SELAMAT DATANG

Isnin, 1 Jun 2009

ULASAN BLOG SEMINGGU: Isu Palestin, Pendatang Asing dan Chin Peng

HUJUNG minggu ini banyak isu yang menjadi pilihan para penulis untuk dikupas dalam blog masing-masing daripada perihal pilihan raya kecil di Penanti, kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) sehinggalah isu antarabangsa.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya, Chedet(www.chedet. co.cc) menulis tentang forum berkaitan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Tulis bekas Perdana Menteri itu, antara sebab berleluasanya perbuatan kejam Israel ke atas rakyat Palestin ialah kerana sikap orang Arab sendiri.

''Saya berbual dengan beberapa orang Arab dan saya dapati mereka tidak mempunyai matlamat atau strategi bagi melawan musuh. Yang mereka utamakan ialah membalas dendam. Tidak ada perancangan untuk menawan balik wilayah mereka. Tidak ada kata sepakat antara kumpulan,'' kata beliau.

Dr. Mahathir menulis, orang Arab bermusuhan sesama sendiri dan inilah yang memberi peluang untuk Israel dan Amerika Syarikat melaga-lagakan mereka.

''Saya cadangkan supaya diwujudkan sebuah negara di mana orang Arab Palestin dan Yahudi menjadi rakyat bersama seperti sebelum Israel ditubuh.

''Pendapat umum daripada perbahasan ialah Israel tidak boleh dihapuskan. Ia sudah jadi satu kenyataan yang tidak lagi boleh diubah barang sedikit pun."

Salleh Tun Said Keruak (sskeruak.blogspot. com) menyentuh mengenai kekejaman ah long ke atas pemimpin wang. Tulisnya, dua aspek yang harus diberi perhatian ialah punca masalah dan penyelesaian untuk menangani ah long.

''Peminjam juga ada dua kategori, iaitu mereka yang mempunyai pekerjaan (sama ada di sektor awam mahupun swasta) dan mereka yang bekerja sendiri, termasuk peniaga dan penjaja kecil..

''Mereka ini terpaksa mencari ah long disebabkan usaha mendapatkan kemudahan pinjaman daripada institusi berlesen agak lambat dan syarat prosedur ketat, berbanding ah long yang tidak cerewet biarpun mereka dikenakan kadar faedah yang sangat tinggi,'' tulisnya.

Institusi kewangan katanya, boleh membantu mereka yang berpendapatan tetap mendapatkan kemudahan pinjaman dengan menentukan mereka membayar balik pinjaman seperti skim potongan gaji.

''Untuk peminjam bekerja sendiri pula, agensi-agensi kewangan kerajaan perlu mencari jalan bagaimana kaedah atau mekanisme paling mudah untuk memberi pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan, '' katanya.

Penulis A. Kadir Jasin (www.akadirjasin. com) kelmarin menyentuh mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin yang mudah ke negara ini.

Katanya, dalam era penerbangan murah, wabak penyakit dan pelarian moden boleh datang dan pergi dengan tambang RM50 sahaja..

''Mereka datang dari Indonesia sebagai buruh. Habis permit mereka tidak pulang. Mereka datang dari China atas visa pelajar. Jadi GRO, pelacur dan masuk ke kawasan pedalaman berkahwin dengan penanam halia dan penternak ayam.

''Mereka datang dengan permit dari Bangladesh, India dan Pakistan tetapi mereka jadikan negara ini sebagai loncatan untuk masuk ke Australia, Amerika atau Eropah sehingga kita dicap melakukan penyeludupan manusia,'' tulis beliau.

Penulis berkata, bayangkan apa akan terjadi andai negara membenarkan "pelancong" dari negara raksasa yang miskin seperti China dan India masuk tanpa visa atau dengan melonggarkan syarat.

''Sepatutnya kita mengetatkan syarat kemasukan pendatang daripada semua destinasi berisiko, termasuk pelancong yang semakin ramai melencong menjadi GRO, pelacur, perempuan simpanan, calon isteri dan pengemis.

''Memang betul kerajaan membebaskan 27 sektor kecil perkhidmatan daripada syarat Dasar Ekonomi Baru, tetapi tidak bermakna kerajaan perlu membuka pintu untuk dibanjiri pendatang yang tidak diingini seperti pelajar dan pelancong merangkap GRO dan pelacur."

Syed Ali Alhabshee dalam blog UMNO Bahagian Cheras (umnobahagiancheras. blogspot, com) pada Jumaat menulis mengenai desakan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang supaya membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) dibenarkan kembali ke tanah air.

Beliau menggesa Datuk Teng Hock Nan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung desakan itu. Beliau juga mahu Presiden Gerakan, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengambil tindakan tegas terhadap Hock Nam bagi membuktikan keikhlasan beliau terhadap semangat setiakawan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

''Hock Nan kata dia benci dengan pengganas komunis, tetapi dia juga yang mendesak kerajaan supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini atas sebab kemanusian. Maka saya cabar beliau buktikan keikhlasan pengakuan tersebut,'' katanya dalam blog itu.

Beliau menulis, Hock Nan sepatutnya terlebih dahulu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara sebelum membuat sebarang kenyataan. Lebih-lebih lagi kenyataan yang tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin politik yang menjadi rakan dalam pakatan BN.

''Memang era komunis sudah berakhir dan tidak berlaku lagi peperangan daripada segi persenjataan, tetapi kita tetap berwaspada dengan penyerapan ideologi komunisme di kalangan generasi baru,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails