Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Oleh itu kata beliau, kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama oleh seluruh rakyat
Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.
Abdullah memberitahu, istilah “Tuhan” yang digunakan dalam Rukun Negara dan bukannya kalimah “Allah” adalah kerana ia sesuai dipegang oleh semua rakyat Malaysia tanpa menentukan bahawa mereka perlu menganut sesuatu agama.
Beliau mengulas cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya
Rukun Negara yang dirangka selepas peristiwa 13 Mei 1969, dipinda untuk memasukkan perkataan “Allah” menggantikan istilah “Tuhan” ekoran polemik penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.
Dalam kenyataannya itu, Abdul Hadi berkata kerajaan seharusnya meneliti perbahasan berhubung isu “Allah” dari sudut positif dan mengambil langkah untuk melakukan pindaan bagi menggantikan perkataan “Allah” dengan “Tuhan” memandangkan penganut Kristian dan bukan Islam juga menggunakannya.
Abdullah berkata, jawatankuasa yang merangka Rukun Negara pada masa dahulu telah pun membincangkan akan perkara ini iaitu prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.
“Rukun Negara itu dijadikan sebagai rukun yang boleh dipegang bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa menentukan mereka harus menganuti sesuatu agama tertentu.
“Apa yang dikehendaki adalah supaya mereka menjadi rakyat yang mempunyai agama. Itu yang menjadi perkara utama yang ditekankan semasa perbincangan Rukun Negara itu.
“Maka dengan itu, Kepercayaan Kepada Tuhan itu boleh dipegang bersama oleh semua rakyat Malaysia sama ada mereka yang menganuti agama Islam, Hindu mahupun Buddha,” kata beliau selepas merasmikan Seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kepada rakyat, malah empat prinsip lain dalam Rukun Negara turut diterima oleh rakyat Malaysia.
“Jadi kalau prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan ini diubah, ia mungkin akan menimbulkan masalah lain pula dalam kalangan rakyat. Saya ingat tidak perlu untuk kita meminda Rukun Negara yang telah ada sekarang.
Seminar selama dua hari itu bertujuan menghargai pemikiran dan sumbangan tokoh-tokoh pemimpin masyarakat terdahulu terutama dalam membawa kegemilangan Islam di Nusantara.
Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tersebut oleh para cendekiawan dari pelbagai latar belakang dan institusi.
Dalam pada itu, Abdullah menyifatkan keputusan bekas presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding semula bagi jawatan tertinggi MCA itu dalam pemilihan parti 28 Mac ini adalah hak individu.
“Itu pilihan beliau, selagi seseorang itu masih menjadi ahli dalam parti, jika mereka hendak menawarkan diri untuk bertanding itu tidak menjadi masalah kerana mereka ada hak untuk berbuat sedemikian.
“Malah dalam perlembagaan juga tidak menghalang seseorang individu itu daripada bertanding cuma kebiasaannya sudah menjadi adat jika sudah bersara itu, bersara sahajalah.
“Tetapi bagi saya adalah lebih baik ingat siapa diri kita,” katanya.
Beliau berkata, mungkin ada sebab atau masalah tertentu dalam MCA sehingga menyebabkan bekas presiden terpaksa kembali campur tangan.
“Kita tidak tahu apa sebab itu sehingga menyebabkan bekas Presiden terpaksa berpatah balik. Tetapi ini semua bergantung kepada perwakilan untuk memilih siapa yang lebih berhak untuk menjadi pemimpin mereka.
“Kita akan lihat apa yang terjadi nanti, tunggu sahaja keputusan pemilihan parti MCA.
“Kita lihat siapa yang akan perwakilan pilih sebagai pemimpin,” katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan