Putrajaya : PAS Kawasan Putrajaya 26 Disember (Sabtu) lalu telah berjaya menjalankan satu lagi aktiviti kemasyarakatan dan sukan dengan terlaksananya Kejohanan Bowling Piala YDP PAS Putrajaya di Alamanda Putrajaya. Kejohanan kali kedua ini membuka ruang kepada PAS Putrajaya untuk lebih banyak berinteraksi bersama masyarakat, khususnya di Putrajaya.
Juara kategori berpasukan (trio) telah memenangi hadiah wang tunai RM 200 beserta piala, manakala juara kategori individu telah menerima piala khas YDP PAS Putrajaya serta beberapa hadiah lain.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah diserikan dengan kehadiran Bendahari PAS Pusat, Yang Berhormat Dr. Mohd Hatta Ramli.

Dalam ucapannya beliau menyatakan aktiviti ini adalah bertepatan dengan keadaan masyarakat di Putrajaya yang berlainan dibandingkan dengan Kawasan lain.
Beliau juga menegaskan bahawa PAS bukanlah sebuah parti politik atau gerakan dakwah semata-mata, tetapi ia adalah juga badan kebajikan dan kemasyarakatan yang berusaha memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan baik, aman dan berkebajikan sepanjang masa.
Menurut beliau lagi, aktiviti riadah dan sukan seperti ini juga dapat membentuk masyarakat yang sihat, jasmani dan rohani.

Dalam pada itu, PAS Putrajaya berazam agar kejohanan ini akan dapat dijalankan setiap tahun dan ianya dimotivasikan lagi dengan hasrat YB Dr Hatta yang menyatakan hasrat menyertai kejohanan tersebut pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan