“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian
Sempena menyambut Hari Pekerja 2011 ini, saya memperingatkan diri saya dan saudara-saudara sekelian bahawa temujanji kita untuk meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya menuju kepada kehidupan yang kekal adalah semakin hari semakin hampir. Entah esok, entah lusa kita akan kembali menemuiNya.
Seringkali kita diperingat agar jangan jemu bertanya sendiri kepada diri kita, adakah kita bersungguh-sungguh bersedia menghadapi temujanji itu apabila sampai masanya. Nasib kita ketika itu tidak lagi ditentukan dengan berapa banyak harta yang kita miliki kerana Malaikat tidak menerima apa-apa sogokan untuk melepaskan kita , tidak lagi ditentukan dengan berapa tinggi kedudukan pangkat kita kerana Malaikat tidak mampu ditakut-takutkan dengan pangkat dan kekuasaan kita , tidak lagi ditentukan dengan berapa ramai pengikut kita yang akan mengundi kita sebagai orang yang tidak bersalah. Sebaliknya kita akan dinilai berdasarkan prestasi kita menunaikan tugas-tugas kehambaan kita kepada Allah dan tugas-tugas menjadi pentadbir kepada kehidupan ini.
"Dan Dia lah Yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya Yang lain beberapa darjat, kerana ia hendak menguji kamu pada apa Yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan Sesungguhnya ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS Al-An’am 165)
Saudara-saudara sekelian,
Oleh sebab itu, melakukan ketaatan kepada Allah tidak ada had umur pencennya, melakukan usaha mengembalikan hak-hak Allah dalam mentadbir urus kehidupan ini yang sebahagian hak-hak itu ditelah dirampas mahupun tidak dipedulikan oleh sebahagian manusia-manusia yang bongkak mesti diteruskan tanpa had umur. Allah Maha Kaya, khazanah kekayaannya tidak pernah kering untuk membayar imbuhan ‘gaji’ kepada pekerja-pekerja yang menolong agamanya bahkan tidak putus-putus memberikan ‘bonus’ kepada pekerja-pekerja yang membela agama dalam diri dan masyarakat.Lebih hebat daripada itu Allah SWT menawarkan ganjaran kerja itu tetap berterusan walaupun pekerjanya sudah mati! Firman Allah SWT:
Bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun Yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan Dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang Yang munafik itu tidak memahami (hakikat Yang sebenarnya).(QS al-Munafiquun: 7)
Saudara-saudara sekelian,
Apa pun profesion rasmi anda samada pegawai tinggi kerajaan, doctor, guru, ustaz, ahli politik, ahli sukan, pereka fesyen, pengamal media, pesara, pekerja bank, ahli perniagaan, hatta menteri dan raja pun , hakikatnya adalah majikan kita yang sebenar adalah ALLAH SWT. Bahkan orang yang tidak mempunyai pekerjaan pun dituntut bekerja untuk Allah! Setiap kita dituntut untuk bekerja membela agama Allah, menegakkan Islam dalam diri kita keluarga kita, masyarakat kita , negeri kita, Negara kita dan seterusnya seluruh alam. Firman Allah:
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"(QS Fussilat :33)
Maka KPI (Key Performance Indicator) kita ialah sejauh mana kita dapat membantu untuk mendaulatkan Islam di atas mukabumi ini dan sejauh mana Islam menguasai diri kita sehingga diri kita adalah “terjemahan atau biasan ” Islam itu sendiri.
Saudara sekelian,
Amatlah rugi sekiranya kita gagal memahami konsep bekerja bermajikankan Allah ini. Apabila kita gagal memahami kita ini bekerja untuk apa, maka banyak hak-hak Allah kita langgar walaupun kita rasa kita tindakan kita betul. Sebagai contoh:
´ Apabila pengamal media kabur tentang konsep kerja untuk Allah maka dia akan kehilangan etika, sanggup memanipulasi berita, sanggup mempromosi berita-berita jijik bahkan menayangkan kepada umum, mempormosikan kejijikan kepada masyarakat sedangkan Allah berfirmn
"Sesungguhnya orang-orang yang suka mempromosi perkara-perkara yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)".(QS al-Nur 19)
´ Apabila ahli-ahli politik gagal memahami konsep kerja untuk Allah , maka demi mengekal atau merebut kuasa segala jalan dirempuh walaupun rempuhan itu terkena kepada batas-batas (hudud) yang telah ditentukan oleh Allah dan adab menjaga hubungan esame saudara seislam. Tuduh menuduh, fitnah menfitnah, memutuskan tali silaturahim walaupun kepada saudara seagamanya sendiri. Semuanya ini adalah perkara yang diharamkan oleh Allah!
´ Apabila ahli-ahli ilmu tidak faham memahami konsep kerja untuk Allah maka ilmunya itu tidak mendekatkan dirinya mahupun orang yang mempelajri ilmu daripadanya kepada Allah.
´ Tidak ramai di kalangan ahli-ahli sukan mahupun budayawan yang sedar bahawa profesionnya juga menuntut mereka bekerja untuk Allah. Kesedaran mereka konsep bekerja ini akan menyelamat umat Islam dari hilang hala tujuan ketika bersukan atau berbudaya. Demi nak sihat yang halal dan haram dirempuh. Demi nak mengekalkan nilai seni dalam hidup, halalharam tidak diambil kira sedangkan tubuh yang sihat penting untuk beribadat secara sempurna kepada Allah. Jiwa yang halus penting untuk mengenal kelemahan diri dan perkasanya Allah.
Semoga perutusan ringkas ini memberikan sedikit anjakan terhadap pemahaman kita mengenai konsep bekerja untuk Allah.Firman Allah:
dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah atau bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.(QS al Nur 105)
“SELAMAT BEKERJA UNTUK ALLAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan