
PUTRAJAYA, 16 MEI: Satu kemalangan maut telah berlaku yang melibatkan seorang murid iaitu adik Muhammad Firdaus bin Badrul Hisham 12 tahun, di Putrajaya baru-baru ini. Kemalangan tersebut telah berlaku disebabkan pelajar terbabit melintas di Lebuhraya Persiaran Utara berhampiran Apartment Kuarters Fasa 5, Presint 9. Pelajar malang tersebut adalah murid di SEKOLAH KEBANGSAAN PRESINT 11(1).
Sejurus selepas kemalangan tersebut PAS Kawasan Putrajaya telah menghantar satu surat cadangan kepada pihak Perbadanan Putrajaya bertarikh 27 April 2009 dan surat tersebut dihantar sendiri oleh YDP PAS kawasan Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir Zakaria kepada Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Bin Osman, juga salinan kepada Datuk Hj Abdul Ghani bin Ahmad, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar,Superintendent Abdul Razak Bin Abdul Majid, Ketua Polis Daerah dan Hj. Khairil bin Awang Timbalan Pengarah Pelajaran, Pejabat Pelajaran WP PUTRAJAYA."Sehingga hari ini pihak Pas Kawasan belum lagi menerima maklumbalas dari pihak perbadanan dan dilihat tiada sebarang tindakan susulan diambil" ujar Ustaz Nazir.
Antara kandungan surat tersebut ialah Pas Putrajaya dengan rasa prihatin dan tanggungjawab memohon kepada pihak Perbadanan Putrajaya agar dapat memberikan pertimbangan terhadap beberapa perkara yang boleh mengelakkan perkara sebegini berulang.
Perkara-perkara yang dicadangkan oleh pihak kami dan sewajarnya diberikan perhatian adalah :
i.Membina pagar pada pembahagi jalan bagi mengelak pelajar-pelajar melintas dikawasan berkenaan dan menggalakkan mereka menggunakan jalan yang lebih selamat contohnya terowong yang menyambungkan Presint 9 dan Presint 11
ii.Membina jejantas pejalan kaki bagi memudahkan pelajar yang bersekolah di Presint 11 dan tinggal di Presint 9 ataupun sebaliknya lebih mudah berulang-alik menggunakan laluan yang lebih dekat dan selamat.
iii.Adalah diharapkan pihak Perbadanan dapat berbincang agar Jabatan Pendidikan Daerah menyusun bagi meminimumkan pelajar yang tinggal di Presint 9, tetapi belajar di Presint 11. Hanya pelajar yang ibubapa mereka berkemampuan dan kesempatan untuk menghantar dan mengambil mereka ke sekolah diberikan penempatan sekolah sedemikian.
iv.Perkhidmat BAS Sekolah.
Diharapkan juga pihak Perbadanan dapat bertindak pro-aktif dalam perkara ini. Walaupun ramai ibubapa mempunyai kenderaan, masih ramai lagi yang masih belum ada kereta atau kesempatan untuk menghantar atau mengambil anak di sekolah. Justeru, penyediaan BAS sekolah (NADI PUTRA) diharapkan dapat mengelak pelajar sekolah menggunakan laluan yang salah untuk pergi-balik sekolah;
v.Perbincangan dengan pihak Polis bagi mengawal lalulintas pelajar sekolah pada waktu pergi dan pulang pelajar-pelajar tersebut.
Sebagai kesimpulan kami melihat perkara (i) adalah perkara yang perlu disegerakan dan perkara-perkara lain perlu menyusul agar perkara sedemikian tidak berulang lagi
Pertimbangan pihak tuan amat kami harapkan agar keselamatan anak-anak kita terjamin dan tidak terdedah kepada bahaya. Pertimbangan dan tindakan tuan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.
Sekian, terima kasih
“PAS UNTUK SEMUA”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan