SELAMAT DATANG

Sabtu, 16 Mei 2009

Sorotan Sejarah 35 Tahun Pas Wilayah Persekutuan

Pengenalan
Mengikut catatan sejarah Cina, Lembah Kelang disebut sebagai Ko-lo yang wujud semenjak zaman Dinasti Han (220M). Menurut catatan sejarah Arab dan India pula Kelang yang disebut sebagai Kalah (Killah, Kalr, Qal’ah atau Qal’) merupakan sebuah pelabuhan enterport yang masyhur dengan bijih timah pada abad kelapan hingga ke-10 juga merupakan tempat terawal didatangi oleh pedagang di Tanah Melayu. Pada abad ke-14, catatan sejarah Cina menamakan Lembah Kelang sebagai Ku-lei. Bermula abad ke-15 lagi iaitu pada zaman Empayar Melaka sebagai sebuah pusat perlombongan bijih timah. Pada masa itu, daerah ini dikenali sebagai Daerah Kelang, sebuah jajahan Melaka yang berpenghulukan Tun Perak (1946-1448). Sehingga kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, Kelang terus berada di bawah kekuasaan Melaka.



Pemerintahan orang Bugis di Lembah Kelang bermula apabila Raja Lumu dilantik menjadi Sultan Selangor yang pertama pada 1760. Kesultanan ini memerintah Selangor sehingga hari ini. Pengkalan Lumpur, sebuah perkampungan Melayu yang mengusahakan bijih timah merupakan tempat pertemuan antara Sungai Kelang dan Sungai Gombak (Sg Lumpur) di tengah-tengah Lembah Kelang yang dibuka oleh Raja Abdullah, Penghulu Kelang pada 1857. Pada tahun 1868, Yap Ah Loy, seorang saudagar Cina dilantik sebagai Kapitan Cina telah membangunkan semula Kuala Sungai Lumpur yang terbakar akibat Perang saudara pada 1873 sebagai sebuah bandar untuk perdagangan bijih timah dengan nama Kuala Lumpur.

Kepentingan semakin bertambah apabila Inggeris memilih Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896. Kemudian pada 1946 ia menjadi ibu negeri Malayan Union iaitu gabung semua negeri di Tanah Melayu. Pada 1948, Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, Kuala Lumpur terus dikekalkan sebagai ibu negara sehinggalah menjadi ibu negara Malaysia yang ditubuhkan pada 1963. Menjelang 1 Februari 1972, Kuala Lumpur dinaikkan taraf sebagai bandaraya dan dua tahun kemudian Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1 Februari 1974 telah ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah seliaan Menteri Wilayah dan juga Jabatan Perdana Menteri. Wilayah Persekutuan kemudiannya berkembang apabila Labuan, sebuah pulau di perairan Sabah diistiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada 1 Februari 2001 pula, Putra Jaya sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah diisyitiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Kini Wilayah Persekutuan meliputi tiga kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

PAS Bertapak di Kuala Lumpur
Sejarah penubuhan PAS di Kuala Lumpur telah bermula semenjak 1952 iaitu sebaik sahaja penubuhan PAS pada 24 November 1951. Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi dalam Persidangan Persatuan Ulama SeMalaya pada 24 November 1951, sebuah Jawatankuasa Agung PAS telah dibentuk dengan diketuai oleh Ustaz Tuan Haji Ahmad Fuad bin Hassan selaku Yang DiPertua Agung PAS. Jawatankuasa Agung PAS ini telah bermesyuarat buat kali pertama pada 3 April 1952 dan memutuskan supaya cawangan-cawangan PAS ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di kawasan masing-masing.
Cawangan PAS yang pertama ditubuhkan ialah di Butterworth pada 9 Mac 1951 oleh Ustaz Ibrahim Aqibi dan diikuti pula oleh Cawangan Kuala Kangsar pada 10 April 1952 oleh Tuan Guru Abdul Samad Nuh. Cawangan Kuala Lumpur pula telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Julai 1952. Persidangan yang membawa kepada penubuhan PAS Cawangan Kuala Lumpur ini dihadiri oleh 40 orang ahli PAS di sekitar Kuala Lumpur dan Ustaz Mas’ud Hayati dilantik sebagai Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur yang pertama.

Sebenarnya, sebelum Ustaz Mas’ud Hayati dilantik menjadi Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur, seorang ulama terkenal di Lembah Kelang, Ustaz Mohd Noor Mahyuddin dari Segambut telah dilantik sebagai Naib Yang DiPertua Agung PAS bagi zon tengah. Beliau telah menggerakkan PAS sebagai sebuah pertubuhan politik Islam di Lembah Kelang ketika Pejabat Agung PAS masih lagi berpusat di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kerancakan gerakan PAS di Kuala Lumpur semakin bertambah apabila Pejabat Agung PAS berpindah ke Kuala Lumpur pada penghujung 1955. Rumah Ustaz Mohd Noor Segambut telah dijadikan pejabat sementara sebelum berpindah ke Jalan Raja Bot. Pejabat Agung kemudiannya berpindah ke Jalan Hamzah, Jalan Raja Uda, Jalan Pekeliling dan Jalan Pahang yang semua berada di sekitar Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Perpindahan Pejabat Agung PAS ini adalah selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Persekutuan Tanah Melayu.

Selain berfungsi sebagai pusat gerakan PAS, Kuala Lumpur juga turut menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS semenjak 1956 apabila Kongres Tahunan PAS Ke-.. diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Selain itu kongres PAS juga turut diadakan di Stadium Chin Woo, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar antara 1956 hingga hari ini. Muktamar ini walaupun tidak mempunyai apa-apa makna tetapi merupakan satu syiar perjuangan PAS terhadap warga Kuala Lumpur.
Penubuhan PAS Wilayah Persekutuan

Sehingga 1974 semua kawasan dan cawangan PAS di Kuala Lumpur adalah terletak di bawah naungan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Segala perkembangan PAS di Kuala Lumpur adalah dikendalikan dan diselia oleh PAS Selangor. Sejarah PAS Kuala Lumpur yang tersendiri bermula apabila Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya pada 1 Februari 1972. Bermula daripada detik ini, desas desus tentang pemisahan Kuala Lumpur daripada Selangor telah kedengaran. Pada 1 Februari 1974, segalanya menjadi kenyataan apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Pada ketika itu PAS merupakan anggota kerabat Barisan Nasional (BN) sedang dipimpin oleh YB Datuk Mohd Asri bin Muda.

Dengan tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, maka Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Jamaah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan pada 1974. Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang pertama.

Ketika PAS Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1974, terdapat lima kawasan Parlimen di Kuala Lumpur iaitu Setapak, Kuala Lumpur Bandar, Kepong, Damansara dan Sungai Besi. Dalam usahanya yang pertama, PAS telah berjaya menubuhkan beberapa PAS Kawasan seperti Kawasan Setapak dan Damansara. Walaupun pada peringkat ini, PAS hanya menubuhkan beberapa kawasan sahaja, namun ia merupakan titik mula kepada pergerakan PAS di Wilayah Persekutuan. Pindaan kawasan pilihanraya pada 1977, telah menambahkan jumlah kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan daripada empat kepada …. PAS pula berjaya menubuhkan dua kawasan baru iaitu PAS Kawasan Kepong dan Sungai Besi. Pada tahun 1984, PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar berjaya ditubuhkan.

Pada 1985, sekali lagi kawasan pilihanraya di Wilayah Persekutuan bertambah berikutan perubahan kawasan pilihanraya. Kawasan Setapak telah dipecahkan kepada Kawasan Batu dan Titiwangsa; Kuala Lumpur Bandar pula dikenali sebagai Bukit Bintang; Damansara bertukar nama kepada Lembah Pantai; Kawasan Kepong dan Sungai Besi dikekalkan; Seputeh pula muncul sebagai kawasan baru manakala Kawasan Labuan dibentuk selepas Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984. PAS telah berjaya menubuhkan PAS Kawasan Batu, Titiwangsa, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Kepong dan Sungai Besi.

Pada tahun 1992, sekali lagi berlaku pindaan kawasan pilihanraya dan Wilayah Persekutuan mendapat tambahan tiga kawasan iaitu dua kawasan baru - Wangsa Maju dan Segambut Bandar, manakala kawasan Sungai Besi dipecahkan kepada Bandar Tun Razak dan Cheras. Ketika PAS mengadakan Muktamar Tahunan 1998, semua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan PAS Kawasan termasuk Labuan.

Menyusuri Kemenangan

Pertumbuhan bandaraya Kuala Lumpur yang begitu pesat sebagai pusat pentabiran kerajaan persekutuan dan perdagangan meyebabkan ia menjadi begitu sesak dan tidak mempunyai ruangan yang cukup untuk perkembangan lanjut. Atas alasan itu, kerajaan persekutuan mencari tapak baru dan Kerajaan Selangor bersetuju menjual sebuah kawasan bernama Prang Besar dalam daerah Sepang.

Justeru pada 19 Oktober 1995, Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan yang ketiga, selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Berpegang kepada amanat al-Marhum Dato Hj Fadzil Mohd Noor Mantan Presiden PAS yang juga ADUN Anak Bukit ketika lawatan ke kampong Telok Jawa Alor Setar al-Marhum menyatakan; “Di mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung” akhirnya atas semangat itu pada 26 Julai 2004 PAS telah berjaya Ditubuhkan di kawasan Putrajaya.

Rekod penyertaan PAS dalam pilihanraya di Kuala Lumpur telah bermula semenjak Kuala Lumpur masih dalam negeri Selangor iaitu dalam Pilihanraya 1959; 1964; dan 1969. Manakala setelah menjadi Wilayah Persekutuan, PAS menyertai pilihanraya pada 1974; 1978 (Parlimen Damansara); 1982 (Parlimen Setapak dan Damansara); 1986 (Parlimen Batu, Titiwangsa dan Sungai Besi); 1990 (tidak bertanding); 1995 (Parlimen Bandar Tun Razak); 1999 (Parlimen Titiwangsa dan Labuan) 2004 (Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Labuan) dan 2008 (Parlimen Titiwangsa, Labuan dan Putrajaya)

Walaupun selama 34 tahun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Wilayah Persekutuan, namun penyertaan dalam pilihanraya ini merupakan suatu pendedahan kepada ahli PAS terhadap erti perjuangan gerakan Islam yang memerlukan kesabaran dalam menghadapi onak dan duri. Pahit manis perjuangan dengan sepak terajang politik, jatuh bangun rebah menyulur dalam arena dakwah di samping kesabaran, kesungguhan dan iltizam yang tinggi akhirnya pada usia mencecah 35 tahun anak Sulong PAS Wilayah Persekutuan yang bernama Titiwangsa berjaya juga dilahirkan pada malam tanggal 8 Mac 2008. Calon Pas YB dr Lolo binti Ghazali menang di Parlimen Titiwangsa mengalahkan calon BN dalam suasana tsunami politik yang dahsyat.

Selain Ustaz Jalil Safwan, beberapa tokoh PAS yang lain turut diamanahkan sebagai Pesuruhjaya untuk menggerakkan PAS Wilayah Persekutuan yang pada ketika itu merupakan Badan Perhubungan PAS yang paling bongsu dan masih mentah. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Tuan Haji Hassan Ishak (1977-1981), Cikgu Mohd Nor Jan (1981-1983), Dr Haji Abbas Alias (1983-1985), Ustaz Nakhaie Ahmad (1987-1989), Tuan Haji Ismail Abdullah (1989-1993), Tuan Syed Ibrahim Abdul Rahman (1993-1997), Tuan Haji Subky Latif (1985-1987 dan 1997-2005) dan Tuan Haji Mohamad Noor Muhammad (2006-sekarang)
Dato Nakhaei Ahmad antara mantan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan yang pergi meninggalkan perjuangan untuk menyertai UMNO.





Zamry hanya MB 'Syok Sendiri'

Mohd Khalil Abdullah
Sat May 16, 09 11:58:48 am MYT
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) -PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kembali bertugas sebagai 'Menteri Besar' adalah kemuncak kepada penderhakaan terhadap seluruh rakyat Perak. Iklan


Menurut Penasihat Undang-undang PAS Wilayah Persekutuan,Ahmad Zamri Khuzaimi,sungguhpun Zambry telah mendapatkan perintah penggantungan daripada Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , tindakan Zambry kembali bertugas bersama barisan Exconya dilihat membelakangkan kehendak rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abd Rahim Isnin lalu telah mengesahkan lagi bahawa Dato' Seri Nizar sememangnya Menteri Besar Perak yang sah dan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan pilihan rakyat Perak yang masih sah berkuasa.



"Apa yang dilakukan Zambry kini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang 'syok sendiri' dengan menafikan kehendak majoriti rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kedudukan Zambry kini hanya sebagai 'care taker' sahaja sementara menunggu selesainya proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan berkemungkinan juga akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yg merupakan mahkamah tertinggi negara.

"Justeru itu, beliau dan barisan Exconya tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang bersifat dasar ataupun yang melibatkan kewangan negeri.

"Walaupun dari segi perundangannya, Zambry berhak untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari, tetapi secara moralnya, Mahkamah Tinggi telahpun membuat keputusan yang jelas mencerminkan hasrat majoriti rakyat Perak yang mahukan kerajaan Pakatan Rakyat kembali menerajui negeri Perak,"katanya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa.

Ahmad turut mengulas bahawa,keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dicapai selepas Hakim meneliti dan mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan-hujahan peguam kedua belah pihak dalam perbicaraan yang mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.

"Zambry sepatutnya akur dengan keputusan tersebut demi menamatkan kemelut perebutan kuasa yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan ini.

"PAS Wilayah Persekutuan juga melahirkan rasa kagum yang amat sangat di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Selasa lalu yang disifatkan 'extra' efisyen dengan kelajuan yang sangat luar biasa.

Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan untuk penggantungan penghakiman tersebut telah dibuat oleh peguam Zambry pada pagi tersebut dan ia didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali secara berseorangan dalam masa kurang tiga jam selepas permohonan tersebut difailkan.

"Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kehakiman negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar kecekapan mahkamah dalam melupuskan kes sepantas ini dapat diteruskan ke mahkamah-mahkamah lain terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah,"jelasnya lagi.

Sementara itu menurut Ahmad,sehingga hari ini masih terdapat tahanan-tahanan reman yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk dibicarakan dan masih belum diselesaikan.

"Setiap rakyat sepatutnya mendapat keadilan yang sama rata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin hak asasi manusia dan tidak sepatutnya ada layanan istimewa diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

"PAS Wilayah Persekutuan mengulangi dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak ini ialah dengan cara membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapakah yang layak untuk mewakili mereka dan menerajui kerajaan Negeri Perak.

"Selagi isu ini dibiarkan berlegar di mahkamah perundangan dengan mengheret insitusi istana, maka selagi itulah rakyat Perak akan terus berhadapan dengan konflik politik ini dengan tidak ada kesudahannya,"tegasnya. - mks.

SAMBUTAN 35 TAHUN PAS WILAYAH


Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah bersyukur kita ke Hadhrat Allah Azzawajalla Dapat kita mengadakan sambutan ulangtahun ke 35 Pas Wilayah Persekutuan. Diharapkan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dalam suasana meriah dan penoh dengan semangat ukhwah Islamiyyah.

Pas W. Persekutuan sedang mengadakan sambutan ulangtahun 35 tahun penubuhannya. Walaupun tidak seusia dengan Pas diperingkat Pusat namun harus diingat bahawa W. Persekutuan itu sendiri adalah terlebih tua dari Pas itu sendiri, justeru di Wilayah Persekutuan inilah perbincangan awal tentang penubuhannya telah berlaku iaitu kira-kira lebih 50 tahun yang lalu sekumpulan pemikir telah berbincang untuk menubuhkan PAS.



Walaupun perbincangan ini tidak membawa hasil namun akhirnya PAS berjaya juga ditubuhkan di Bagan Tuan Kechil yang kini dikenali sebagai Butterworth.
Bertitik tolak disinilah hari ini PAS mula menguasai W. Persekutuan, memikul tanggungjawab menjadi PAS contoh. Buruk Pas Wilayah Persekutuan maka akan buruklah Pas seluruhnya begitulah sebaliknya. Ini adalah kerana ia berada di tengah Ibukota maka seharusnya Pas Wilayah zahir sebagai Parti yang sesuai dengan usianya. 35 tahun adalah usia yang penoh dengan kematangan, maka hasrat untuk melahirkan zuriat sulong tercapai di usia ini di Parlimen Titiwangsa.

Meniti liku-liku perjuangannya maka sewajarnya sambutan serta peringatan sejarah penubuhan PAS Wilayah Persekutuan 35 tahun yang lalu disambut dan diingati agar ianya menjadi pedoman dan suluhan generasi hari ini untuk meneruskan hari-hari muka dengan penoh gemilang.

Sementara di kesempatan ini bagi pihak Jawatankuasa sambutan saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan ini. Kami juga mengucap berbanyak terima kasih di atas pelbagai sokongan bantuan dan kerjasama semua pihak yang terlibat bagi menjayakan sambutan ini.

Kita berdoa semoga segala usaha bantuan sumbangan dan kerjasama itu di makbukkan Allah SWT sebagai amal soleh dengan penoh keredhaanNya. Tidak lupa juga kami ingin memohon kemaafan kepada semua pihak yang terlibat ditas segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat selama menjayakan program ini yang mungkin ada yang tidak selesa mahupun kurang sempurna perjalanannya. Dan insyaAllah ianya akan menjadi iktibar dan dapat diperbaiki pada masa-masa yang akan datang

Ustaz Mohamad Nazir Zakaria
Pengarah
Sambutan 35 Tahun Pas Wilayah Persekutuan

KEMALANGAN MAUT: PERBADANAN PUTRAJAYA DIHARAP MENGAMBIL TINDAKAN SEGERA


PUTRAJAYA, 16 MEI: Satu kemalangan maut telah berlaku yang melibatkan seorang murid iaitu adik Muhammad Firdaus bin Badrul Hisham 12 tahun, di Putrajaya baru-baru ini. Kemalangan tersebut telah berlaku disebabkan pelajar terbabit melintas di Lebuhraya Persiaran Utara berhampiran Apartment Kuarters Fasa 5, Presint 9. Pelajar malang tersebut adalah murid di SEKOLAH KEBANGSAAN PRESINT 11(1).



Sejurus selepas kemalangan tersebut PAS Kawasan Putrajaya telah menghantar satu surat cadangan kepada pihak Perbadanan Putrajaya bertarikh 27 April 2009 dan surat tersebut dihantar sendiri oleh YDP PAS kawasan Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir Zakaria kepada Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Bin Osman, juga salinan kepada Datuk Hj Abdul Ghani bin Ahmad, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar,Superintendent Abdul Razak Bin Abdul Majid, Ketua Polis Daerah dan Hj. Khairil bin Awang Timbalan Pengarah Pelajaran, Pejabat Pelajaran WP PUTRAJAYA."Sehingga hari ini pihak Pas Kawasan belum lagi menerima maklumbalas dari pihak perbadanan dan dilihat tiada sebarang tindakan susulan diambil" ujar Ustaz Nazir.

Antara kandungan surat tersebut ialah Pas Putrajaya dengan rasa prihatin dan tanggungjawab memohon kepada pihak Perbadanan Putrajaya agar dapat memberikan pertimbangan terhadap beberapa perkara yang boleh mengelakkan perkara sebegini berulang.

Perkara-perkara yang dicadangkan oleh pihak kami dan sewajarnya diberikan perhatian adalah :

i.Membina pagar pada pembahagi jalan bagi mengelak pelajar-pelajar melintas dikawasan berkenaan dan menggalakkan mereka menggunakan jalan yang lebih selamat contohnya terowong yang menyambungkan Presint 9 dan Presint 11
ii.Membina jejantas pejalan kaki bagi memudahkan pelajar yang bersekolah di Presint 11 dan tinggal di Presint 9 ataupun sebaliknya lebih mudah berulang-alik menggunakan laluan yang lebih dekat dan selamat.
iii.Adalah diharapkan pihak Perbadanan dapat berbincang agar Jabatan Pendidikan Daerah menyusun bagi meminimumkan pelajar yang tinggal di Presint 9, tetapi belajar di Presint 11. Hanya pelajar yang ibubapa mereka berkemampuan dan kesempatan untuk menghantar dan mengambil mereka ke sekolah diberikan penempatan sekolah sedemikian.
iv.Perkhidmat BAS Sekolah.
Diharapkan juga pihak Perbadanan dapat bertindak pro-aktif dalam perkara ini. Walaupun ramai ibubapa mempunyai kenderaan, masih ramai lagi yang masih belum ada kereta atau kesempatan untuk menghantar atau mengambil anak di sekolah. Justeru, penyediaan BAS sekolah (NADI PUTRA) diharapkan dapat mengelak pelajar sekolah menggunakan laluan yang salah untuk pergi-balik sekolah;
v.Perbincangan dengan pihak Polis bagi mengawal lalulintas pelajar sekolah pada waktu pergi dan pulang pelajar-pelajar tersebut.

Sebagai kesimpulan kami melihat perkara (i) adalah perkara yang perlu disegerakan dan perkara-perkara lain perlu menyusul agar perkara sedemikian tidak berulang lagi

Pertimbangan pihak tuan amat kami harapkan agar keselamatan anak-anak kita terjamin dan tidak terdedah kepada bahaya. Pertimbangan dan tindakan tuan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih

“PAS UNTUK SEMUA”

Rabu, 13 Mei 2009

MB Haram Dibenar Jalankan Tugas MB Halal




Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan , Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu. Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-

a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 ( 6 ) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan;
Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ( yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry ( Responden ) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.

d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau ( seperti Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.
Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekaligus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Nizar ( bukannya Zambry ) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi . Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi . Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang ( iaitu Nizar ). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ( stay of execution of judgment ) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini ( 12 Mei ) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik ( special circumstances ) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman ( dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan ).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi , Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi . Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Nazri adalah Menteri besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.

Oleh : Peguam Hanipa Maydin

PEGUAM NIZAR KAJI RAYU KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN




IPOH: Barisan peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Salah seorang peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan tersebut.

Ketika ditemui di sini pukul 3.30 petang pada sidang media bersama Nizar, Leong berkata, pihaknya akan meneliti kandungan keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi.

"Kami sedang meneliti kemungkinan itu, kemungkinan itu (peruntukan undang-undang)," kata beliau sambil menambah, aspek masa rayuan dikemukakan pihak defenden juga akan diteliti.

Nizar pula berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk memberi nasihat mengenainya.

Kira-kira pukul 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

mStar Online

SERAH KEPADA RAKYAT PILIH KERAJAAN


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat bahawa krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.

Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Artikel 21 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, insiden pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan Mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat," kata beliau.

"Tindakan Mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak," kata Abu Talib. BERNAMA

Isnin, 11 Mei 2009

NIZAR MB YANG SAH - HAKIM MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Ahad, 10 Mei 2009

Sivakumar Buat Laporan Polis Tentang Kekecohan Dun dan Pencerobohan Polis!


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang sah, V. Sivakumar, bertindak membuat aduan polis berhubung kekecohan dan pencerobohan polis di persidangan Dun Perak, 8 Mei lalu.Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira 11.30 pagi, dengan diiringi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat, sejurus selepas sidang media di Pejabat DAP Perak.Dalam aduannya, Sivakumar berkata sepuluh Adun, termasuk Menteri Besar BN, Dato' Seri Zambry Abd Khadir dan enam exconya mengingkari arahannya yang melarang mereka memasuki dewan."Saya juga mengumumkan selagi mereka tidak meninggalkan dewan, sidang dewan tidak akan bermula. Bagaimanapun, mereka mengingkari arahan saya sebagai speaker.



Malahan mereka membuat kecoh di dalam dewan dengan cuba mengemukakan usul walaupun sidang dewan belum bermula lagi," kata beliau.Tindakan sekumpulan polis dan beberapa lelaki yang disyaki sebagai samseng luar tanpa pas memasuki dewan tanpa kebenaran dan pengetahuan beliau turut dinyatakan dalam laporan polis tersebut."Walaupun saya telah cuba sedaya upaya memberi amaran (supaya) jangan menghalang saya menjalankan tugas, sekumpulan lelaki tersebut telah mencekik leher saya dan mengheret badan saya ke atas lantai."Dan saya dibawa keluar (dari) dewan negeri dengan penuh kekerasan," katanya dalam laporan itu.


Kekecohan itu juga, tambah Sivakumar, menyebabkan beberapa Adun Pakatan Rakyat, antaranya Adun Pinji, Thomas Su, Seah Leong Peng (Pasir Bedamar) dan Chang Lih Kang (Teja)mengalami kecederaan.Selain itu, Adun Jelapang, Hee Yit Fong juga didakwa menyembur bahan pemedih mata terhadap Adun Aulong, Yaw Tian Woh."Berdasarkan kepada fakta di atas, saya mendapati mereka yang terlibat dalam kejadian di atas telah melanggar Seksyen 124 dan 323 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain."Dan dengan ini saya datang meminta pihak polis mengambil segala tindakan undang-undang yang wajar supaya membela kedaulatan undang-undang negara dan menegakkan keadilan," adunya lagi kepada polis.


Sementara itu, Misbahul Munir Masduki, berkata beberapa Adun yang lain turut membuat laporan polis terhadap kekasaran yang dilakukan sekumpulan lelaki tersebut.Katanya, mereka mendakwa dan mengesyaki lelaki-lelaki itu ialah anggota polis yang dipergunakan oleh BN Perak untuk kepentingan politik mereka. Tambahnya, seorang penyokong kuat Pakatan Rakyat juga membuat laporan polis terhadap kekasaran yang dilakukan ke atasnya di luar bangunan Perak Darul Ridzuan. Lelaki tersebut dikasari dan diseret sehingga berlaku kecederaan yang serius.Antara Adun yang turut serta ialah Dato' Ngeh Koo Ham, Nga Kor Ming, Khalil Idham Lim yang diiringi para penyokong dan wartawan.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Sabtu, Mei 09, 2009 2 ulasan


Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails