SELAMAT DATANG

Sabtu, 14 Ogos 2010

NAJIB DAN BN TIPU RAKYAT ?

بسم الله الرحمن الرحيم

PROJEK BAKUN: SUBSIDI KORPORAT DITERUSKAN, SUBSIDI RAKYAT DIAMBIL

Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu.

Berdasarkan laporan, jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek. Kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Sikap tidak peduli Perdana Menteri yang membiarkan wang rakyat terus digunakan di dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula. Beliau seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula – sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.

Sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun. Projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan). Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri. Perbezaan ini memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.

Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini? Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?

Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi. Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat. Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat.

Rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

KETUA PEMBANGKANG

13 OGOS 2010

GHANI '4 TAIL' MEMALUKAN KEHAKIMAN NEGARA

بسم الله الرحمن الرحيم

Nota akhir: Keluarga nafi tulisan, tandatangan Teoh

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock melahirkan “rasa tidak puas hati, marah dan kecewa” berhubung tindakan Peguam Negara untuk mengemukakan satu nota misteri sebagai bukti ketika inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu hampir kepada penghujungnya.

Dalam satu kenyataan keras yang dikeluarkan di Melaka, keluarga Teoh berkata tindakan Peguam Negara itu amat dicurigai dan menggesa kerajaan mendapatkan pakar tulisan bagi menentukan ketulenan nota berkenaan.

"AG tidak melihat penderitaan kami. Hampir lebih setahun, kami terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Shah Alam untuk menghadiri inkues berkenaan,” petik kenyataan itu.

"Jika inkues dimulakan semula, bagaimana kami sebagai satu keluarga mampu melalui penderitaan ini sekali lagi? Adakah AG sengaja cuba menghalang kami daripada menjalani kehidupan seharian?”


Menurut keluarga Teoh, AG memaklumkan bahawa pejabatnya telah memiliki nota berkenaan sejak Oktober tahun lalu tetapi mengapa nota itu tidak dirujuk kepada ahli keluarga Teoh, mahupun peguam mereka.

"Kami menghadiri inkues itu sepanjang tahun. Mengapa mereka tidak memohon bantuan kami? AG hanya mencari alasan (untuk melenggah-lenggah),” kata keluarga itu.

Keluarga Teoh juga mengulangi dakwaan bahawa tulisan dan tandatangan pada nota itu adalah berlainan berbanding yang dimiliki Teoh.

Pada 9 Ogos lalu, inkues yang sedang berlangsung ditangguhkan kepada 18 Ogos, selepas perbincangan semua pihak terbabit di kamar koroner.

Ia dipercayai berhubung spekulasi terdapat nota yang didakwa tinggalan daripada Teoh yang merupakan 'bukti terakhir'.

Setuju hukuman berat buang bayi - Nik Aziz

Harakahdaily

KOTA BHARU, 13 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong cadangan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah buang bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Bercakap sewaktu menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu hari ini, Menteri Besar Kelantan itu juga, bersetuju agar pesalah buang bayi tersebut dihukum mati jika bayi yang dibuang tersebut mati.

Menurutnya, hukuman tersebut wajar bagi memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat keseluruhan agar tidak mengulangi perkara sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.

Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menteri Besar Kelantan itu juga seperti dilapor Bernama, berpendapat undang-undang sekarang lebih "bersimpati" kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.

Selasa, 10 Ogos 2010

PERPADUAN MELAYU

Presiden PAS ajak seluruh rakyat Malaysia tinggalkan BN...

Tinggalkan Umno BN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri.

Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.

Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah Umno BN dan marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihan raya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS.

Seandainya "Guan Eng yang halau peniaga di Suria KLCC di Alamanda" nie ...!!!

Peniaga Alamanda dakwa ditekan, akhirnya 'ditendang'

NAMA saya Fahmi Fabilah, saya adalah salah seorang peniaga yang tidak disambung kontrak perniagaan di Suria KLCC di Alamanda, Putrajaya. Saya berniaga kemeja T buatan tempatan bernama Malaya Distro.

Alasan 'bijak' yang pertama mereka kepada saya ialah: Saya tidak dibenarkan lagi menjual kemeja T atas alasan penyewa kedai mengadu perniagaan mereka turun.

Ingin memberitahu bahawa ada yang saya lakukan ialah persaingan yang sihat.

Alasan kedua ialah kerana memiliki tiga push cart (kereta tolak). Tapi bagaimana pula dengan Pizzahut, KFC dan RASAMAS yang bernaung di bawah syarikat yang sama?

Sangat tidak munasabah jika ia dijadikan sebab untuk 'menendang' saya keluar. Apakah wujud diskriminasi di sini?

Saya boleh buktikan bagaimana terdapat diskriminasi dalam pengurusannya. Disebabkan rasa tidak puas hati, saya menceritakan perihal mereka ini difacebook saya. Gempar seketika apabila tulisan saya sampai ke KLCC. Dan seingat saya, ada sokongan dari individu yang mahukan perkara itu ditujukan kepada Tun Mahathir. Mungkin 'goyang' dengan sokongan itu, mereka telah membuat temujanji dengan saya di sebuah kafe di Alamanda untuk menyelesaikan perkara ini.

Untuk pengetahuan semua, deposit saya RM3,800 masih belum dipulangkan sedangkan saya telah satu bulan keluar dari Alamanda.

Sedangkan surat kontrak tidak disambung saya terima tiga bulan yang lepas. Pihak pegurusan memberi alasan sedang proses. Logikkah tiga bulan proses? Kenapa sewa mahu advance tetapi deposit sampai lambat sebegini rupa?

Bagaimana jika dulu kami bayar sewa lewat satu bulan? Dah pasti saya diperintah keluar. Anda fikirkan bertapa teruknya kelemahan sistem yang mereka jalankan.

Kenapa kita ditindas di tempat sendiri? Di sini suka sangat ingin saya beritahu, anda pergilah ke kompleks beli-belah ternama, anda kiralah berapa peratus peniaga 'Melayu' menyewa di situ?

Tidak sampai 10 peratus. Bukan kerana peniaga Melayu tidak mampu, tetapi kita tidak diberi tempat di situ.

Saya pernah pergi ke kompleks 'baru' di Wangsa Maju. Ruang niaga masih kosong, dan saya memohon ruang niaga. Anda tahu saya dilayan begitu teruk.

Sebulan selepas itu, ruang niaga penuh dengan kaum bukan Melayu. Di sini anda faham bukan, bukan kita tidak mampu, tapi kita ditolak mentah-mentah oleh kuasa mereka. Tetapi kenapa ia juga terjadi di Putrajaya?

Semenjak setahun lalu, Suria KLCC banyak membuat perubahan drastik. Mungkin ini juga strategi halus orang atas untuk menjatuhkan kita? Mari saya rungkaikan satu persatu.

Enam bulan lepas, kami diberi notis untuk membayar sewa pendahuluan (advance rental). Sedangkan kami telah membayar 'deposit' 1+1. Ia adalah notis mengejut ketika itu, kami terpaksa mencari wang sewa untuk dua bulan dalam masa sebulan.

Anda bayangkan betapa kami terpaksa bertungkus lumus mencari RM3,800 minggu ini, dan RM3,800 untuk lagi dua minggu. Dengan gaji pekerja, jumlah sebanyak RM9,000 sebulan, sedangkan perniagaan tidak begitu bagus ketika itu.

Taktik halus yang kedua: Mereka melagakan peniaga tanpa sedar. Ia berlaku sekarang. Caranya begini, dahulu peniaga mainan A di Utara, dan peniaga mainan B di Selatan. Perniagaan mereka sangat bagus. Cara untuk menjatuhkan salah seorang adalah meletakkan lokasi peniaga mainan A hampir dengan peniaga mainan B.

Secara psikologinya, mereka akan bersaing dan salah seorang akan jatuh. Yang jatuh itulah yang akan terkeluar. Sekarang anda nampak? Ketika itu, salah seorang dari mereka membuat rayuan untuk pindah tapak. Taktik berjaya bukan.

Taktik ketiga: Mereka mengeluarkan peniaga atas alasan produk tidak boleh dijual lagi. Ini terjadi ke atas saya sendiri.

FAHMI FABILAH

Dengki

Penganjur tidak bayar sewa punca masalah di Komtar


Harakahdaily

PULAU PINANG, 9 Ogos: Para peniaga bazaar Ramadhan di Komtar tidak boleh berniaga tahun ini ekoran dari tindakan penganjur bazar itu tidak membayar sewa kepada Lembaga Pembangunan Pulau Pinang (PDC) walaupun telah mengutip yurannya dari peniaga.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam laman komuniti Twitternya.

"Mengapa penganjur tak bayar PDC wang sewa yang dkutip daripada 27 peniaga Melayu? Bazar Ramadan tunggu bayar sewa.Tahun depan deal terus dengan peniaga," tulis beliau dalam twiiternya.

Sementara itu, beliau juga berkata, satu surat kelulusan telah dikeluarkan kepada penganjur iaitu Persatuan Peniaga Komtar melalui naib pengerusinya yang bernama Ghani.

Utusan Malaysia, media Umno, hari ini menyiarkan di muka depannya laporan kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang menyekat peniaga Melayu membuka bazar Ramadhan di Komtar.

Laporan bertajuk "Melayu terus ditindas" itu jelas cuba memainkan isu perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng itu.

Ekoran itu, Guan Eng menyifatkan ia satu lagi siri mempermainkan isu perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, akhbar yang sama memainkan isu seorang peniaga Melayu yang mempertahankan kedainya yang dibina di atas pokok dari dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Guan Eng menjelaskan, tidak ada isu ia kedai Melayu atau tidak. Isunya adalah keselamatan kerana ia dibina di atas pokok, kata beliau.

Perutusan YDP PAS Putrajaya sempena Ramadhan 1431H

Assalamualaikum w.b.t

Marhaban Ya Ramadhan. Selamat datang diucapkan kepada tamu agung,
bulan yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pendidikan jiwa, iaitu
bulan Ramadhan.

Dalam kesempatan ini, ana mewakili seluruh AJK Kerja PAS kawasan Putrajaya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh ahli yang sentiasa mendokong perjuangan dan misi perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dan penduduk Putrajaya khususnya. Mohon maaf zahir dan batin jika ada sebarang
kesilapan atau kekhilafan sepanjang kami memegang amanah sebagai pimpinan PAS di Putrajaya ini.

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala.

Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.

Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.

Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.

Menyingkap sirah, kita akan dapat melihat bahawa Rasulullah dan para sahabat sentiasa menanti-nanti dengan penuh rindu kehadiran bulan mulia ini. Baginda Rasulullah SAW, ketika berada di penghujung bulan Sya'ban, selalu mengatakan kepada sahabatnya :

"Telah datang padamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Maka sambutlah kedatangannya. Telah datang bulan shiyam membawa segala keberkahan, maka alangkah mulianya tamu yang datang itu." (HR. Ath Thabrani).

Mereka sering menunggu dengan penuh rindu kedatangan bulan ini kerana didalamnya, Allah telah menjanjikan pelbagai rahmat kepada umat Islam. Selain dari terbukanya pintu syurga dan terbelenggunya semua syaitan, dalam bulan ini juga terdapatnya malam yang lebih berharga dari 1000 bulan iaitu malam lailatul qadr. Pada malam ini, setiap amal kita akan menerima ganjaran menyamai dengan amal yang dilakukan selama 1000 bulan. Apakah yang lebih besar lagi dari ganjaran agung daripada Allah s.w.t ini?

" Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an pada " Lailatul qodr". Tahukah kalian apakah " Lailatul qodr" ?. Itulah malam yang lebih utama dari pada seribu bulan" (QS. Al Qodr : 1-3)

Justeru, kehadiran bulan Ramadhan seharusnya tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh kita. Tanamlah iltizam di dalam diri untuk menjadikan Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya. Kita berlindung kepada Allah daripada menjadi orang yang melalaikan Ramadhan, kerana sesungguhnya mereka yang tidak mendapat apa2 di bulan ini, adalah juga rugi di bulan yang lain.

"Sesungguhnya telah datang padamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi, Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu, dibukakan segala pintu Syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, berarti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (HR. An Nasai dan Al Baihaqi)

Marilah kita sama-sama Semarakkan Ramadhan!

Ustaz Mohamad Nazir Zakaria
Yang DiPertua PAS kawasan Putrajaya

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails