
Yang DiPertua PAS Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir dalam kenyataannya berkata; "Kita hairan bagaimana pelbagai pihak khususnya badan-badan, NGOs, persatuan-persatuan yang mewakili orang melayu rata-rata membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa membawa alasan dan dalil yang jelas kenapa mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Kenapa pemimpin-pemimpin khususnya dari UMNO begitu bersungguh-sungguh membantah perkara ini, hanya dengan alasan pihak kristian mempunyai agenda yang tersembunyi.
Kenapa mereka sangat takut aqidah orang-orang melayu tergugat padahal merekalah yang menggubal dasar pendidikan negara, berbangga dengan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan. Apakah mereka sudah lupa, bahawa merekalah yang telah mempunahranahkan tulisan jawi dari orang-orang melayu sedangkan tulisan jawilah yang banyak membantu orang-orang melayu memahami agama mereka.
Ternyata setelah 53 tahun UMNO memerintah negara, dasar pendidikan agama dikesampingkan. Mereka gagal memberi pendidikan agama yang secukupnya kepada rakyat untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah mereka. Hari ini ilmu aqidah berada di mana? Sedangkan menurut hiaraki ilmu maka ilmu tauhidlah berada di kemuncak persada berbanding ilmu-ilmu lain. Namun apa yang berlaku hari ini ialah sebaliknya ilmu-ilmu tentang keduniaan lah mengambil tempat utama dalam hearaki ilmu. Maka sekarang mereka berkokok takut aqidah umat melayu diselewengkan dari penggunaan perkataan Allah oleh pihak lain.
Kenapa kita takut sekiranya ilmu aqidah yang diajar di sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan menengah kebangsaan begitu mantap diajar kepada anak-anak kita. Masalahnya sekarang mereka yang bangkit menentang tidak pernah bangkit mempertahankan aqidah umat melayu, malah mereka sendiri tidak tahu ujung pangkal tentang aqidah. Mufti-mufti pula asyik mencampuri urusan politik kepartian dan tidak lagi menjadi seperti mufti-mufti terdahulu yang bertungkus lumus mengajar aqidah kepada umat. Malah ada mufti yang pandai mendedahkan bilangan sejumlah 250,000 umat Islam telah murtad tetapi tidak pandai memperbetulkan dasar pendidikan hari ini yang telah menjauhkan umat dari mengenali Allah yang sebenarnya, hingga ada di kalangan umat yang sanggup mempermain-mainkan hukum Allah.
Berbalik kepada isu perkataan Allah yang menjadi kontroversi hari ini, sepatutnya tidak menjadi sebarang masalah kepada kita membenarkan sesiapa sahaja menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan yang Esa yang menjadi kemuncak kepada pegangan murni umat manusia. Sesesat dan sejahat mana pun mereka naluri bertuhankan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH) wujud di dalam jiwa mereka. Bahkan di dalam al-Quran sendiri ada menjelaskan bagaimana manusia yang ditimpa musibah seperti dilambung ombak yang dahsyat, pada ketika itu tidak ada yang lain yang mereka harapkan selain pertolongan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan