SELAMAT DATANG

Sabtu, 19 Februari 2011

Orang Melayu kena tegak Islam bukan Ketuanan Melayu, kata Hadi

February 19, 2011

SHAH ALAM, 19 Feb – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan nasib orang Melayu di negara ini akan terjamin sekiranya berpegang teguh kepada ajaran Islam bukannya Ketuanan Melayu yang dilaungkan Umno-BN.

Beliau (gambar)berkata Islam tidak mengamalkan konsep Ketuanan Melayu seperti mana yang dibawa Umno.

“Kalau orang Melayu nak selamat, mesti tegakkan Islam baru selamat.

“Kalau tegakkan Melayu memang tak selamat,” kata beliau pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Islam yang diturunkan Allah s.w.t merupakan satu amanat kepada orang Melayu.

“Islam namakan kepimpinan sebagai amanat, sebab itu kepimpinan Islam tidak amalkan konsep menghambakan orang.

“Selain itu, kepimpinan Islam tak semestinya didokong hanya orang Islam, Islam tidak fokus hanya kepada kaum tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Rakyat perlu membuat satu pendirian tetap sama ada mahu berhadapan dengan Umno atau mengelak berhubung isu Ketuanan Melayu.

Katanya, isu Ketuanan Melayu telah digunakan Umno semata-mata mahu mendapatkan sokongan orang Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Umno menggunakan isu Ketuanan Melayu dengan harapan sokongan orang Melayu terhadap PAS dan PKR akan terhakis.

“Kita perlu pilih satu, di persimpangan dua jalan, sama ada berhadapan secara terus dengan Umno dan menyelesaikan perkara ini ataupun mengelak.

“Kedua-duanya boleh kita gunakan, kerana keputusan pilihan raya umum di tangan rakyat, kita mahu tidak mahu kena pilih,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS.

Kata Saifuddin, isu Ketuanan Melayu ini semakin hangat diperkatakan kerana keputusan pilihan raya umum lalu didakwa menghakis kuasa politik Melayu.

“Golongan yang paling lantang memperkatakan isu Ketuanan Melayu adalah dari kelas pertengahan Melayu, sekali gus turut menjadi wakil kepada kelas bawahan.

“Selain itu, kumpulan-kumpulan ultra-Melayu pula tumbuh seperti cendawan selepas hujan turut menyumbang kepada pola pengundian ini,” katanya.

Saifuddin juga menegaskan tugas Pakatan Rakyat sekarang adalah untuk menerangkan kepada orang Melayu bahawa gabungan tiga parti itu akan terus mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu bebaskan minda orang Melayu yang dikongkong oleh Umno, oleh itu kita kena bertindak sekarang, kerana belum tentu undi kita bertambah nanti,” katanya.

Jangan harap mahu rampas negeri Pakatan

Nazri Abdullah

ALOR SETAR, 19 Feb: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak berkata, PAS tidak akan memberi laluan mudah kepada Umno BN untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan pada waktu ini.

Bercakap sewaktu merasmikan Himpunan 30K Pemuda PAS di sini beliau berkata, kekuatan pemuda PAS yang hadir hari ini adalah senjata ampuh untuk menghalang Umno merampas negeri dengan pelbagai taktik kotor mereka.

Katanya, kehadiran 30 ribu pemuda PAS membanjiri dataran kompleks PAS Kedah hari ini membuktikan kesungguhan pemuda mempertahan kerajaan Kedah dan menyekat taktik kotor Umno yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kedah.

"Ini sudah cukup menggerunkan Umno, kita kena pertahankan.

"Umno jangan fikir dia sahaja nak menang, kita pun fikir nak menang.

"Saya dan rakan-rakan yang memikul amanah kepimpinan kerajaan negeri, tidak akan bagi laluan mudah kepada umno BN," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Hadir sama pada majlis perasmian pagi tadi adalah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Ahmad Abdullah, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan seluruh kepimpinan pemuda seluruh negara.

"Apakah kita nak biarkan keadilan yang kita buat ini dihancurkan Umno?" soal Azizan disambut laungan 'tidak' oleh kira-kira 30 ribu pemuda PAS yang hadir termasuk dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sehubungan itu beliau turut mengarahkan pemuda PAS menggiatkan usaha mendaftar pemilih khususnya kepada anak muda.

Katanya, hanya dengan usaha itu PAS boleh kekal menegakkan keadilan bukan sahaja di negeri-negeri yang dikuasai malah seluruh negeri di Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Saya meletakkan harapan tinggi kepada pemuda, bangun menjalankan daftar pemilih.

"Hanya dengan mereka mendaftar, mereka boleh mengundi kita, baru kita boleh menang,"katanya lagi.

Hasrat menguasai Putrajaya juga katanya tidak mustahil berlaku, dengan semangat perubahan anak muda di seluruh dunia khususnya di Tunisia dan Mesir yang juga diharap sampai ke negara ini.

"Pemuda perlu mencetus perubahan, idea baru, menjadi tokoh negarawan, bukan sahaja banyak komen, tapi memberi cadangan penambahbaikkan," tegasnya.

Sementara itu, Nasruddin ketika ucapan aluannya pagi tadi meletakkan dua syarat utama jika mahu PAS menang dalam PRU akan datang.

"Setiap individu pemuda PAS mestilah mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjadi tentera Allah.

"Inilah kekuatan yang ada pada kita dan beberbeza dengan musuh," ujarnya.

Kedua katanya, ahli PAS perlu mengelak perselisiahan dalamam sehingga membolehkan parti itu diserang musuh sehingga menjadi lemah.

"Rapatkan saf atas dasar ukhwah, jangan bagi ruang walaupun satu lubang untuk musuh masuk pecahbelahkan kita," katanya.

Majlis perasmian hari ini turut menyaksikan selebriti terkenal, Bob Lokman, menyerahkan borang ahli PAS.

Borang tersebut diserahkan kepada Ustaz Azizan sebelum dipakaikan baju tema himpunan.

Himpunan 30K pemuda hari ini antara lain akan membincangkan tugasan dan gerak kerja berdepan PRU 13.

Program sehari hari ini akan berakhir malam nanti dengan program ceramah oleh dua pemimpin utama PAS, iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Khamis, 17 Februari 2011

UMNO Putrajaya Makin Terdesak

Putrajaya, 16 Februari 2011, PAS Putrajaya ingin menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya, Datok Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menganggap PAS sebagai parti pemecah belah masyarakat dan merosakkan aqidah Umat Islam. Beliau telah membuat kenyataan tersebut pada majlis Maulidur-Rasul bersama AJK surau-surau sekitar Putrajaya, anjuran UMNO Putrajaya di Surau Al-Mizan, Presint 8.
PAS ingin menegaskan bahawa kewujudan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Tujuan PAS selanjutnya adalah untuk mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana termaktub di dalam perlembagaan PAS.

Perkara ini juga diperlihatkan oleh ahli PAS pada semua peringkat dalam segala bentuk tindakan semenjak dari penubuhannya sehingga kini. Manakala tujuan penubuhan UMNO hanya menyatakan tentang mempertahankan kebangsaan Melayu tanpa menyatakan sebarang keinginan untuk memperjuangkan Islam dan hukum-hakamnya.

Sekiranya diimbau sejarah penubuhan PAS, salah satu perkara besar yang menyebabkan tertubuhnya PAS adalah bantahan terhadap loteri kebajikan yang diluluskan oleh kerajaan. Judi adalah sesuatu yang haram disisi Islam, dan perkara ini dengan tegas telah dinyatakan oleh ulamak- ulamak semasa itu, tetapi tidak diendahkan kerajaan, lalu lahirlah PAS bagi memperjuangkan syariƔt Islam yang dilanggar kerajaan (UMNO-Perikatan).

Sebaliknya, jika dilihat pada peribadi Ahli Parlimen Putrajaya, apa yang diperkatakan beliau umpama “cakap tak serupa bikin”. Walaupun tidak dapat dipastikan beliau telah melepaskan jawatan tersebut atau tidak, beliau (pernah) memiliki saham dan juga salah seorang pengarah kumpulan Berjaya yang Pengerusinya adalah Tan Sri Vincent Tan yang menjalankan perniangan hartanah, runcit, makanan dan juga judi loteri ‘Sports Toto’. Sebagai seorang yang beragama Islam, walaupun sesuatu perniagaan itu memberikan pulangan yang besar, sekiranya ianya terdapat unsur-unsur yang haram, semestinya ia dihindari, bukannya melibatkan diri dengannya secara langsung mahupun tidak langsung.

Perkara aqidah juga adalah sesuatu yang dipandang serius dalam Islam. Dakwaan mengatakan PAS menyelewengkan aqidah adalah sangat serius dan berat. Siapakah yang memesongkan aqidah sebenarnya? Tidakkah beliau sedar dan ingat pernyataan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani tentang lebih 250,000 orang Islam telah murtad? Tidakkah ini merupakan kegagalan dasar pendidikan yang diperjuangkan UMNO dalam memperbetulkan aqidah? Adakah dengan bekerjasama dengan DAP boleh merosakkan aqidah? Sedangkan dalam masa yang sama ramai pemimpin DAP mula mempelajari dan ingin memahami agama Islam. Sekurang-kurangnya ingin menjadikan Khalifah Umar Ibn Aziz contoh dalam mentadbir negeri.

Bagaimanakah pula dengan UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sejak sebelum merdeka adakah aqidah mereka tidak rosak selama itu? Wal;aupun setiakawan mereka kekal selama lebih 50 tahun namun sehingga kini UMNO masih gagal memahamkan pemimpin MCA/MIC tentang Islam sehinggakan ada pemimpin MCA/MIC keliru tentang hukum bersalaman dengan muslimah.

