Putrajaya, 9 Ogos 2014. Mesyuarat Agong Penubuhan Persatuan Alumni
Pondok Pasir Tumboh telah berjaya dilaksanakan kelmarin 8 Ogos 2014 bertempat
di Pondok an-Nuur Travel, Tanjung Lumpur Kuantan Pahang dan telah dirasmikan
oleh Pengarah Urusan Pondok an-Nuur Travel
Yang Berbahagia Ustaz Mokhtar bin Senik yang juga merupakan bekas pelajar pondok
berkenaan.
Dalam ucaputamanya Ustaz Mokhtar berkata;”Pondok Pasir Tumboh yang mula
ditubuhkan pada tahun 1954 telah melahirkan ramai pelajar yang berjasa kepada
masyarakat. Namun sehingga kini tidak pernah mana-mana pihak cuba mengumpulkan
pelajar-pelajar yang kini bergelar ulamak dalam satu persatuan.
Ustaz Mokhtar dalam ucaputamanya menyatakan, “hasil dari perjumpaan
bekas-bekas pelajar pondok Pasir Tumboh di pondok yang terbesar di Malaysia ini
3 tahun yang lalu telah direalisasikan pada hari ini dengan tertubuhnya
Persatuan Alumni Pondok Pasir Tumboh yang telah diluluskan pendaftarannya pada
16 julai yang lalu”.
Pondok Pasir Tumboh sejak penubuhannya 60 tahun yang lalu telah
melahirkan ramai ulamak mengemudi ummat di negara ini. Ribuan pelajar telah
dilahirkan dan sehingga hari ini puluhan pondok telah diwujudkan oleh lepasan
pondok ini di seluruh negara, bahkan telah wujud persatuan bekas-bekas pelajar
di seluruh negeri namun mereka hanya bergerak disekitar negeri mereka sahaja
dan tidak pernah didaftarkan.
“InsyaAllah dengan wujudnya Persatuan Alumni Pondok Pasir Tumboh yang
bertaraf kebangsaan ini kita dapat menghimpunkan seluruh bekas-bekas pelajar
dan menyenaraipendekkan pondok-pondok yang ada dan kita akan dapat melihat di
mana kekurangan dan kelemahan yang ada dan dapat kita sempurnakan bersama
melalui pengembelingan tenaga, idea dan sumber yang diperolihi melalui
persatuan ini. Ini adalah selaras dengan matlamat penubuhan alumni ini sendiri
untuk menyatukan seluruh bekas pelajarnya, ujar Ustaz Mokhtar lagi.
Ketika di tanya, Setiausaha Agongnya, Ustaz Mohamad Nazir Zakaria
tentang objektif penubuhan alumni ini beliau menambah, “selain menyatukan
seluruh bekas pelajarnya kita juga berhasrat untuk menjaga sebaik mungkin
kebajikan mereka dan pondok-pondok mereka dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang
telah dirancang dengan tema “satu pondok satu produk” dan untuk menjayakannya sebuah
syarikat iaitu Alumni Pasir Tumboh Network telah didaftarkan”.
“Begitu juga dengan penambahbaikan sistem pendidikan yang menjadi agenda
serta objektif yang akan diutamakan daripada dilihat sebagai sebuah entiti
pengajian tradisional kepada pemodenan khususnya infrastruktur pondok itu
sendiri selaras dengan perkembangan semasa, tambahnya lagi.
Sejurus selesai mesyuarat agung tersebut satu majlis pecah tanah
penubuhan Kolej Islam An-Nuur milik Presiden Alumni Pondok Pasir Tumboh yang
juga Mudir Pondok an-Nuur telah dilaksanakan oleh YBhg. Dato Tuan Ibrahim Tuan
Man. Kolej berkenaan adalah kesinambungan dari Pondok an-Nuur, antara lain akan
menawarkan pengajian kitab turath peringkat diploma.