
Itulah kedudukan undang-undang di dalam negara sekular ini. Manakala di dalam Islam, Asy-Syari' (Allah Subhanahu wa Ta’ala) telah menetapkan bahawa air adalah termasuk dalam hak milik awam (milkiyyah al-'ammah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Hak milik awam atau harta benda awam (public properties) adalah suatu ‘aset’ yang mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan pemilikan(ownership)nya kepada semua Muslim secara sama rata. Allah membenarkan setiap individu Muslim ‘memanfaatkannya’ (menggunakannya), tetapi setiap individu itu dilarang ‘memilikinya’. Di dalam Islam, aset (harta benda awam) ini dapat digolongkan kepada tiga kategori:-
(1) Keperluan awam (public utilities), yang mana masyarakat adalah bergantung kepadanya di dalam kehidupan;
(2) Aset atau sumber alam yang sifat (semula jadi) kejadiannya tidak membolehkan ia dimiliki oleh individu secara perseorangan (contohnya sungai, tasik, laut, terusan, jalan raya, tempat letak kereta awam, masjid, musolla, Mina, Arafah, Muzdalifah dan seumpamanya); dan
(3) Bahan galian atau mineral yang banyak atau berlebih-lebihan yang tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan yang seumpamanya)
Semua aset di atas adalah hak milik awam (milkiyyah 'ammah) yang mesti dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan tidak boleh (haram) dimiliki oleh mana-mana individu, syarikat swasta mahupun negara, apatah lagi dimiliki untuk dikaut keuntungannya (sebagaimana berlaku sekarang). Oleh sebab keterbatasan ruang dan sebagai fokus perbincangan, kami hanya akan membincangkan aset kategori pertama sahaja. Kategori pertama adalah berupa suatu keperluan/kemudahan awam yang menjadi tempat bergantung masyarakat dan jika ia tidak ada, menyebabkan orang ramai bersengketa dalam usaha untuk mendapatkannya. Air adalah termasuk dalam kategori ini. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah menjelaskan perkara ini dalam satu hadis berkenaan ‘sifat’ keperluan awam tersebut. Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda,
“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].
Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan,
“wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram").
Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda,
“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].
Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah membenarkan semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan suatu aset yang mana Allah telah menyediakannya kepada awam.
Harus dibezakan di sini satu kedudukan di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam membenarkan beberapa individu di Khaibar dan Taif memiliki telaga yang digali masing-masing untuk kegunaan mereka sendiri bagi meminum darinya, memberi minum kepada ternakan mereka dan juga mengairi tanaman mereka. Harus difahami bahawa telaga-telaga yang digali itu adalah kecil sahaja dan tidak terdapat ‘sifat’ keperluan awam padanya. Maksudnya, masyarakat Khaibar dan Taif tidak memerlukannya kerana keperluan air mereka sudah pun terpenuhi. Jadi, kedua-dua hadis tentang kedudukan hal ini tidaklah bercanggah antara satu sama lain. Kita cuma perlu memahami kedua-dua hadis dalam konteks yang benar yakni, apabila kedudukan air itu menjadi keperluan awam, maka ia adalah milkiyyah 'ammah dan dilarang dari dimiliki oleh mana-mana individu, tetapi jika kedudukan air itu tidak lagi diperlukan awam (telah ada sumber lain), maka ia boleh dimiliki oleh individu atas usahanya sendiri, seperti air perigi. Ukurannya di sini adalah, jika benda (air) itu tiada, masyarakat akan berusaha untuk mendapatkannya dan bersengketa kerananya.
Juga, dikecualikan dalam kes ini adalah sungai-sungai besar atau tasik-tasik yang luas. Di sini setiap orang boleh memasang apa jua alat di atasnya atau di tepinya di mana dengan alat ini, dia boleh mengambil air untuk kegunaan dirinya sendiri dan juga untuk memberi minum kepada orang lain dengan mengambil upah. Ini adalah kerana, dengan pengambilan air ini ia tidak menghalang siapa pun jua untuk mengambil air dari sungai atau tasik yang sama dan ia juga tidak menghalang orang lain dari memasang peralatan yang sama untuk melakukan perkara yang sama. Dengan kata lain, kewujudan dan sifat air itu sebagai hak milik umum tidak hilang. Adapun bagi sungai atau tasik yang kecil, kolam, danau atau sebagainya yang mana jika dibuat peralatan di atasnya akan menghalangi manusia lain sehingga menyebabkan hanya segelintir manusia sahaja yang dapat memanfaatkannya, maka dalam hal ini ia tidak boleh dimilik individukan; perbuatan seumpama ini adalah haram. Ini kerana ia telah menghilangkan sifat/karakteristik air di tempat tersebut sebagai hak milik umum.
Sehubungan dengan kedudukan air sebagai milkiyyah 'ammah, perlu juga difahami bahawa apa jua peralatan yang digunakan untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai, maka semua peralatan tersebut juga adalah milkiyyah 'ammah, seperti mesin pengepam atau generator yang digunakan, saluran paip, loji pembersih air berserta peralatannya, menara takungan air dan sebagainya. Semua perkara tersebut adalah secara automatiknya juga merupakan hak milik awam. Inilah kedudukan hukum berkenaan pemilikan air di dalam Islam. Berdasarkan nas, cukup jelas bahawa di sisi Islam, air merupakan hak milik umum yang tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana pihak, termasuk pihak pemerintah. Sungguh malang nasib yang menimpa umat Islam hari ini apabila pemerintah tidak merujuk kepada hukum Allah di dalam pemerintahan mereka, sebaliknya mereka berhukum dengan sebuah perlembagaan yang dicipta oleh kafir penjajah. Air bukan sahaja menjadi milik kerajaan (pemerintah), malah ‘diperniagakan’ untuk dikaut keuntungannya habis-habisan. Hasilnya, rakyat yang sepatutnya menikmati kemudahan ini dengan percuma, menjadi tertindas dan dizalimi. Hak mereka dirompak, darah dan keringat mereka disedut oleh para pemerintah. Inilah natijah dari penerapan dan perlaksanaan sistem ekonomi Kapitalisme yang mana ‘keuntungan’ menjadi piawai dan ukuran untuk para penghisap darah ini terus hidup.
Strategi Pengurusan Air Dalam Negara
Setelah mengetahui hukum pemilikan air, persoalan seterusnya adalah bagaimanakah air ini boleh diurus dalam sesebuah negara. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya berjudul Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah), terdapat tiga kaedah pengurusan hak milik umum yang boleh dijalankan oleh negara. Ini termasuklah isu pengurusan air. Oleh kerana air merupakan hak milik umum dan negara merupakan badan pentadbir (kiyan tanfizi), maka wajib bagi negara mengurus bekalan air, tanpa menghilangkan sifatnya sebagai hak milik umat. Antara kaedah pengurusan yang boleh digunakan adalah:-
(1) Negara mengusahakan sendiri pengurusan air dan membekalkannya kepada rakyat. Melalui kewangan negara, negara dapat memperoleh peralatan pemprosesan air sendiri seperti saluran paip, penapis air, menara takungan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Dan dengan alat-alat tersebut, dibentuk suatu usaha (jabatan pengendali) menjalankan proses perbekalan air sepenuhnya tanpa campur tangan dari luar. Negara boleh mengekalkan hak pemilikan ke atas alat-alat perusahaan tersebut atau memindahkan hak miliknya kepada pemilikan umum yakni di bawah akaun pemilikan umum di dalam Baitul Mal. Jika ini berlaku (pemindahan hak milik), maka kesemua peralatan tadi akan menjadi hak milik umum, namun pengendalian dan penyelenggaraannya tetap dilakukan oleh negara.
(2) Negara boleh menyewa peralatan pemprosesan air yang dinyatakan di atas dari mana-mana pihak yang memiliki harta tersebut serta mengendalikannya sendiri (oleh jabatan pengendali). Bayaran sewa (ujr) dibayar kepada pemilik peralatan tersebut melalui akaun negara di Baitul Mal atau menggunakan mana-mana masukan kewangan dalam akaun pemilikan umum kerana ia bersangkutan dengan kepentingan umum.
(3) Negara boleh menyerahkan urusan bekalan air kepada mana-mana individu atau firma (syarikat pengendali bekalan air) dengan syarat pemilikan ke atas air masih tetap milik umum, bukannya diserahkan atau dimonopoli oleh syarikat terbabit. Dengan kata lain, pihak yang telah diserahkan negara mengendali urusan bekalan air tadi hanya akan dibayar upahnya sahaja, bukan mendapat keuntungan dari pengeluaran bekalan air tadi. Kaedah ini menjadikan rakyat tidak dibebankan oleh kenaikan kos pengeluaran oleh syarikat air, kerana tugas mereka adalah untuk menguruskannya bukannya mengambil keuntungan dari penjualan barangan milik awam ini (air). Dalam suasana sekarang, sebenarnya akibat dari air yang diurus oleh pihak swastalah, harga air akan dinaikkan bila kos penyelenggaraan meningkat.
Apa pun yang negara lakukan, hukum syarak terhadap air ini adalah kekal, tidak berubah - iaitu ia adalah milik umum. Di dalam Islam, negara (pemerintah), sesuai dengan sifatnya sebagai pemelihara rakyat, hanyalah menjadi badan yang mengelola agar milkiyyah 'ammah ini sampai kepada rakyat dengan cara yang telah digariskan oleh Islam. Berbeza dengan keadaan sekarang di bawah sistem sekular di mana negara menjadi perampas hak rakyat. Walaupun pemerintah pada hakikatnya telah merompak hak rakyat, namun mereka bebas dari hukuman, kerana merekalah yang membuat peraturan yang membenarkan mereka mengaut segala kekayaan. Di dalam Islam, tidak timbul soal pembahagian kuasa yang berbelit-belit di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sehingga hak rakyat di suatu kawasan/negeri ‘ditentukan’ oleh sebuah kerajaan tersendiri, manakala hak rakyat di kawasan/negeri lain, ditentukan pula oleh kerajaan lain. Rasulullah tidak pernah menunjukkan kepada kita perkara ini. Hak rakyat di dalam Daulah Islam, di mana jua pun mereka tinggal adalah sama di sisi syarak kerana hukum Allah itu sama sahaja bagi semua kaum Muslimin, tanpa mengira kawasan. Rasulullah mengajar kepada kita bahawa pemerintahan dalam Daulah Islam adalah bersifat kesatuan, bukannya bersifat Federasi sebagaimana yang diajar oleh Lord Reid.
‘Kuasa pemilikan’ ke atas air yang ada pada kerajaan negeri sekarang adalah salah menurut syarak. Hakikatnya, dengan kuasa inilah, rakyat telah dirampas hak mereka oleh pemerintah sejak 50 tahun lepas. Pengurusan bekalan air dan mekanisme harga air diserahkan oleh pemerintah kepada syarikat persendirian (swasta) yang menjadikan harga (tarif) air yang dikenakan ke atas rakyat adalah tergantung kepada syarikat terbabit. Kerananya, jika syarikat tersebut menghendaki keuntungan yang besar, maka dinaikkan tarif air sehingga memenuhi jumlah keuntungan yang telah disasarkan. Air yang menjadi hak milik umum dijadikan satu ‘bahan’ untuk mengaut keuntungan oleh syarikat-syarikat Kapitalis dengan restu kerajaan yang memerintah. Inilah yang sebenarnya menjadi akar permasalahan – kerana penerapan sistem Kapitalis. Kapitalisme merupakan sebuah sistem kufur lagi keji yang menyajikan peluang kekayaan yang melimpah ruah kepada pemerintah dan para pemilik modal (Kapitalis) yang menjadi kroni mereka untuk menghisap darah rakyat dan menyedut segala kekayaan yang ada dalam negara. Kejahilan, keegoan dan ‘pertimbangan manfaat’ yang ada pada pemerintah menyebabkan mereka tetap kekal berhukum dengan hukum Jahiliyyah moden ini, dengan membelakangkan hukum Islam yang sempurna. Padahal, Islam telah menyajikan suatu sistem ekonomi yang cukup sempurna dan tidak mengandungi cacat cela sedikit pun, namun oleh pemerintah yang hati-hatinya tertutup, undang-undang kufur juga yang menjadi pilihan.
Justeru, sekalipun usaha membekalkan air secara percuma pada kadar 20 meter padu dilihat oleh ramai pihak sebagai usaha yang baik, namun pada hakikatnya ia masih dalam koridor sistem Kapitalis. Walaupun ada yang berhujah bahawa keadaan ini jauh ‘lebih baik’ dari keadaan sebelumnya, namun sebagai Muslim, kita wajib memahami bahawa, ukuran ‘baik dan buruk’ itu adalah di tangan Allah, bukan pada akal kita. Sesuatu itu hanya dikatakan baik apabila ia bertepatan dengan hukum Allah, dan sesuatu itu adalah buruk apabila menyalahi ketentuan Allah. Akal kita mungkin menyatakan bahawa orang yang berusaha untuk berpuasa separuh hari itu lebih baik dari orang yang langsung tidak berpuasa, namun hukum Allah menyatakan bahawa kedua-duanya adalah buruk. Hanya orang yang berpuasa penuh hingga ke maghrib, itulah yang baik. Begitu jugalah di dalam kes air percuma ini. Ia adalah baik apabila keseluruhan air itu diberikan secara percuma kepada rakyat, bukannya hanya sekadar 20 meter padu pertama. Oleh yang demikian, kita menyeru agar pemimpin-pemimpin Muslim yang ada untuk berhukum dengan hukum Allah secara sepenuhnya, tanpa sebarang sekat batasnya. Hukum Allah adalah hukum yang terbaik untuk kita dan ia adalah hukum yang terbaik untuk seluruh manusia. Dan demi sesungguhnya, hukum Allahlah satu-satunya hukum yang wajib bagi kita.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Wahai pemimpin kaum Muslimin! Masalah politik air yang melanda ini hanyalah simptom dari kerosakan sistem ekonomi yang mencengkam hidup kita semua. Selama mana kalian tidak kembali kepada hukum Allah secara kaffah, maka selama itulah kalian sebenarnya masih terperangkap dengan jerat kufur Barat. Kalian sebenarnya masih terperangkap dan terbelenggu dengan Ideologi Kapitalisme yang penuh dengan penindasan dan kekejaman. Ideologi ini sesungguhnya adalah sebuah ideologi kufur yang sedang menuju kehancuran, namun kalian masih berpaut padanya. Sepatutnya kalian menyedari hakikat ini dan melepaskan ikatan kalian darinya. Kalian sepatutnya berpegang kepada ideologi Islam. Kalian sepatutnya sedar bahawa kalian tidak hidup di bawah naungan syari’ah. Inilah yang menjadi punca kepada segala malapetaka yang ada. Allah Azza wa Jalla telah memberikan kepada sebahagian dari kalian akan kekuasaan, maka apakah kalian melupakan Allah sesudah itu? Apakah dengan kekuasaan yang ada, kalian masih ingin memberi alasan kerana tidak menerapkan hukumNya? Apa jua alasan yang kalian berikan untuk tidak menerapkan hukum Allah, kalian sesungguhnya telah menambahkan kegembiraan kepada orang-orang kafir dan kalian juga sesungguhnya telah memperpanjangkan umur kebatilan. Fikirkanlah sama ada alasan yang kalian berikan di dunia pada hari ini dapat menyelamatkan kalian dari azab Allah di akhirat kelak? Kenapa kebatilan yang kalian kekalkan, walhal kuasa ada di tangan kalian untuk merubahnya? ALLAHU AKBAR!
3 ulasan:
hang pa ni jenis pandai cakap aje... bila kena tak hang pa semua firman, hadis hang pa pakai asalkan hang pa nampak betul...
setuju air milik awam namun pengurusan untuk air berkualiti perlukan perbelanjaan. Rakyat sedar peranan kerajaan asalkan harga yang dikenakan berpatutan. Pemberian subsidi air oleh kerajaan selangor PR sangat tidak ikhlas bila kualitinya tidak dijaga seperti sebelumnya.
yaka? sblom ni kualiti tang mana ayaq selangor? sya da bezaman dok sini.. baju putih kalau basuh x kuning saja... nak basuh mknan x sggup.. kalau x pakai air tapis... ikhlas tu mcm mana ye? kena bagi plak penapis ayaq sorg 1 ke x pyah bayar trus?
Catat Ulasan