Mengikut maklumat dari peserta yang hadir pada majlis tersebut, beliau juga mendakwa PAS Putrajaya telah menyamar sebagai pegawai SPR dan mengganggu penduduk di Putrajaya. Perkara ini memperlihatkan kejahilan beliau dalam peraturan semasa SPR tentang pendaftaran pemilih yang memperuntukan setiap parti politik disetiap bahagian pilihanraya mempunyai 2 orang yang dilantik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih.
PAS Putrajaya, dengan tanggungjawab yang diberi, dengan disertai oleh Penolong Pendaftar Pemilih yang berdaftar dengan SPR telah mengadakan program bagi mendaftarkan penduduk sebagai pemilih yang berdaftar di Parlimen Putrajaya. Ingin ditegaskan juga bahawa semua petugas PAS semasa program tersebut tidak sama sekali menyamar sebagai pegawai SPR, malahan hadir dengan imej PAS.

Program ini dijalankan adalah atas kesedaran bahawa masih terdapat ramai penduduk di Putrajaya tidak mendaftar diri sebagai pemilih terutamanya golongan muda. Adalah sesuatu yang pelik apabila tindakan ini dituduh sebagai mengganggu penduduk, adakah UMNO tidak mahu ramai penduduk Putrajaya menjalankan amanah memilih pemimpin mereka, sehingga membuat tuduhan tidak berasas tersebut, lebih kecil bilangan pengundi lebih senang UMNO hendak menang. Mungkin inilah hakikatnya sehingga mereka mengganggu dan menghalang petugas-petugas PAS menjalankan kerja-kerja pendaftaran tersebut.

Ternyata di sini, UMNO khususnya Tengku Adnan amat terdesak dan cemas dengan kehadiran PAS di Putrajaya yang semakin mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penduduk Putrajaya yang rata-rata adalah pegawai kerajaan sehingga beliau terpaksa menelan ludahnya sendiri dengan menggunakan Masjid dan surau untuk tujuan politik kepartian.

Difahamkan juga beliau mengarahkan surau-surau supaya tidak lagi menjemput tenaga pengajar yang ada kaitan dengan PAS terutamanya YDP PAS Putrajaya. Sedangkan dalam kuliah-kuliah tersebut, langsung tidak menyentuh tentang politik kepartian malah yang disentuh adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu ibadah, aqidah serta tasawwur Islam berpandukan kitab-kitab muktabar, walhal beliau dalam majlis tersebut langsung tidak menggunakan hujjah berpandukan al-Quran dan Sunnah dan bukti-bukti jelas dalam mempertikaikan aqidah orang lain.

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA

Ahad, 13 Februari 2011

PAS PUTRAJAYA TURUN PADANG JAYAKAN DAFTAR PEMILIH

PUTRAJAYA. 13 Feb. 2011; Program Daftar Pemilih & Culaan PAS Putrajaya di Presint 16 dari pukul 9.00am-4.30pm disertai oleh 60 petugas berjaya menjelajah 720 unit di 6 blok apartmen A1, A2, A3, B1, B2 dan B3 kecuali blok 1A petugas-petugas PAS disekat dan dihalang oleh Pengerusi blok yang juga ketua cawangan UMNO blok tersebut sehingga terpaksa melibatkan anggota Polis yang siap bersenjata M16: GERUNnya UMNO kepada PAS.....


Terima kasih diucapkan kepada PAS Titiwangsa, Batu, Segambut, BTR, Pemuda dan Muslimat PAS Putrajaya terutama Abg Saad selaku Pengarah JPrK dan Dr Fauzi selaku Pengarah Program. Tidak dilupakan Timbalan Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Sdr Khairul Anuar dan Syeikh Headzir dari Titiwangsa kerana berjaya menjayakan program tersebut yang diadakan buat kali kedua dantumpuan kali ini adalah di Presiont 16. Bulan Lepas program yang seumpama juga telah berjaya diadakan di Presint 11. Maklumbalas yang diterima daripada penduduk di kedua-dua Presint amat positif.


Ustaz Mohamad Nazir Zakaria

Yang DiPertua PAS

Putrajaya

PILIHANRAYA KECIL : GILIRAN PAHANG PULAK

PAS Pahang ucap takziah
Harakahdaily

TEMERLOH, 12 Feb: PAS Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam mesej ringkasnya berharap keluarga Allahyarham bersabar menghadapi ujian dan ketentuan Ilahi.

Sebelum ini, Zaharuddin telah banyak kali berulang-alik ke hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan banyak spekulasi PRK.

Bagaimanapun pada tahun lalu beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru Kemas daripada Jengka 23.

Sementara itu kematian Zaharuddin memungkinkan negara terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil (PRK) iaitu ke-16 selepas Merlimau pada 6 Mac ini.

Pada PRU 2008 Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS, Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 4,135 undi berbanding Hasanuddin sebanyak 2,520.

N.28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana Yang Dipertua PAS kawasannya ialah Tuan Ibrahim.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails