SELAMAT DATANG

Jumaat, 18 September 2009

Perutusan Aidilfitri 1430 oleh Yang DiPertua PAS Putrajaya

Ahli-ahli PAS, Para Penyokong khususnya Penduduk Putrajaya, Ingatlah bahawa RAMADAN adalah bulan kursus untuk kita memperbaiki nafsu kita. Daripada tingkatan nafsu al-ammaratum bis su', bertukar menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya menuju kepada nafsu mutmainnah. Sebuah motokar boleh dihantar ke bengkel, tetapi nafsu kita tidak boleh secara berpanjangan dipantau dan diselenggara oleh ibu bapa, polis, Badan Pencegah Rasuah, ustaz atau Tok Guru selama-lamanya. Perlu tiap suatu masa daripada hidup kita, di mana nafsu kita hendaklah dikendali dan diselenggarakan oleh diri kita sepenuhnya.

Dalam menjalani kehidupan, anak-anak kita banyak menghadapi gangguan untuk mencapai cita-cita. Jika mahu ke universiti sekalipun, gangguan dalam bentuk kesihatan, kecerdasan dan kewangan boleh mengganggu kelancaran mereka.

Bagaimanapun, untuk menuju ke akhirat, manusia tidak langsung terganggu. Suka atau tidak suka, masing-masing diseret ke akhirat. Manusia akan mati dan memasuki alam kubur. Sesungguhnya jalan hidup dan cara hidup yang dipilih di dunia, sama ada beriman atau munafik atau kufur. Pilihan itulah yang akan menentukan nasib seseorang sama ada ia akan menuju ke syurga atau ke neraka.

Sebab itu, kita semua mestilah berhati-hati dan beringat-ingatlah dalam menjalani kehidupan ini. Kita mesti memahami dan menghayati sepenuhnya, segala butiran akujanji kita dengan Allah SWT yang selalu kita ucapkan baik dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang, iaitu: "Sesungguhnya sembahyangku, dan semua ibadatku, semua aktiviti hidupku dan kesudahan matiku digunakan untuk mendekatkan diriku kepada Allah, Tuhan yang memelihara sekalian alam."

Dikesempatan bulan Ramadhan al-mubarak ini untuk mengingatkan diri saya dan semua ahli-ahli dan penyokong PAS Putrajaya serta penduduk Putrajaya supaya memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, berzikir dan bermunajat kepada Allah lebih-lebih lagi pada akhir bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan yang mulia padanya terdapat malam Lailatul Qadar yang ganjarannya bersamaan 1000 bulan beribadat bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut. Bukan mengejar lailatul Kamdar yang pastinya kita akan kehabisan 1000 ringgit semata-mata memuaskan nafsu kita. Juga dalam kita bergembira untuk menyambut Syawal yang bakal tiba, janganlah pula kita lupa menunaikan ibadah yang wajib, iaitu zakat fitrah yang wajib kita tunaikan selaku insan bertaqwa untuk diagihkan kepada insan yang memerlukan.

Saya juga mengharapkan supaya kita jangan leka dengan kemeriahan menyambut aidilfitri sehingga lalai menunaikan ibadat wajib dan sunat seperti Solat Tarawih serta membuat persediaan sampai membeli barang-barang yang sehingga menyebabkan pembaziran. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan supaya tidak menanggung hutang di kemudian hari.

Di kesempatan yang ada ini juga, saya bersama seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Putrajaya ingin mengingatkan seluruh penduduk di kawasan Putrajaya khususnya supaya berhati-hati apabila memandu kenderaan pulang berhari raya ke kampung dan ke destinasi masing-masing. Pandulah dengan cermat supaya anda semua dapat berhari raya bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Akhir sekali, saya selaku YDP PAS Kawasan Putrajaya bersama-sama seluruh Ahli Jawatankuasa memohon beribu kemaafan sekiranya terkasar bahasa dan sebagainya sepanjang kita berurusan, Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd.

Ustaz Mohamad Nazir bin Zakaria

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails