SELAMAT DATANG

Rabu, 13 Oktober 2010

Sultan Kelantan lucutkan gelaran 'Datuk' Ibrahim Ali

Salhan K Ahmad

Istana Kelantan hari ini melucutkan gelaran 'Datuk' yang dianugerah kepada presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.

Selain Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, gelaran Datuk bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud juga ditarik balik.

Menurut kenyataan media yang difakskan ke Malaysiakini, Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Seri Setia Raja Mohd Aiseri Alias berkata lima pingat yang dianugerahkan kepada Wan Hashim ditarik balik.

Turut ditarik balik pingat mereka hari ini adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Menurut kenyataan itu, "adapun penarikan balik ini adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara Baginda jua".

Sementara itu, dalam reaksi spontannya, Ibrahim ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengesahkan beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini bahawa Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) yang membawa gelaran 'Datuk Paduka' yang dianugerahkan kepadanya telah dilucutkan.

Pingat itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

“Saya tidak tahu sebab-sebabnya tetapi pada 7 Oktober lalu, saya ada menziarahi Sultan Ismail di Istana Mahkota. Sejak Sultan Ismail gering dan pulang ke Kelantan, inilah pertama kali saya melawat kerana hubungan peribadi saya amat rapat dengan Sultan Ismail.

Terus pertahan institusi raja

Apapun, ia tidak menjadi hal pada saya dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam pesanan ringkas SMS kepada Malaysiakini.

Menurut presiden PERKASA itu lagi, taat setianya kepada Sultan Kelantan sekarang, Tuanku Muhammad V tidak berbelah-bagi.

“Saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi raja kerana ia asas perlembagaan negara dan sebahagian daripada budaya Melayu menjunjung kedaulatan raja. Ampun Tuanku,” katanya.

Ibrahim juga menjelaskan beliau masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui wartawan di lobi parlimen, berkata beliau menerima keputusan penarikan darjah kebesarannya itu dengan hati terbuka terhadap.

Katanya, tindakan itu tidak akan mematahkan perjuangan beliau untuk mempertahankan institusi diraja dan juga hak Melayu.

"Saya tidak terkejut dengan perkara ini dan saya tidak mengetahui sebab dilucutkan gelaran itu," katanya.

Selasa, 12 Oktober 2010

Air: Pemuda PAS Kedah lapor SPRM

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 11 Oktober: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai di negeri itu.

Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya berkata, pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan air di negeri itu mendorong pihaknya membuat laporan kepada SPRM.

“Kami dah buat laporan rasmi tentang penyelewengan isu air seperti mana yang disiarkan media sebelum ini dan kita serah sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

"Laporan setebal dua muka surat itu berjaya diserahkan terus kepada Pengarah SPRM Kedah, Datuk Idrus Jaafar di pejabatnya pagi tadi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Azizan telah mendedahkan penyelewengan kos pembinaan loji pembersihan air di Padang Sanai berjumlah RM155 juta berbanding harga sepatutnya mengikut piawaian hanya di sekitar RM50 juta ke RM60 juta sahaja.

Satu lagi loji yang turut didedahkan ialah loji pembersihan air di Lubuk Buntar yang berharga RM65 juta berbanding harga sebenar di antara RM25 juta ke RM30 juta sahaja.

Turut bersama mengiringi Ahmad ialah Timbalan Ketua DPPNK, Muhammad Sanusi Md Nor, Naib Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Izzat Shauki, Setiausaha DPPNK, Mohd Rosli Azmi dan beberapa Exco DPPNK.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails