SELAMAT DATANG

Rabu, 23 November 2011

SAMBUTAN AWAL MUHARRAM MASJID AS SALAM


KHUTBAH : CABARAN SEBELUM HIJRATURRASUL S.A.W


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisa’ :

ومن يهاجر فى سبيل الله يجد فى الأرض مرغما كثيرا وسعة ومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما

Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah S.W.T nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju maka telah tetap pahala di sisi Allah S.W.T. Dan adalah Allah S.W.T Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Peristiwa penghijrahan nabi Muhammad s.a.w dari tanahairnya Mekah ke tempat baru iaitu Yathrib yang kemudiannya ditukar nama kepada Madinah al-Munawwarah yang bererti Kota yang bercahaya merupakan suatu pengorbanan besar dalam membebaskan diri daripada kongkongan kekufuran kepada keimanan, jahiliah kepada Islam, dosa kepada pahala, kesesatan kepada kebenaran, kezaliman kepada keadilan, lemah tanpa kuasa kepada gagah bersama tertegaknya negara. Hijrahnya nabi Muhammad s.a.w telah banyak meninggalkan pengajaran dan tauladan yang sepatutnya dihayati dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat Islam dalam mengembalikan semula kemenangan dan kegemilangan Islam. Sebagai pejuang yang mengaku bahawa kita ini berjuang untuk meletakkan kalimah Allah S.W.T di tempat paling tinggi maka sudah semestinya mengambil iktibar sebanyak mungkin daripada peristiwa hijrah agar semangat kita terus berkobar dan gerak kerja kita sentiasa berterusan tanpa rasa takut dan gentar terhadap sebarang ujian dan cabaran yang mendatang. Kita dapat lihat bagaimana kuffar Quraisy telahmemandang Islam sebagai sebuah agama yang bukan sahaja menggugat agama sesat mereka yang menyembah berhala malah turut mengancam kedudukan para pembesar Mekah pada masa itu. Setelah melihat bagaimana ancaman Islam terhadap kesesatan dan kezaliman mereka lalu para pemimpin Quraisy berusaha bersungguh-sungguh dalam menyekat penyebaran Islam. Melihat kepada bertambahnya pengikut nabi Muhammad s.a.w lalu beberapa siri perbincangan dengan baginda telah dilakukan. Apa yang dilakukan oleh musuh Islam yang begitu benci terhadap Islam adalah hampir sama pada setiap zaman di mana setelah kegagalan dalam membuktikan kesesatan ajaran Islam lalu pemimpin Quraisy menawarkan kesenangan dunia berbentuk takhta, harta dan wanita serta rawatan percuma kepada Rasulullah s.a.w dengan syarat meninggalkan dakwah Islam.

Tawaran menarik ini sentiasa diuji ke atas setiap pejuang Islam sehingga ramai yang tergoda dengan panggilan dunia yang menyebabkan mereka lupa kepada perjuangan Islam yang diperjuangkan selama ini. Janji-janji manis terus ditabur agar perjuangan Islam dapat dilemahkan dan penentangan terhadap kesesatan system dan kezaliman dapat dilunturkan. Begitulah juga yang berlaku pada hari ini akibat terpesona dengan janji bahawa pelajar dari peringkat rendah lagi akan diwajibkan khatam al-Quran dan menguasai bahasa arab telah menyebabkan kita lupa kepada perbuatan jahat golongan yang sama dalam menghancurkan sekolah agama rakyat yang sedang berjalan sehingga hari ini. Oleh itu kita jangan terpedaya dengan janji manis yang baru dilaksanakan kerana dalam masa yang sama pengkhianatan terhadap pusat pengajian agama terus berjalan. Bagaimana orang sama boleh meninggikan Islam sedangkan dalam masa yang sama dia meruntuhkan Islam.Kita begitu kecewa dengan perbuatan memerangi pusat pengajian agama di negara iniyang menyebabkan umat Islam di beberapa negara jiran terutama di Selatan Thailand turut menjadi mangsa kepada kezaliman pemimpin mereka yang meniru cara negara ini sehingga ramai ulama’ yang dibunuh serta pengajian agama diganggu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Tawaran kesenangan dunia banyak menghanyutkan umat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Penolakan nabi Muhammad s.a.w terhadap semua tawaran dan janji manis daripada pemimpin Quraisy yang sememangnya ingin menghancurkan Islam telah memberi peringatan besar kepada kita agar tidak terpesona dengan habuan dunia sehingga mengenepikan agama.Nabi Muhammad s.a.w menolak tawaran dan janji manis Quraisy dan telah berhijrah sehingga tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah yang memastikan segala system Islam dapat dilaksanakan. Kita jangan terpengaruh dengan janji manis sehingga sanggup menukarkan pemimpin yang bersungguh mengharamkan judi dan menghadkan penjualan arak di kalangan bukan Islam di negeri ini kepada pemimpin yang akan menghalalkan kembali judi dan arak. Kita jangan terpedaya dengan janji palsu orang yang menyatakan bersungguh melaksanakan Islam sedangkan dirinya terlibat dengan budaya rasuah, riba serta menentang pelaksanaan hukum hudud dan qisas dalam menyelesaikan masalah jenayah terutama zina, rogol yang mencatatkan 26 kes sehari. Kita jangan serahkan kepimpinan negeri ini kepada mereka yang bakal menempah bala Allah S.W.T dengan menghidupkan kembali hiburan yang merosakkan akhlak yang selama ini telah diharamkan di negeri ini.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 204-205 surah al-Baqarah :

ومن الناس من يعجبك قوله فى الحيــوة الدنيا ويشهد الله على ما فى قلبه وهو ألد الخصام. وإذا تولى سعى فى الأرض ليفسد فيها ويهلك الحرث والنسل والله لايحب الفساد

Maksudnya : Dan di antara manusia ada orang di mana ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu. Dan dipersaksikan kepada Allah S.W.T isi hatinya sedangkan dia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila dia berpaling dari kamu, dia berjalan di atas muka bumi ini untuk melakukan kerosakan padanya dan merosak tanaman dan binatang ternakan dan Allah S.W.T tidak menyukai kebinasaan

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Penolakan nabi Muhammad s.a.w terhadap tawaran dunia tidak menghentikan usaha pemimpin Quraisy dalam menghancurkan Islam di mana kegagalan cara lembut diikuti dengan cara keras. Akhirnya setelah mengetahui semakin ramai umat Islam yang berhijrah ke Madinah lalu kuffar Quraisy mengadakan suatu mesyuarat di Darul Nadwah bagi mengambil tindakan terhadap nabi Muhammad s.a.w. Iblis yang merupakan diri sebagai orang tua dari Najd turut hadir dalam perjumpaan penting ini. Melalui mesyuarat di Darul Nadwah ini maka terbitlah beberapa cadangan iaitu cadangan pertama meminta supaya nabi dibuang negeri agar segala ancamannya selama ini dapat dihentikan tetapi ia ditolak oleh Iblis yang merupakan dirinya sebagai orang tua dengan alasan jika dibuang negeri maka nabi Muhammd s.a.w akan dapat menambah jumlah pengikut dan akhirnya boleh menggugat kedudukan pemimpin Quraisy Mekah. Cadangan kedua pula mengesyorkan agar nabi di penjarakan dalam penjara besi agar baginda tidak mampu lagi menjalankan usaha dakwah di mana cadangan ini turut ditolak oleh Iblis dengan alasan penjara tidak mampu menyekat dakwah nabi kerana umat Islam pasti akan datang membebaskan nabi yang menyebabkan usaha dakwah akan dapat diteruskan. Akhirnya Iblis turut bersetuju dengan cadangan ketiga daripada Abu Jahal yang mencadangkan agar setiap kabilah menghantar pemuda bagi membunuh nabi di mana keluarga Abdul Manaf tidak mampu berhadapan dengan kabilah yang banyak dan tidak boleh mendakwa mana-mana kabilah yang membunuh nabi s.a.w selepas ini.

Melihat kepada ketiga-tiga cadangan kuffar Quraisy dalam menyekat perkembangan Islam iaitu buang negeri, penjara tanpa bicara dan bunuh terhadap nabi maka inilah juga ujian yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam dalam menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Golongan yang memusuhi Islam akan menggunakan samada cara lembut untuk melunturkan semangat juang dan jika gagal dengan cara itu maka cara yang lebih keras akan dilakukan termasuk buang kerja, tukar tempat kerja, sekat bantuan, tahan di bawah ISA, bunuh dan sebagainya. Oleh itu istiqamahlah dalam berjuang agar kita mencapai keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Bersusah dahulu di dunia agar kita dapat bersenang di akhirat nanti hasil memperjuangkan Islam dengan penuh ikhlas dan istiqamah. Tiada istilah rugi dan lelah dalam memperjuangkan Islam kerana ganjaran pahala yang besar menanti kita selain kemenangan bersama keredhaan Allah S.W.T sedangkan betapa rugi memperjuangkan sekuler dan semangat kebangsaan sempit dengan mengagungkan pembangunan kebendaan semata-mata tanpa mementingkan pembangunan kemanusiaan kerana ia akan merosakkan aqidah dan agama kita serta bakal ditimpa kerugian di akhirat nanti.

Firman Allah dalam ayat 40 surah at-Taubah :

إلا تنصروه فقد نصره الله إذ أخرجه الذين كفروا ثانى اثنين إذ هما فى الغار إذ يقول لصــحبه لاتحزن إن الله معنا فأنزل الله سكينته عليه وأيده بجنود لم تروها وجعل كلمة الذين كفروا السفلى وكلمة الله هى العليا والله عزيز حكيم


Maksudnya : Jika kamu tidak menolong nabi Muhammad s.a.w maka sesungguhnya Allah S.W.T telah menolongnya ketika orang-orang kafir mengeluarkannya dari Mekah. Sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua di waktu dia berkata kepada sahabatnya : “ Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah S.W.T bersama dengan kita”. Maka Allah S.W.T menurunkan ketenangan kepada nabi Muhammad s.a.w dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah S.W.T menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimah Allah S.W.T itulah yang tertinggi. Allah S.W.T Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

PERUTUSAN HIJRAH 1433 YDP PAS PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara dan saudari sekalian

Mendahului perutusan ini, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1433H bersamaan 2011M pada tahun ini dalam suasana kesederhanaan dan penuh kerahmatan.

Hari ini, seluruh umat Islam sedang memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang penuh barakah itu. Bagi kita, sambutan ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah satu gerakan berstrategik melalui penjanaan daya kreativiti yang tinggi dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t

Hijrah yang telah berlaku dalam sejarah kehidupan RasullulLah lebih 1400 tahun lalu, telah membawa era baru dalam perjuangan menegakkan Islam itu sendiri. Walau pun umat Islam tahu peritiwa yang berlaku itu satu persatu, namun kemungkinan iktibar hijrah tidak dilihat dari sudut kacamata Islam.

Hijrah yang berlaku antaranya mengaitkan peristiwa bagaimana tekanan yang diterima oleh RasulLah dan para sahabat dalam usaha mereka menerangkan ugama yang mentauhidkan Allah kepada kaum musyrikin Mekah. Usaha yang dijalankan selama 10 tahun itu menerima pelbagai rintangan. Bukan sekadar 'lebam biji mata', tetapi lebih hebat daripada itu. RasululLah pernah dihempap dengan perut unta, dibaling dengan najis dan batu hingga tubuhnya berdarah.

Dalam peristiwa yang lain pula hijrah RasululLah adalah disebabkan Islam tidak dapat disempurnakan secara keseluruhannya kerana tentangan yang diterima. Kaum musyrikin Mekah amat kuat berpegang kepada ajaran jahiliyyah dan menolak semua fahaman yang lain. Justeru itu nabi mendapat perintah supaya berhijrah agar dengan hijrah, Islam itu dapat dilaksanakan secara keseluruhannya.

Hijrah juga melihat bagaimana penyatuan kaum muhajirin dan ansar. Walau pun mereka baru berkenalan selepas peristiwa hijrah, namun mereka sanggup korbankan apa yang ada pada diri mereka untuk kebaikan Islam dan penganutnya. Mereka bukan sahaja korbankan harta benda, wang ringit, masa dan tenaga tetapi ada yang berkorban isteri untuk membolehkan kaum muhajirin yang kehilangan isteri dalam peristiwa hijrah menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Antara pengajaran yang diambil dari peristiwa di atas ialah bahawa perjuangan menegakkan Islam itu bukan olok-olok atau kerja main-main. Sebaliknya perjuangan Islam perlu menghadapi rintangan dan tidak sekadar lebam di mata. Perjuangan ini memerlukan kepada kekuatan dan sifat tidak mudah putus asa. Kerana itu dalam memperjuangkan Islam, PAS tidak akan kenal erti jemu meskipun telah tewas selama beberapa kali dalam pilihanraya umum sejak merdekanya Malaysia.

Hijrah juga membawa pengajaran kepada kita hari ini bahawa Islam perlulah dilaksanakan dalam bentuk keseluruhannya. Bukan sekadar mendirikan masjid, bank Islam, ekonomi Islam, pajak gadai Islam itu ertinya kita sudah menjalankan hukum Islam. Itu baru sebahagian dari tuntutan Islam. Hijrah membawakan maksud bahawa kita perlu laksanakan Islam secara keseluruhan, samada dari segi perundangannya, politiknya, sosialnya serta eknominya semuanya harus dalam bentuk Islam. Apa yang menjadi dakwaan parti memerintah hari ini ialah bahawa mereka sudah menjalankan Islam hanya dengan beberapa kerat badan atas nama Islam.

Selanjutnya iktibar dari peristiwa hijrah kita perlu mengorbankan apa yang kita miliki dan sayangi sebagai sandaran menegakkan perjuangan Islam. Umat Islam perlu berkorban kerana nilainya di sisi Allah amat tinggi. Sebaliknya pemimpin hari ini bukan berkorban harta mereka tetapi mereka korbankan hak rakyat untuk dimasukkan ke dalam kantung dan kocek mereka dan kroni-kron mereka. Umat Islam tidak seharusnya membenarkan kejadian ini terus berulang hingga menggadaikan negara bukan untuk menegakkan Islam tetapi 'mengenyangka'n sebahagian atau sekelompok manusia hingga yang miskin tiada pembelaan.

Demi kezaliman yang berlaku hari ini, umat Islam diseru supaya memilih PAS yang akan berjuang dengan jitu untuk menegakkan hukum Allah di bumi ini. Kewajipan berjihad kini adalah tugas dan tanggungjawab setiap umat Islam di negara tercinta. Jika bangsa lain sudah mula percaya bahawa Islam dapat memberikan perlindungan kepada mereka, mengapa kita sebagai orang Islam masih ragu-ragu untuk menyokong sebarang gerakan Islam.

Kaum bukan Islam di negara ini sudah menerima Islam, kerana ada bukti bahawa Islam tidak menindas mereka, sebaliknya mereka merasa lebih selamat berada di bawah pemerintahan dan panji-panji Islam.

MOHAMAD NAZIR BIN ZAKARIA

Sabtu, 5 November 2011

PERUTUSAN AIDILADHA YDP PAS PUTRAJAYA

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.Lailaha Illallah Wallahu akbar.Allahuakbar Walillahil Hamd

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Segala kebesaran milik ALLAH swt yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi di sepanjang 1 sehingga 9 Zulhijjah dan seterusnya menyambut Hari Raya AidilAdha 1432H pada tahun ini. Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan aktiviti ibadah dan seterusnya meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan Ibadah korban yang di syariatkan ALLAH swt.

Ahli PAS dan penduduk Putrajaya yang dekat di hati sekalian ,

Menyoroti kisah Nabi Ibrahim dan Ismail , bagaimana dua insan terpilih ini sanggup mengorbankan kepentingan masing-masing di jalan ALLAH swt .

Sabda Nabi Ibrahim alaihisalam : “Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki sudah tentu dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.”

Kita kembali pula kepada firman ALLAH swt dalam surah At-Taubah , ayat 91-92 :

“Tidak ada dosa(kerana tidak pergi berperang) atas orang yang lemah, orang yang sakit dan orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka infakkan,apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasulnya. Tidak ada alasan apa pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dan Tidak pula(ada dosa) atas orang-orang yang datang kepadamu(Muhammad), agar engkau memberi kenderaan untuk membawa mereka, lalu engkau berkata, “ Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”, lalu mereka berlalu pergi, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana sedih, disebabkan mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka infakkan(untuk ikut berperang).”

Syabab dan Akhawat sekalian ,

Menurut Imam Hasan Al-Basri : Berikir sejenak itu lebih baik daripada bangun solat malam . Di sini saya ingin mengajak penduduk Putrajaya sekalian untuk duduk sejenak dan renungkan bersama . Medan jihad kita hari ini dan mereka yang terdahulu TIDAK SAMA .Jika kita menelusuri sirah para sahabat , medan jihad mereka adalah Badar , Uhud , khandak , hunain dan yang seumpanya . Tapi kita , inilah medan jihad kita yang sebenar , perjuangan dan ILMU . Dua bidang yang berbeza tetapi kepentingan kedua-duanya , tidak boleh kita abaikan walau salah satu darinya. Kalau dulu, darah para sahabat menitis kerana berjihad di medan perang . Tapi kita hari ini, tiada setitis darah mahupun peluh yang kite tumpahkan untuk mencari kebenaran. Lalu di mana kah kita manfaatkan nikmat lapang , sihat , muda yang ALLAH swt kurniakan buat kita hambanya ?

Bersempena dengan Ketibaan hari Kebesaran Ummat Islam ini , saya sama-sama mengajak diri saya dan ahli Pas Putrajaya sekalian, untuk kita nilai kembali sejauh manakah KESEPADUAN kita sebagai ummat Islam, sejauh manakah kelebihan ( MODAL INSAN ) yang ALLAH swt kurniakan buat kita telah kita gunakan untuk manfaat masyarakat sekeliling dan sejauh manakah kita sudah memanfaatkan medan perjuangan yang terbentang di hadapan kita untuk manfaat agama kita ?

Dengan ini , saya mewakili barisan pimpinan PAS Putrajaya sesi 2011/2013 ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada semua penduduk Putrajaya seterusnya mengajak ahli dan penduduk Putrajaya sekalian untuk kita sama-sama turun padang pada 7 November 2011 bagi menguruskan daging korban dan bersama meriahkan Majlis ADHA yang akan diadakan di perkarangan rumah YDP Putrajaya di Presint 8. Semoga perayaan Aidiladha ini akan menjadi pencetus kesedaran kita untuk berubah menjadi lebih baik ,maju dan bersatu , kerana setiap Umat Islam itu adalah hamba Allah yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya yang lain.

PERUTUSAN AIDILADHA DATO SERI TUAN GURU PRESIDEN


Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha 1432 H:

Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain.


Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw.


Kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), marilah kita terus menerus memperkukuhkan parti kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59.


“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”


Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan hujjatul wida' (haji selamat tingga)l :


“Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim)

Jumaat, 2 September 2011

Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh dalam kenangan


Biodata :

Nama : Tuan Guru Hj Hashim b. Hj Abu Bakar

Tempat lahir : Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.

Tahun lahir : 1923M

Pendidikan :

  1. Belajar di Darul Ulum ad-Diniah, Mekah dari tahun 1936 hingga 1939
  2. Belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Hj Abdul Rahman Hj Abdullah, Merbuk, Sungai Petani,Kedah pada tahun 1942
  3. Belajar di Pondok al-Marhum Tuan Guru Hj Ghazali Batu 26, Bagan Datoh,Perak pada tahun 1940
  4. Belajar di Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jetra, Kedah pada tahun 1944 selama 2 tahun
  5. Pada tahun 1946 belajar di Pondok Bunut Payong dengan Tuan Guru Hj Abdullah Tahir sehingga tahun 1953

-Pada tahun 1953 beliau berkahwin dengan adik Tuan Guru Hj Mustafa dan Tuan Guru Hj Abdul Aziz bin Abu Bakar pengasas Pondok Pasir Tumboh.

Perkhidmatan :

1. Mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama 2 orang iparnya dan menggantikan tempat sebagai Penguasa I atau Mudir setelah kematian keduanya sehingga sekarang.

2. Beliau juga menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad mulai 1995

3. Tokoh Hijraturrasul 1428H peringkat Kelantan

4. Menerima anugerah gelaran Dato’ Paduka daripada Pemangku Sultan Kelantan pada tahun 2010

Meninggal dunia

Kembali ke rahmatullah pada 1 Syawal 1432H bersamaan 30 Ogos 2011M pada jam 1.10 tengahari dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Pondok Pasir Tumboh pada jam 6.30 petang..al-Fatihah

Sabtu, 30 Julai 2011

Najib PM Terakhir Dari UMNO


Negara ini sebenarnya selama 50 tahun diperintah oleh golongan bangsawan".
- A. Samad Said, Sasterawan Negara.

Ketika orang berdedai-dedai turun ke jalan raya dengan si tua kelaparan, anak muda tak berpekerjaan, bayi kesejukan kala malam dan satu-satunya harapan politik terakhir ialah berdemontrasi, Saif al-Islam Gaddafi bergilir ditemuramah wartawan dari ruang Istana Presiden.

Saif, 39, adalah anak kedua Presiden Libya, Muammar Gaddafi. Babak-babak ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum di Kuala Lumpur, demonstrasi bersejarah 9 Julai lalu terjadi - BERSIH 2.0.

Saif yang boleh bertutur Inggeris dengan telo Arab ditugas berhadapan dengan wartawan dan media antarabangsa; menjawab dan menjelaskan kepada dunia apa yang "sebenarnya" terjadi. Seperti yang terduga, omongan penguasa totalitarian di mana-mana pun sama.

Saif menuduh pendemonstran yang menentang bapanya adalah dari rangkaian pengganas al-Qaeda. Mereka juga kata Saif, "pengkhianat" yang bermunculan daripada pendalaman - sedangkan di Tripoli, ibu negeri, sentiasa aman.

Tuduhan "pengkhianat" mahupun "al-Qaeda" tak ubah seperti tuduhan pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak kepada mereka yang turun ke jalan raya kelmarin dalam demontrasi BERSIH 2.0. Di sini, pemimpin dan aktivis yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO) tak boleh bertemu meski dengan anak-isteri.

Revolusi di beberapa negara Arab awal tahun ini antara lain menyelongkar perasaan yang terbuku di hati rakyatnya. Bukan sahaja soal korupsi, pembolotan kekayaan negara oleh segolongan elit, tetapi gaya politik legasi-nipotisme juga mulai ditolak. Mesejnya ialah, sama ada di Tunisia, di Mesir dan Libya, dalam lubuk sanubari manusia mereka menolak pemimpin politik yang mahu mewariskan pemerintahan kepada darah keturunan sendiri.

Sedar tak sedar, antara latar kebencian dan penentangan menjurus kepada Husni Mubarak adalah persoalan ini. Dia ditumbangkan kalamana Mubarak khabarnya dalam proses peralihan kuasa kepada pewaris yang dia sudah siapkan dari rahim isterinya, Suzanne. Menjadi rahsia umum di Mesir bahawa anak sulung Mubarak, Gamal, akan menggantikan si bapa sebagai Presiden.

Faham ala-maharaja dan rendah tamadun sebegini nampak berlaku di mana-mana. Mungkin sahaja, keresahan Sasterawan Negara, Pak Samad ada asasnya.Orang Malaysia, terutama sebelum krisis politik-ekonomi 1997-98, juga berfikiran feudal dan lapuk sebegitu. Rakyat kebanyakan (yang sekaligus memegang kuasa undi terbesar), dengan mudah-mudah melepaskan kuasa politik-pemerintahan kepada kelompok kelas atas, atau apa yang disebut Pak Samad sebagai "golongan bangsawan".

Cacatnya golongan ini mudah, iaitu mereka (yang dibesar dalam lingkungan elit)takkan dapat merasakan denyut-nadi rakyat sampai ke bawah-bawah. Jauh lagi untuk fahami. Bukan juga rahsia apabila golongan bangsawan itu tak mahu anak-anak mereka bersekolah di sekolah mahupun universiti kebangsaan. Sementara sistem pendidikan yang mereka cipta dan mahu rakyat mendukung, mereka sendiri tak memakainya.

Pak Samad menamakan dari PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang lahir di anjung istana, sehingga kepada PM hari ini, Najib yang orang tuanya juga perdana menteri. Menurut Pak Samad, yang terlepas daripada lingkungan keluarga bangsawan (barangkali) cuma Mahathir Mohamad. Abdullah Badawiyang sempat berkuasa sekelip mata, yang lahir daripada tatanan agamawan juga ditanda sebagai cebis-cebisan golongan bangsawan.

Rakyat selalu diwar-warkan, dipaku di dalam fikiran dan hati bahawa anak kepada seorang perdana menteri, misalnya, sediakala arif soal politik dan pentadbiran. Dia boleh meneruskan apa yang baik, yang pernah dilakukan oleh bapanya. Semua keyakinan ini tertanam sejak awal-awal lagi, dan, tak pernah dipersoal entah iya entahkan tidak. Padang permainan tak pernah sama rata…

Memandang kepada susur-galur Dato' Onn Jaafar, kalau diangkat sebagai contoh, baik anak Dato' Onn iaitu Hussein Onn mahupun si cucu, Hishamuddin Hussein; keduanya tak nampak tanda menginsafi idealisme leluhur mereka. Masing-masing buat endah tak endah terhadap antara idea utama Dato' Onn iaitu gagasan mahu menjadikan Umno sebagai parti pelbagai kaum. Masing-masing hanya menggunakan bayangan ayah sebagai batu loncatan.

Gamal si anak Mubarak itu misalnya, dia memulakan kerjaya sebagai pegawai pelaburan perbankan di Bank Amerika. Di dalam parti yang dikuasai bapanya, Parti Demokratik Nasional, sedari awal Gamal dilantik sebagai timbalan setiausaha agung - di samping kuncu-kuncunya mulai diposisikan di jawatan-jawatan berpengaruh.

Dalam kes Najib, jejak politik beliau pertama kali menjadi ahli parlimen ialah pada umur 23 tahun; menggantikan sang bapa yang meninggal dunia mengejut. Malah sejak pulang belajar dari England, Najib sudah bertugas di Bank Negara dan Petronas.

Pencapaian-pencapaian Najib pernah dijadikan dokumentari propaganda; ditayang di TV1 seawal beliau memegang jawatan. Antara tujuan dokumentari itu antara lain untuk menimbulkan rasa "gerun" di hati rakyat terbanyak - sedangkan boleh dipersoal, separuh pencapaian Najib tak lain kerana dia anak seorang PM.

Apakah tanpa nama Razak di belakang nama Najib, beliau boleh jadi Menteri Besar Pahang pada umur 29, mahupun sebagai timbalan menteri pada umur 25?

Dengan semua kemudahan dan peluang luar biasa yang terbentang itu, Najib tentulah tak pernah berfikir dan bersusah-payah sepertimana ramai anak muda seangkatannya. Jauh lagi mengharap Najib benar-benar merasai perih-payah sebagai orang bawah. Kalau di kampung saya, anak ketua kampung yang berangan untuk juga menjadi ketua kampung akan dicemuh kawan-kawan…

Betapa presiden-presiden Filipina yang masuk-keluar Istana Malacanang juga berlegar-legar selingkar sembilan keluarga tuan-tuan tanah di Filipina. Bangsawan ini mampu miliki kekayaan, tanah serta ladang maha luas diwarisi sejak zaman penjajah Sepanyol. Presiden Filipina sekarang, Benigno C. Aquino III pun bukanlah seorang yang terkenal cemerlang gagasan pembangunan dan politik ke atas bangsanya, meski keperibadian-politiknya beliau tetap sahaja seorang yang dikatakan demokratik.

Kini sedikit-sebanyak kita boleh bertanggapan bahawa "lusuhnya" Rumah Putih tak lain apabila George W Bush si anak memasuki dan mendiaminya selama dua penggal. Tak biasa dalam sejarah kepresidenan Amerika Syarikat, anak-beranak atau suami-isteri bergiliran memegang jawatan presiden. Berbanding Bush si ayah yang tak sempat melancarkan perang ke atas Iraq, Bush Jr jualah yang lengkapkan misi itu. Saya kira itulah sumbangan terbesar Bush kepada tamadun manusia.

Dengan layanan buruk, kecaman melulu dan tindakan anti demokrasi menjelang demonstrasi BERSIH 9 Julai lalu, dilatari kemunafikan elit penguasa, Pak Samad melontar sebuah harapan. Katanya dalam temubual yang sama dengan portal Malaysiakini, "Bapak harapkan dalam pilihanraya yang akan datang ini mereka (kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib) mundurlah ataupun jatuh."

Rakyat tak pernah memilih Najib sebagai PM. Abdullah Badawi yang memberikan kunci Seri Perdana kepadanya - sementara era politik anak-cucu dan menantu sudah mulai dipertikai.

Maka PRU ke-13 bakal jadi tanda aras sama ada rakyat bersedia meleraikan sistem pemikiran politik feudal atau tidak. Dari kata-kata Pak Samad, fahamlah kita bahawa biarlah Najib jadi PM terakhir dari UMNO yang mewakili sistem sebegini. Selepas lebih 50 tahun, sekarang peluang bagi bangsa kita bebas dari cengkaman golongan bangsawan dengan sebuah zaman baru yang waras dan adil perlu segera ditempa.

*Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat. -jalantentawi.com

Selasa, 5 Julai 2011

Ijtimak Pilihanraya : PAS Putrajaya Siap Sedia hadapi PRU13

Putrajaya, Selasa 5 Julai 2011 : PAS Kawasan Putrajaya pada hari Sabtu, 2 Julai 2011 yang lalu telah berjaya menghimpunkan ahli-ahlinya seramai lebih 50 orang bagi memantapkan pengetahuan dan mengukuhkan semangat bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohamad Nor bin Mohamad, manakala majlis penutupannya disempurnakan oleh

YDP PAS Putrajaya sendiri iaitu Ustaz Drs Mohamad Nazir Zakaria. Pengisian ijtimak tersebut telah disampaikan oleh dua orang pakar Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Kedah iaitu Saudara Awang Sallehudin dan Tuan Haji Adnan Saad.

Beberapa tajuk kertas kerja telah dibentangkan dan diperbincangkan dengan penuh semangat oleh pembentang dan juga peserta ijtimak. Perkara-perkara penting seperti bilik gerakan, daftar pengundi, penculaan, penerangan dan penyelidikan menjadi tajuk utama yang hangat diperbincangkan.

YDP, dalam ucapan penutupnya berharap semua perkara yang bincangkan dapat dijadikan panduan dan diterjemahkan dalam gerakan yang tersusun bagi menundukkan UMNO/BN khususnya Palimen P125 dalam pilihanraya umum nanti. Beliau juga menyatakan kursus bagi ejen tempat mengundi dan Ejen kira undi (Polling agent & Counting Agent – PACA) perlu disegerakan memandangkan masa pilihanraya dilihat sangat dekat.

Khamis, 23 Jun 2011

2 Julai pra himpunan aman Bersih 2.0


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebagai suatu usaha menyahut seruan himpunan aman Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini di ibu kota, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai ini sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 yang berwarna kuning.

Katanya, ia sebagai warm up (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

“Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai ini tidak perlu diadakan sebarang himpunan, cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan aman ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak.

“Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2 Julai 2011 ini. Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0,” ujarnya.

Jelasnya, rasional seruan itu adalah sebagai warm up (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0.

Tambahnya, ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan aman nanti dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang.

Ini juga, ujarnya membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan aman Bersih 2.0 adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara.

Selain itu, katanya 2 Julai sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan itu.

“Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai nanti adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka,” katanya.

Mohamad Sabu jawab isu Syiah

Harakahdaily

Ikuti pandangan yang diluahkanTIMBALAN PRESIDEN PAS, HAJI MOHAMAD SABU kepada wartawanAHMAD LUTFI OTHMAN, SAADON AKSHAH dan SALMIYYAH HARUN, di Pejabat Harakah, Kuala Lumpur.

HARAKAH: Perwakilan PAS telah memilih saudara sebagai Timbalan Presiden dalam muktamar lalu, bagaimana pula dengan sambutan pada peringkat akar umbi?

MOHAMAD SABU: Kehadiran wartawan pada muktamar kali ini luar biasa sekali. Khususnya liputan akhbar akhbar Cina begitu menggalakkan. Apabila keputusan pemilihan diumumkan, saya nampak sambutannya begitu ghairah terutama orang bawah, misalnya yang berada di khemah, Unit Amal, pemerhati, ahli PAS dan penyokong, yang meletakkan harapan cukup tinggi kepada PAS. Mereka berharap perubahan pimpinan akan mencetuskan satu ledakan.

Ini satu pengharapan tinggi yang amat saya bimbang kalau tidak berlaku apa-apa perubahan yang boleh membawa kebaikan dan penambahbaikan kepada parti. Nanti, kita akan hadapi kritikan hebat ahli dan para penyokong jika mengabaikan harapan mereka.

Boleh jelaskan secara umum visi dan misi saudara sebagai Timbalan Presiden?

Saya sudah bercakap banyak kali, secara umumnya tugas timbalan ialah membantu Presiden. Saya bukanlah yang terbaik, tetapi insya-Allah akan berusaha ke arah itu ... iaitu melebarkan pengaruh Parti Islam kepada orang bukan Melayu khasnya India, Cina dan lain-lain. Saya dianggap agak senang dan biasa bergaul dengan mereka.

Saya juga akan terus berusaha melalui parti untuk memahamkan rakyat tentang demokrasi, hak asasi dan sebagainya. Seperti saya timbulkan dalam muktamar, orang Melayu amat lemah dan rendah dalam memahami hak asasi. Misalnya, apabila seorang wanita Cina kononnya dibogelkan dalam lokap, yang mendominasi isu ini ialah DAP dan akhbar Cina tetapi bila Nora menceritakan bagaimana dibogelkan dan ketuk ketampi ekoran tangkapan demonstrasi, sikap orang Melayu begitu dingin.

Begitu juga kematian Beng Hock. Orang Cina dan akhbar Cina cukup mengambil berat isu ini. Tetapi apabila berlaku kepada pegawai kastam Sarbani, terbukti orang Melayu begitu dingin dalam masalah hak asasi. Saya akan cuba melalui parti bagaimana berusaha memartabatkan isu hak asasi, demokrasi serta hak dan kepentingan rakyat. Saya akan membantu Presiden dan parti dalam mengetengahkan isu-isu seperti ini.

Soalnya, masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina semakin dekat dan menaruh keyakinan kepada PAS, yang menjadi masalah ialah meraih sokongan pengundi Melayu terhadap PAS?

Memang kita kena berjalan serentak, bahkan usaha untuk mendapat sokongan orang Melayu perlu dilipatgandakan. Kita harap kerjasama terutama sekali dengan Ketua Penerangan baru, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, agar dapat memperbanyakkan program untuk menerangkan perjuangan PAS di samping menjelaskan kedudukan orang Melayu.

Apa pun, kita tidak mahu yang dikendong berciciran. Kita akan bergerak serentak sebab untuk ke Putrajaya, kita mesti meningkatkan sokongan orang Melayu sekurang-kurangnya 5-10 peratus dan meningkatkan sokongan bukan Melayu sedia ada.

Mengapa orang Melayu seperti tidak sensitif dengan isu-isu hak asasi, demokrasi, rasuah dan sebagainya sedangkan semua isu-isu itu dekat dengan tuntutan Islam?

Pemahaman siasah orang Islam perlu dipertingkatkan. Dalam soal amar maaruf nahi mungkar, sepatutnya orang Melayu mendahului kaum lain. Malangnya, kita nampak dalam soal rasuah dan penyelewengan, kaum lain mendahului. Kita harap ulama-ulama kita lebih dapat memainkan peranan untuk meningkatkan kefahaman tentang good governance, kerajaan yang telus, akauntabiliti, integriti serta menentang akta-akta zalim seperti ISA dan OSA.

Kita harap PAS, melalui ulamanya, akan lebih bercakap dalam hal-hal seperti ini supaya apa yang kita laungkan, misalnya prinsip-prinsip pemerintahan seperti soal hisbah dapat dijelmakan. Islam telah menggariskan prinsip-prinsip asas termasuk dalam pemerintahan, yang cukup baik untuk dipraktikkan. Masalahnya, mengapa orang lain pula yang dilihat lebih sensitif "memperjuangkannya, seperti mencegah kemungkaran dan penyelewengan.

Saudara juga sering menyebut soal memperkasakan Majlis Syura Ulamak. Dalam keadaan Timbalan Presiden tidak disandang lagi oleh ulama, begitu juga dengan Naib-Naib Presiden, tentu lebih ramai yang berminat untuk mendengar penjelasan lanjut saudara.

Ulama mesti berada di tempat yang paling tinggi. Sebab itulah selepas 1983, selepas terbentuk Majlis Syura Ulama, peranan ulama, yang sebelum itu menduduki Dewan Ulamak, dipertingkatkan lagi. Majlis Syura kini berada pada tempat tertinggi. Majlis ini betul-betul perlu diperkasakan sebagaimana saya tekankan dalam muktamar.

Di samping mengawal dasar, perlembagaan dan disiplin, mereka juga boleh "mengaudit" Jawatankuasa PAS Pusat. Supaya mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan dasar boleh dipanggil dan ditegur. Juga boleh mengenakan tindakan disiplin. Dengan itu, bukan sebarang orang boleh berada dalam Majlis Syura. Seorang yang berpengalaman, berumur, berilmu, bertakwa, dan mereka mempunyai ciri-ciri seorang yang dikatakan 'manusia yang sempurna'.

Ada pun jawatan lain yang bersifat pentadbiran dan eksekutif, ia boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang layak. Kalau kebetulan seorang yang berpendidikan agama dilihat lebih sesuai di situ, pilihlah dia. Kalau yang berkelulusan profesional atau aktivis mampu berada di situ, maka ahli berhak memilihnya.

Tetapi Majlis Syura ia mesti 'special' sebab orang inilah yang akan mengawal segala disiplin dalam jemaah itu sendiri, terutama mengawal dasar dan perlembagaan.

Setakat ini bagaimana penilaian saudara terhadap Majlis Syura?

Perlu dipertingkatkan. Kita mahu sebarang keputusan Majlis Syura ini melepasi sempadan. Kita ambil contoh mudah, tarian poco-poco. Majlis Syura membuat keputusan dan memberi pandangan. Pandangan Majlis Syura itu akan jadi bukan hanya rujukan ahli PAS, malah bukan ahli dan sebagainya. Ataupun satu isu yang menjadi kontroversi, misalnya mengubah daripada dagu besar menjadi kecil. Majlis Syura akan buat satu pandangan tapi ia bukan fatwa. Dengan itu pandangan Majlis Syura itu sekurang-kurangnya dibincangkan dan diperdebatkan, akhirnya ia menjadi rujukan orang lain. Maknanya, wibawa Majlis Syura menyeberang sempadan parti.

Di samping sokongan dan harapan tinggi ahli parti dan rakyat terhadap saudara, terdapat juga suara-suara sumbang yang mengaitkan saudara dengan mazhab Syiah ....

Saya kebetulan membesar dalam perjuangan, menyertai PAS pada 1978 dan tahun 1979 berlaku revolusi Islam Iran. Perkembangan dan kebangkitan di sana menjadi tumpuan ramai. Kemudian kemunculan gerakan Islam seperti Hizbullah, yang juga dipimpin seorang ulama yang memakai serban.

Kita ambil contoh Imam Khomeini. Macam mana seorang ulama yang menggerakkan rakyat sehingga boleh buat revolusi. Isu apa yang dipakai? Mereka tidak sebut pertentangan kelas. Tetapi beliau mengemukakan isu Mustakbirin dan Mustad'afin, iaitu yang menindas dan yang kena tindas, 'oppressed and oppressors'.

Bagaimana Khomeini berjaya meletakkan semua golongan dibawahnya. Sama ada sosialis, komunis, liberal dan sebagainya berketuakan dia. Yang ini kita perlu belajar, bukan soal mazhabnya.

Saya juga menghormati, bahkan dalam ucapan-ucapan saya tidak lekang menyebut Imam Hassan Al-Banna. Dia seorang guru agama biasa tetapi dia berdakwah dan berjaya masuk sampai ke bar dan kelab malam. Bagaimana dia boleh memimpin semua peringkat, sehingga intelektual universiti, profesor juga ada di bawah naungannya. Pemimpin macam ini saya amat hormat.

Begitu juga dengan Hizbullah. Di Beirut, yang digelar 'Paris of the East', tempat tarian gelek, tarian separuh bogel, minum arak, pakai bikini, tiba-tiba di tengah kota ini muncul satu badan yang begitu disiplin dan begitu menitikberatkan hal kebajikan. Serta boleh mengumpul anak muda dan bagaimana mereka dilatih sehingga sanggup korbankan nyawa harta benda untuk melawan dengan Israel.

Kemudian, dari sudut politik, mereka boleh menarik golongan kristian Michael Aoun yang bersenjata dan kumpulan sekular yang lain berada di bawah naungan Hizbullah. Ini taktik dan strategi politik. Inilah yang saya kagum dan mahu belajar daripada mereka.

Begitu juga Sheikh Ahmad Yasin yang berjuang daripada muda sehinggalah beliau berkerusi roda terus berjihad. Sesetengah kita bila masuk umur tua sedikit cepat-cepat menyerahkan kepada orang muda, "biar kami tua-tua ni duduk di belakang". Tetapi Sheikh Ahmad Yasin ini menyemarakkan semangat jihad sehingga melahirkan Hamas.

Jadi contoh-contoh inilah yang saya kagum. Kadang-kadang saya tidak tahu pun latar belakang soal anutan mazhab mereka, tetapi saya melihat dari sudut ilmu bagaimana mereka mengorak langkah dan memimpin. Dan dalam dunia moden ini, bagaimana ulama ini boleh diterima umum.

Kita ambil contoh macam Hassan Nasrullah. Penyanyi, ahli sukan, artis, semuanya boleh menerimanya. Kita kena lihat di mana kekuatan mereka. Begitu juga dengan dunia intelektual. Saya minat pandangan Dr Kalim Siddiqui, ahli sains sosial daripada England yang meninggal dunia di Afrika Selatan.

Saya mengingati juga Dr Ali Shariati tanpa mengetahui apa mazhab dia. Beliau membuat kupasan yang menarik terhadap sejarah, haji, firaun, kerajaan Mongul yang jatuh di India. Saya minat membaca pemikiran seperti ini. Begitulah juga dengan Dr Fathi Yakan yang membicarakan langkah awal perjuangan Islam.

Bagi saya bukan melihat pemahaman, anutan dan sebagainya. Dan kadang-kadang saya tidak tahu apa pegangan dan anutan mereka tetapi saya melihat dari sudut kepimpinan.

Begitu juga di tengah-tengah kelemahan orang Islam yang tidak yakin langsung tentang nilai jati diri sehingga orang berkata "macam mana hendak merdeka, orang Melayu, jarum pun tidak boleh buat, sedangkan British ada kapal perang".

Di sini pula muncul Jamaluddin Afghani yang memberi nafas baru kepada orang Islam untuk yakin kepada kekuatan diri menuntut kemerdekaan: "Kamu boleh mencapai kemerdekaan sendiri, kalau bersedia untuk berjuang".

Inilah sikap saya dalam hal merujuk kepada pejuang-pejuang, yang tidak langsung melihatnya dari sudut latar belakang mazhab mereka.

Isnin, 13 Jun 2011

'Kalau PAS tak ambil, Umno akan ambil'

Salhan K Ahmad
Jun 10, 11
11:47am
PAS perlu mencontohi tadbir urus yang baik seperti yang diamalkan negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan integriti dalam pentadbiran negeri yang dikuasainya – Kelantan dan Kedah, kata timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Katanya, pemimpin berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan perubahan yang berlaku di kedua-dua negeri tersebut masih belum cukup dan lebih buruk lagi, masih ada lagi golongan dalam PAS yang masih berfikiran seperti pemimpin Umno.

NONE"Bukanlah kalau PAS pergi ke Putrajaya dengan rakan-rakannya hal ini akan selesai. Tadbir urus baik ini masih perlu difahami.

"Bila kita ceramah, kita tanya 'bila kita memerintah setuju tak kita tangkap (Datuk Seri) Najib (Razak) bawah ISA?' Orang kata setuju. Itu bermakna dalam pemikiran untuk balas dendam ini masih tebal.

"Maknanya bila kita perintah kita ganti Umno. Itu yang kita tak mahu. Sekarang di Kedah, Kelantan, perubahan berlaku tapi tak cukup," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Mohamad menjelaskan, perubahan di negeri Kelantan, misalnya, akan berdepan masalah apatah lagi sekiranya menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi mengetuai pentadbiran negeri berkenaan.

ADUN, exco tak boleh pohon tanah

"Dari segi tadbir urus, sebab pergantungan Kelantan misalnya pada Tok Guru (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) terlalu tinggi," kata Mohamad yang vokal terhadap pentadbiran PAS sejak parti itu dapat mengembalikan kuasa di negeri itu pada 1990.

NONEPenceramah popular itu juga menegaskan, PAS perlu mengubah sikap yang wujud di kalangan wakil rakyatnya bagi meningkatkan integriti barisan pentadbiran di negeri yang dikuasai.

"Misalnya anggota exco, ADUN tak boleh pohon tanah kerajaan. (Kalau) mahu mohon, berhenti, jadi orang berniaga. Selagi jadi ADUN, exco tak boleh memohon dan sebagainya. Ini yang perlu diubah oleh kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

"Setengah bercakap kalau PAS tak ambil, Umno ambil. Ertinya (PAS) sama (dengan Umno) – benda macam ini yang saya akan berdepan, di dalam isu misalnya balak," katanya lagi yang mengakui bahawa pandangan seperti itulah yang menyebabkan beliau dilihat sebagai "pro-DAP."

Mohamad yang bimbang dengan penyelewengan yang wujud dalam parti itu berkata demikian dengan merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan berhubung sumber balak di negeri berkenaan.

Berebut untuk dapat 'Datuk'

Satu lagi perkara yang menjengkelkannya ialah minat yang ditunjukkan pemimpin PAS untuk mendapatkan gelaran daripada istana – sikap yang dikutuknya sebagai pemujaan kepada sistem kasta dan feudalisme.

NONE"Penyanyi menyanyi dua tiga lagu dah 'Datuk'. Pelawak (juga dapat). Kalau P Ramlee itu OK lah bagi Datuk, ini semua, kita baling batu boleh jatuh kepala Datuk.

"Kalau gelaran Datuk, semua mencari. Kalau umum 'siapa nak (pangkat) Datuk esok datang depan istana', saya ingat pemimpin PAS akan berebut pergi depan istana," katanya.

Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu itu bagaimanapun berkata, beliau setakat ini menolak tawaran bagi gelaran berkenaan kerana tidak melihat keperluannya.

"Saya tolak buat masa ini. Tak berani cakap besarlah untuk akan datang, tapi buat masa ini tak nampak (keperluan). Tak perlu," katanya yang telah menolak tawaran untuk mendapat pingat kebesaran daripada Pulau Pinang sebanyak dua kali.

Mohamad Sabu ditemubual Aidila Razak, Lee Way Loon dan Salhan K Ahmad.

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails