dahsyat di mana jika pada zaman jahiliah anak perempuan dibunuh hidup-hidup atas alasan bawa sial sedangkan jahiliah moden membunuh anak lelaki dan perempuan akibat merebaknya zina. Penzinaan menyebabkan dari tahun 2008 hingga 2010 seramai 152 182 orang anak luar nikah dilahirkan mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Itu belum kira masalah dadah, jenayah yang lain yang semakin merebak ketika Hukum Hudud ditentang oleh umat Islam sendiri daripada dilaksanakan. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung pada sejauh mana kita mahu berhijrah kepada keadaan yang lebih baik berasaskan Islam. Nabi Muhammad s.a.w berjaya membina Tamadun hebat kerana melaksana sistem Islam dengan menghancurkan jahiliah sedangkan umat Islam hari Islam mengagungkan jahiliah dengan meninggalkan sistem Islam sehingga merana dan hina di negara sendiri.
Warga Putrajaya Sekelian
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Hijrah turut mengajar kita tentang cabaran, ujian, halangan, tentangan yang bakal kita hadapi dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ramai mana yang gugur syahid, ramai mana yang dipenjara, ramai mana yang dibuang negara semata-mata berjuang pada jalan Allah. Hijrah turut menyingkap bagaimana pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah dan berdirinya Daulah Islamiah bukan secara kebetulan malah penuh perancangan. Antaranya Madinah merupakan negara strategik kerana subur dengan pertanian sedangkan Mekah banyak bergantung pada perdagangan. Madinah berada di tengah-tengah laluan perniagaan antarabangsa sehingga mampu memberi tekanan kepada kafir Quraisy yang terpaksa melalui Madinah sekiranya mahu berniaga. Madinah juga mempunyai sistem pertahanan yang kukuh yang mampu menjamin keselamatan. Ciri-ciri ini mesti kita perkasakan dalam negara kita supaya kita mampu maju ke hadapan bukannya terpaksa bergantung pada negara luar dalam setiap keperluan. Kita mesti rasa sedih bila bumi kita subur untuk pertanian tetapi masih banyak bergantung pada negara lain untuk hidup.Kita amat khuatir apa bila negara lain mengalami bencana seperti banjir besar yang melanda Thailand tahun lalu yang menyebabkan bekalan sayur, buah-buahan, beras, lembu berkurangan dalam negara sehingga harga melambung tinggi. Begitu juga sistem pertahanan kita yang masih bergantung pada sistem luar sehingga membuka masalah rasuah dan pecah amanah dalam pembelian senjata. 
Itu belum diambil kira tentang betapa amanahnya kepimpinan nabi dan para sahabat dalam mentadbir negara berasaskan Islam sehingga daripada sebuah kerajaan kecil akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya menguasai Empayar Hindu India dan Empayar Budha China. Sebaliknya negara kita terpaksa menjemput Yahudi untuk mentadbir negara dengan bayaran mahal ketika rakyat terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kepimpinan nabi dan para sahabat sentiasa membuka ruang untuk menerima teguran dan krtikan membina sedangkan kempimpinan kita bukan sahaja tidak mengendah penyelewengan dan pecah amanah yang merugikan berbilion duit rakyat malah berusaha mengekang suara rakyat dengan undang-undang yang mundur ke belakang.
Maka menjadi kewajipan kita untuk menyedarkan pemimpin dan siapa sahaja yang terlibat dalam mengurus harta Negara dan umum agar menjauhi amalan rasuah, pecah amanah, membazir di mana laporan Audit 2011 telah mencatatkan kerugian lebih RM 42 bilion akibat sikap buruk ini. Itu belum lagi dikira dengan hutang Negara yang melebihi RM 500 bilion yang menghampirkan kepada menjadi Negara muflis jika tidak diurus dengan baik. Jangan dek kerana dibutakan dengan habuan ratusan ringgit menyebabkan kita lupa bahawa duit poket rakyat disedut semula dengan kenaikan harga barang termasuk gula disamping pelaksanaan saman melalui Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dijangka menghisap darah rakyat jelata untuk keuntungan berapa kerat pihak yang berkepentingan. 
Oleh itu kita mendesak agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan saman ini yang bakal menzalimi rakyat bila ia dilaksanakan tanpa kajian lebih mendalam. Jangan biarkan kezaliman saman ekor berulang kembali dengan jenama dan alat yang baru.
 Kegagalan kita untuk berhijrah dari segi kepimpinan menyebabkan kita bakal menanggung risiko negara muflis ditambah dengan masalah sosial dan jenayah yang semakin tinggi. Berhijrah dan berjaya atau duduk ditakuk lama dan terus hina dan merana.
Hayatilah makna sebenar hijrah untuk berjaya dunia dan akhirat:
قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya. Sekian, wasalam

SELAMAT MENGHAYATI HIJRATUR RASUL SAW 1434H

PERUTUSAN HIJRAH 1434H

RABU, 14 NOVEMBER 2012 | 29 DZULHIJJAH 1433H


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...


Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan Salam keatas Junjungan kami Saiyidina Muhammad dan keatas keluarganya dan para sahabatnya semua. Ya Allah kami memohon mendapat keredhaan Mu dan Syurga. Dan kami berlindung dengan Mu dari kemurkaan Mu dan api neraka.  Ya Allah ampunkanlah kami dari dosa-dosa dan kesalahan kami semuanya.



WARGA PUTRAJAYA YANG DIKASIHI SEKELIAN

Peristiwa Hijrah terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam usaha kita memperjuangkan Islam di muka bumi. Salah satu perkara menarik yang sangat penting dijadikan iktibar ialah wujudnya beberapa golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman, lantaran itu kita perlu mengambil iktibar dengannya:
  1. Golongan utama: iaitu mereka yang mula-mula berhijrah ke Madinah bilamana mendengar arahan dan perintah Rasulullah s.a.w. Mereka ini mendapat pujian dan sanjungan dari Allah bahkan Allah meredhai mereka dan mereka juga meredhai Allah.
  1. Golongan yang diberi kemaafan kerana uzur, tidak berupaya untuk hijrah samada kerana tua, kanak-kanak, golongan kurang upaya atau kerana tidak mengetahui jalan-jalan menuju Madinah.

    Allah berfirman dalam surah an-Nisa’: 98-99,maksudnya : “Kecuali mereka yang tertindas samada lelaki atau perempuan dan anak-anak yang tidak berdaya dan tidak mengetahui jalan untuk berhijrah. Maka mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

    Tatkala turun ayat ini lalu berkata Habib bin Dhamrah al-Laithi seorang sahabat yang sangat tua, kepada anak-anaknya: “Tolong bawa aku ke Madinah, kerana Allah tidak mengecualikan aku, kerana aku bukan lemah ( masih gagah), dan aku juga mengetahui jalan menuju Madinah, sedang Allah hanya mengecualikan mereka yang tidak tahu jalan ke Madinah. Lalu anaknya membawanya keluar dari Mekah berhijrah menuju ke Madinah. Apabila sampai di Tanaiem, lalu ia jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka peristiwa ini sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah, lalu ada yang berkata: “Seandainya ia mati di Madinah, maka tentulah ia mendapat ganjaran pahala hijrah.”

    Maka turunlah ayat: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kamudian ia menemui ajalnya (kematian sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka pahalanya telah ditetapkan disisi Allah, Maka Alah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.
  2. Golongan yang tidak hijrah kerana terhutang budi dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka terus menetap di Mekah demi menjaga hubungan baik dengan pemuka Quraish. Mereka ini adalah sebahagian dari umat Islam yang enggan berhijrah. Mereka menyembunyikan keIslaman mereka.

    Namun bilamana berlaku peperangan Badar, lalu Abu Lahab mengajak semua golongan yang ada di Mekah bagi membantunya. Keadaan ini menyebabkan beberapa orang yang telah beriman itu, menjadi serba salah, samada keluar ke Badar, bermakna berperang melawan Islam dan Rasulullah sedangkan mereka telah menganut Islam; atau terus berada di Madinah, iman mereka selamat.

    Tetapi apa pula penilaian Abu Lahab dan pemuka Quraish? Lantaran tersepit dengan keadaan inilah menyebabkan mereka akhirnya keluar dengan pedang dan panah, bersama Abu Lahab dan Abu Jahal menuju Ke Badar, berperang bersama kumpulan yang menentang Islam. Lalu mereka mati dalam peperangan tersebut.

    Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 97:“Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat (dalam peperangan Badar) dalam keadaan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, lalu malaikat menempelak mereka dengan berkata: “Bagaimana kamu ini?” Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami adalah golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi.” Lalu Malaikat menjawab: “Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?” Maka mereka ditempatkan di neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
WARGA PUTRAJAYA SEKELIAN

Maka kita hendaklah bimbang tentang fenomena ini berlaku di zaman kita. Wujudnya golongan yang telah memahami perjuangan Islam, bahkan telah merasa kemanisan dalam memperjuangkan Islam, namun dalam situasi tertentu mengambil sikap menyembunyikan penglibatan dalam perjuangan Islam; dikhuatiri nanti bilamana golongan yang menentang Islam akan libatkan mereka dalam perjuangan untuk mengalahkan Islam, maka mereka akan turut serta dan akhirnya mati dalam usaha menentang Islam, nauzubillah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini dan menjauhi kita dari golongan ini.


Ya Allah hidupkanlah kami dalam kebaikan sampaikanlah hajat kami yang kami minta dan berilah kami hidayah dan panduan untuk mengerjakan sebaik-baik amalan dan semulia-mulia akhlak  sesungguhnya tiada siapa yang dapat memberinya melainkan Engkau.  

Ya Allah perbaikilah bagi kami Ugama kami yang menjadi tunggak keselamatan kami. Dan perbaiki bagi kami dunia kami yang tergantung padanya hidup kami. Dan perbaikilah bagi kami akhirat kami yang tergantung pada kesudahan kami. Dan jadikanlah hidup kami senentiasa bertambah baik dalam kebajikan. Dan jadikan mati  baik bagi kami dari  sebarang  kejahatan.

Ya Allah berilah kami taufiq bagi mengerjakan segala yang mendapat keredhaan Mu samada dari percakapan atau perbuatan.Dan pandulah jiwa raga kami kepada mengamalkan kebajikan dan bantulah kami sebagaimana Engkau memberi bantuan terhadap para awliak Mu dalam semua keadaan. Amin.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails