SELAMAT DATANG

Khamis, 10 Februari 2011

Mohon Penjelasan: Menteri Kesihatan Arah Arak Yang Disita Dilepaskan?

Putrajaya, 10 Februari, PAS Putrajaya hari ini menerima satu salinan surat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kedah bertajuk “Pelepasan Produk Keluaran Syarikat Pelican Winery (M) Sdn Bhd yang ditahan dan disita oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi”.

Arahan tersebut adalah bagi melepaskan sejumlah 14,088 botol berlabel vodka (berbagai jenis) yang bernilai RM62,396.00 milik syarikat tersebut.

Sebagaimana yang tertera dalam surat tersebut, alasan bagi pelepasan adalah kerana produk itu adalah bukan vodka atau wiski tetapi adalah makanan yang tak distandardisasikan di tempat lain (kami faham selain daripada Langkawi) dibawah peraturan 395, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bukan peraturan 382 sebagaimana pelaksanaan oleh Pegawai Kesihatan di Langkawi. Penyitaan tersebut adalah berdasarkan peraturan 382 iaitu standard bagi vodka yang mesti mempunyai kandungan alcohol melebihi 32.5%, walhal ianya kurang pada produk-produk tersebut.

Apabila diteliti surat ini ada beberapa persoalan yang menimbulkan tandatanya. Pertamanya, adakah pegawai yang menyita produk-produk tersebut tidak memahami peraturan-peraturan kesihatan yang ada sehingga salah dalam menjalankan tugasan. Adakah pegawai yang bertugas tidak kompeten? Sekiranya inilah hakikatnya, Kementerian kesihatan perlu menjalankan langkah segera memperkemaskan sistem latihan kekompetenan pegawai dan petugasnya.

Perkara kedua yang menimbulkan persoalan adalah apakah sebenarnya yang berlaku ? adakah unsur-unsur rasuah dan penyelewengan kuasa berlaku sehingga produk-produk itu mesti dilepaskan sitaannya. Siapa yang menyalahguna kuasa dan rasuah, adalah pegawai yang tertera namanya didalam surat atau orang lain, atau mungkin pihak politik umpamanya menteri, timbalan menteri kementerian berkenaan?

Sebagai orang awam, kami adalah tidak terlalu arif dengan perundangan yang ada, maka diharapkan pihak-pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya sekiranya faktor ini yang sebenarnya berlaku.

Oleh yang demikian pihak kami berharap pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia terutama Menteri Kesihatan membuat sedikit penjelasan tentang kadungan surat tersebut. Hasil tinjauan yang dibuat oleh pihak kami produk tersebut seperti Pink Vodka, Orange Vodka, Ice Vodka, Black current Vodka, Long Island T, Propical Fruit, Blueberry Vodka, Apple Vodka dan Vhisky & Cola dijual dikedai-kedai runcit 24 jam KK, Seven Eleven jua di Pasaraya Jusco bahagian arak dan amat mengelirukan kerana dibotolkan seperti minuman botol yang lain.

Akhir sekali, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam di Malaysia, kami menyeru semua rakyat terutamanya Umat Islam supaya menjauhi arak sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya”. Al-Maidah: 90

Arak adalah ibu segala maksiat dan sepatutnya dibuang hingga ke akar umbi.

Kami juga menyeru kepada seluruh umat Islam bukan setakat PAS dan NGO-NGO Islam tetapi seluruhnya di Malaysia agar sedar dan memainkan peranan masing-masing kearah menghapuskan arak di Malaysia. Ianya harus dimulai dengan memastikan tiada umat Islam yang terlibat meminum ataupun bekerja dalam sektor pembuatan, pengedaran dan penjualan arak.

Sesungguhnya ia masih menjadi satu perjalanan yang sukar dan berliku serta memerlukan juga satu semangat politik (political will) yang tinggi terutamanya pihak pemerintah. PAS ingin menegaskan bahawa kami adalah komited dengan agenda ini sepertimana peraturan-peraturan penjualan arak di Kelantan dan tindakan beransur-ansur di Kedah dan Selangor.

Ahad, 6 Februari 2011

Ketua ulama Umno Kelantan mahu debat hanya dengan Nik Aziz

February 05, 2011

KOTA BARU, 5 Feb — Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Mohd Noor Deris akan menghantar surat untuk mengadakan debat dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd Noor berkata beliau gembira dengan reaksi positif Nik Aziz (gambar)yang mahu mengadakan dialog dengan mana-mana pihak dan ianya merupakan peluang kepadanya untuk menghuraikan pandangannya kepada Menteri Besar Kelantan itu.

“Saya akan hantar surat dalam beberapa hari lagi untuk mengadakan debat dengan Nik Aziz. Saya mahukan debat itu diadakan hanya antara saya dan dia saja tiada pihak lain di tempat awam. Kini Cabaran saya sudah disahut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Aziz semalam bahawa beliau bersetuju untuk bersemuka serta berdialog dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan jika tidak berpuas hati terhadap kenyataannya dalam usaha menjernihkan isu berbangkit yang dianggap kontroversi.

Isu berkenaan berbangkit apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah.

Berikutan tindakan Nik Aziz itu, Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini. — Bernama

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails