SELAMAT DATANG

Rabu, 30 September 2009

Bagan Pinang Kerusi Kita.. Ayuh Kita Pertahankan - TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin

Isa Samad Calon BN DUN Bagan Pinang

TELUK KEMANG, 29 Sept – Persoalan siapa yang akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bagan Pinang telah pun terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pilihan bagi mengekalkan kerusi tersebut.

Tan Sri Isa merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 – Mac 2004.

Beliau yang dilahirkan di Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, Port Dickson dan kemudiannya bersekolah di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya sebelum bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak, Seremban (1973-1978).

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis sambutan hari raya Aidilfitri yang diadakan di Pusat Operasi BN Teluk Kemang.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Tan Sri Muhyiddin mengingatkan bahawa gagasan Satu Malaysia telah membawa perubahan besar kepada negara khususnya dalam menangani masalah ekonomi dan perpaduan kepada rakyat keseluruhannya.


Katanya, kerusi Bagan Pinang adalah hak milik BN yang semestinya akan kekal, dengan keseluruhan rakyat tempatan memberikan sokongan kepada BN menerusi calonnya, dan tentunya dalam pilihan raya kecil akan datang ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa kehadiran khalayak yang ramai dalam majlis tersebut dengan jumlah sekitar 8,000 orang; dihadiri oleh pelbagai lapisan bangsa adalah bukti sokongan rakyat tidak berbelah bagi kepada BN.

Lantas, beliau menyeru semua jentera dari peringkat kepimpinan sama ada di peringkat Pusat hinggalah ke akar umbi agar memberikan sokongan dan sama-sama berusaha memastikan tampuk kepimpinan BN di kawasan Bagan Pinang.

Turut sama memberi sokongan dalam majlis tersebut ialah para pemimpin tertinggi dalam parti kompenan BN.

Pusat Operasi BN mula dipenuhi dengan masyarakat berbilang bangsa termasuklah para penyokong dan jentera parti yang mula hadir dalam majlis sambutan Aidilfitri sejak pukul 3.00 petang lagi.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Nor, 54, di Hospital Pakar Seremban pada 4 September lalu.

Allahyarham Azman yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu dengan mengalahkan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

Daripada jumlah tersebut, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa.

Terdapat lapan peti undi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Eastern, Kampung Bagan Pinang, Si Rusa dan Teluk Kemang dengan rekod pada pilihan raya umum yang lalu, BN memenangi lima peti undi di kawasan terbabit.


Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails