
Kadangkala cakapnya ada yang menyakitkan hati bila mengulas isu-isu yang berkaitan partinya ataupun kementerian yang pernah diketuainya.
Barangkali antara menteri Kabinet dan presiden parti paling lama sejak 1979, Samy Vellu cukup bijak mencipta kontroversi demi survival politik dan kedudukannya dalam kerajaan.
Selain dikenali Samy Tol, bekas ahli parlimen Sungai Siput itu juga diingati kerana perang beliau dengan bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri M.G Pandithan sehingga orang kanannya itu dipecat daripada MIC dan kemudiannya menubuhkan parti baru dikenali IPF.

Samy juga pernah menjadi punca kekalahan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam dengan menyokong Datuk G. Palanivel untuk bertanding jawatan tersebut.
Akibatnya, Subramaniam tidak terpilih lagi sebagai calon dalam pilihan raya dan kini sedang berusaha bangkit untuk mendapat semula tempatnya dalam parti utama kaum India di negara ini.
Ketika bertelagah dengan Subramaniam, bekas Menteri Kerja Raya itu tiba-tiba menjadikan Datuk S.Sothinathan sebagai anak didik.
Namun menjelang pemilihan MIC 12 September ini, Naib Presiden MIC itu umun bertanding jawatan Timbalan Presiden menyebabkan Samy Vellu naik angin kerana beliau menyokong Palanivel kekal jawatan tersebut..
Marah dengan tindakan Sothinathan, yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC dan bekas ahli Parlimen Teluk Kemang, Samy Vellu pada Khamis berkata, beliau telah memutuskan hubungan dengan anak didiknya itu kerana pertandingan itu.
"Saya tidak akan menerima beliau kerana beliau telah membelakangkan hasrat saya,” katanya yang sebelum ini meminta Sothinathan dan ahli lain menyokong Palanivel.
Samy Vellu berkata, Sothinathan telah mengelirukan perwakilan dengan memberitahu cerita yang berlainan kepada orang yang berlainan bagi meraih undi.
"Saya yang membawa beliau ke dalam parti ketika beliau hanyalah kakitangan Koperasi Pekerja Jaya.
"Beliau telah lupa dan sekarang, apabila beliau berjumpa dengan orang-orang yang tidak menyukai saya, beliau memberitahu mereka supaya mengelak daripada saya.
"Tapi apabila beliau bertemu dengan penyokong saya, beliau memberitahu mereka yang saya seperti bapanya dan oleh itu, mereka (penyokong saya) perlu mengundi beliau," katanya.
Samy Vellu berkata, beliau adalah orang yang melantik Sothinathan sebagai setiausaha agung parti yang membolehkannya berhubung rapat dengan perwakilan dan pengerusi cawangan.
"Saya tidak harap beliau (Sothinathan) menghargai tetapi saya tidak mahu beliau memperdaya perwakilan dan ahli-ahli parti dengan mempercayai yang beliau adalah orang Samy Vellu.
Tanpa beliau katanya, Sothinathan tidak akan menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang, seorang Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri.
Nampaknya ketika perang dalam MCA kerana Majlis Presiden parti itu memecat Timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek malam Rabu belum seleai, MIC pula akan turut berperang.
Ianya bukan sahaja bagi mereka yang merebut jawatan utama dalam pemilihan parti itu tetapi perang Samy Vellu dengan Sothinathan.
Perkembangan terbaru ini pasti menyebabkan pertarungan merebut jawatan timbalan presiden parti itu lebih menarik malah ada pemerhati politik membayangkan kemungkinan Sothinathan dan Subramaniam akan bekerjasama untuk mengalahkan Palanivel.
Jika Palanivel tewas dan sama ada Sothinathan atau Subramanian menang, apakah Samy Vellu yang sudah umum lepas jawatan presiden MIC pada 2012 akan berbuat demikian, sama-sama kita tunggu.-27/8/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan