SELAMAT DATANG

Khamis, 14 Ogos 2014

ALUMNI PONDOK TERBESAR DI MALAYSIA TELAH DITUBUHKAN

Putrajaya, 9 Ogos 2014. Mesyuarat Agong Penubuhan Persatuan Alumni Pondok Pasir Tumboh telah berjaya dilaksanakan kelmarin 8 Ogos 2014 bertempat di Pondok an-Nuur Travel, Tanjung Lumpur Kuantan Pahang dan telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan Pondok  an-Nuur Travel Yang Berbahagia Ustaz Mokhtar bin Senik yang juga merupakan bekas pelajar pondok berkenaan.

Dalam ucaputamanya Ustaz Mokhtar berkata;”Pondok Pasir Tumboh yang mula ditubuhkan pada tahun 1954 telah melahirkan ramai pelajar yang berjasa kepada masyarakat. Namun sehingga kini tidak pernah mana-mana pihak cuba mengumpulkan pelajar-pelajar yang kini bergelar ulamak dalam satu persatuan.

Ustaz Mokhtar dalam ucaputamanya menyatakan, “hasil dari perjumpaan bekas-bekas pelajar pondok Pasir Tumboh di pondok yang terbesar di Malaysia ini 3 tahun yang lalu telah direalisasikan pada hari ini dengan tertubuhnya Persatuan Alumni Pondok Pasir Tumboh yang telah diluluskan pendaftarannya pada 16 julai yang lalu”.

Pondok Pasir Tumboh sejak penubuhannya 60 tahun yang lalu telah melahirkan ramai ulamak mengemudi ummat di negara ini. Ribuan pelajar telah dilahirkan dan sehingga hari ini puluhan pondok telah diwujudkan oleh lepasan pondok ini di seluruh negara, bahkan telah wujud persatuan bekas-bekas pelajar di seluruh negeri namun mereka hanya bergerak disekitar negeri mereka sahaja dan tidak pernah didaftarkan.

“InsyaAllah dengan wujudnya Persatuan Alumni Pondok Pasir Tumboh yang bertaraf kebangsaan ini kita dapat menghimpunkan seluruh bekas-bekas pelajar dan menyenaraipendekkan pondok-pondok yang ada dan kita akan dapat melihat di mana kekurangan dan kelemahan yang ada dan dapat kita sempurnakan bersama melalui pengembelingan tenaga, idea dan sumber yang diperolihi melalui persatuan ini. Ini adalah selaras dengan matlamat penubuhan alumni ini sendiri untuk menyatukan seluruh bekas pelajarnya, ujar Ustaz Mokhtar lagi.

Ketika di tanya, Setiausaha Agongnya, Ustaz Mohamad Nazir Zakaria tentang objektif penubuhan alumni ini beliau menambah, “selain menyatukan seluruh bekas pelajarnya kita juga berhasrat untuk menjaga sebaik mungkin kebajikan mereka dan pondok-pondok mereka dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang telah dirancang dengan tema “satu pondok satu produk” dan untuk menjayakannya sebuah syarikat iaitu Alumni Pasir Tumboh Network telah didaftarkan”.

“Begitu juga dengan penambahbaikan sistem pendidikan yang menjadi agenda serta objektif yang akan diutamakan daripada dilihat sebagai sebuah entiti pengajian tradisional kepada pemodenan khususnya infrastruktur pondok itu sendiri selaras dengan perkembangan semasa, tambahnya lagi.



Sejurus selesai mesyuarat agung tersebut satu majlis pecah tanah penubuhan Kolej Islam An-Nuur milik Presiden Alumni Pondok Pasir Tumboh yang juga Mudir Pondok an-Nuur telah dilaksanakan oleh YBhg. Dato Tuan Ibrahim Tuan Man. Kolej berkenaan adalah kesinambungan dari Pondok an-Nuur, antara lain akan menawarkan pengajian kitab turath peringkat diploma. 

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails