SELAMAT DATANG

Khamis, 31 Mei 2012

Ambil iktibar kemalangan di himpunan belia

Hazayani Zakaria,28 Mei 2012

KUALA LUMPUR: PAS Putrajaya meminta kerajaan mengambil iktibar daripada kes kemalangan yang berlaku ketika acara perlumbaan drag sempena Himpunan Jutaan Belia Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya, Nazir Zakaria berkata, penganjur aktiviti tersebut seharusnya memperketat langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlumbaan itu diadakan.

"Kerajaan khususnya pihak penganjur harus dipertanggungjawab dalam kes ini kerana gagal mengambil langkah keselamatan semasa perlumbaan berlangsung.

"Saya difahamkan trek perlumbaan dan penonton hanya dipisahkan dengan pokok hiasan. Kenapa biarkan penonton berdiri di tepi jalan begitu? Macam tak ada beza dengan perlumbaan haram di jalan raya," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada 17 mangsa yang terlibat, Nazir juga berkata, pihaknya akan melawat mereka di Hospital Putrajaya dalam masa terdekat.

Dalam kejadian di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 itu, empat daripadanya parah, apabila sebuah kereta dalam perlumbaan tersebut terbabas sebelum melanggar penonton yang berada di kawasan yang dibenarkan untuk menyaksikan sukan permotoran itu.

Banyak program melalaikan

Mengulas mengenai Himpunan Jutaan Beliau secara umum pula, Nazir berkata, ianya tidak lebih daripada program hiburan yang melalaikan golongan muda.

"Program yang diadakan tidak berbaloi dengan persiapan yang dilakukan dan banyak aktiviti yang menjurus kepada hiburan yang tidak sihat.

"Memanglah belia suka hiburan tapi perlukah kerajaan sediakan program sebegini untuk golongan muda?" soalnya.

Tambah beliau juga, aktivti hiburan seperti tarian dan nyanyian bertentangan dengan konsep wasatiyyah yang dicanang Perdana Menteri, datuk Seri Najib Razak.

"kalau betul nak ikut konsep wasatiyyah bukan dengan cara sediakan hiburan melampau kepada golongan muda," katanya.

Sokongan terhadap PAS di Putrajaya Meningkat

PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat sangat memberangsangkan.


Biarpun Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.

Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.

Menurut Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada mereka.

"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.

"Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.

Antara Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.

Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi.

Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya.

Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.

Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.

Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.

Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails