SELAMAT DATANG

Ahad, 30 Ogos 2009

1Malaysia: Mana destinasinya? Bukan Melayu lega, Melayu cemas

Ramadhan bukan bulan konsumerisme juga bukan bulan kenduri. Rasulullah bersabda: "... dia bukan seorang Muslim yang baik, kalau dia kenyang tetapi membenarkan jirannya lapar." Puasa adalah masa kita seharusnya detoxified – bersihkan – jasmani dan memurnikan rohani dan jiwa. Politik adalah rebutan kuasa untuk berkhidmat, berbakti dan berjasa bukan membolot kekayaan apa cara pun. Sama ada perjumpaan sulit Perdana Menteri dengan Ketua Pembangkang benar atau sebaliknya tidak penting. Yang mustahaknya negara dan bangsa terus aman, rakyat makmur , dihormati jiran, kawan dan lawan.

Seronok kembali dari luar negara berpuasa dan berterawih di kampung sendiri. Sehari sebelum puasa, saya berceramah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya bertajuk ‘Hari Awal Pentadbiran Najib Razak’. Pada saya kesimpulannya, berdasarkan soal jawab dan setelah berinteraksi dengan para hadirin selepas syarahan saya, majoriti takut tentang masa depan orang Melayu; lebih kurang seperti yang disuarakan oleh Sanusi Junid di Mingguan Malaysia 23 Ogos berjudul ‘Perjuangan UMNO Sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis’ dan Rejal Arbee dalam Berita Harian 20 Ogos, “Qua Vadis Melayu di era keterbukaan?” Sungguh terbuka dua akhbar dipunyai UMNO ini, agak memeranjatkan saya.

Sepanjang berhibernat (hibernation) di London dan sekitar selama 32 hari, saya gembira kerana membaca akhbar dan dengar TV saban hari ada diskusi tentang kelemahan kepimpinan Gordon Brown dan keyakinan mereka David Cameron akan mengambil alih jawatan perdana menteri Britain pada musim bunga tahun hadapan. Pulang ke tanah air, baca akhbar, dengar TV tiada cacat cela di negara yang tercinta ini. Itulah beza antara dua tahap keterbukaan. Kononnya BN akan menang di Permatang Pasir. Apa ilmu hisab mereka pakai, saya pun kurang faham. Semenjak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih beban, dia telah kalah dua pilihan raya kecil – di Manek Urai dan Permatang Pasir. Semenjak 8 Mac 2008, BN telah kalah enam dari tujuh pilihan raya kecil kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenapa Kuala Terengganu pun kalah? Yang lain kita faham kalaupun kalah. Postmortem demi postmortem dilakukan tetapi nampaknya pi mai pi mai tang tu juga. Kesalahan sama terus berlaku.

Disiarkan sepenuhnya ucapan saya di UM petang Jumaat 21 Ogos hari menyambut puasa. Baca dan renung yang tersurat dan tersirat. Yang implied atau secara tidak langsung atau tersembunyi:

“Saya baru pulang dari berhibernasi (rehat sementara) di England. Gembira pulang ke tanah air, lebih meriah puasa di kampong sendiri daripada negara asing. Di sana media kecam kerajaan tanpa takut dan segan saban hari. Di sini buka akhbar dan dengar TV semuanya beres sepanjang masa. Itulah beza antara dua tamadun, dua kebudayaan dan dua pendidikan dan pemikiran.

Pentadbiran Najib Razak baru berusia lebih kurang empat bulan, lazimnya masa berbulan madu satu bulan atau selama tiga bulan sahaja. Satu Malaysia (1Malaysia) adalah satu ungkapan senang, satu penunjuk yang menarik to draw attention. Tegas Najib: “I will reform and make changes”. Terjemahan dan tangkapan saya, “aku bukan Badawi, aku bukan Dr Mahathir dan aku juga bukan seperti ayah.”

Persoalannya: Siapa Najib sebenarnya? Sama-sama kita lihat.

Dia menghadapi empat cita-cita politik yang berjuang dalam satu barisan atau Pakatan ke arah matlamat yang berasingan: Pertama dan dominan sekarang, satu kejayaan ketara adalah pihak yang ingin mewujudkan Malaysian Malaysia. Puak ini adalah pembangkang dan beberapa parti komponen BN sendiri dan juga oleh Melayu sekular.

Kedua, penubuhan sebuah negara teokratik. Oleh sebab realpolitik, realisme baru (new realism) dan strategi baru cogan katanya kini menarik, lembut dan meyakini – Islam Untuk Semua. Golongan ini pada satu sudut kian merebak, kian diterima. Dalam mencapai objektif politik – taklik, taktik, muslihat, apa cara pun halal asal bermanfaat dan berjaya akhirnya.

Ketiga yang mahu status quo diteruskan dan diperkukuhkan, yakni kontrak sosial dan perlembagaan. Kumpulan ini kini dalam keadaan ‘defensive’. Kalau tidak berwaspada dan licik, culas kata orang Kok Lanas, canggih dan savvy kata orang Bangsar, apa yang dijunjung jatuh, yang dikelek tercicir dan apa yang dikejar terlepas. Keempat, mereka yang ‘opportunist’ akan mengambil kesempatan ‘while the sun still shines’.

Reaksi dan sokongan rakyat berbeza, bergantung dengan siapa anda bercakap, berbincang dan berbicara. Majoriti bukan Bumiputera dan sekelompok Bumiputera sekular hendak Malaysian Malaysia; dalam golongan yang sama ada kalangan yang menyokong negara teokratik asal tidak dan jangan BN yang diterajui oleh UMNO terus memerintah.

Bagi Bumiputera pula lebih sedikit separuh berazam dan akan mempertahankan status quo. Tetapi barisan ini sekarang kian ramai yang gelisah, sudah mula marah kepada kerajaan dan kepimpinan yang dilihat sebagai banyak bertolak ansur dan berkompromi. Sesetengahnya jujur, ramai pula kerana belum dapat kontrak, jawatan dan pangkat atau apa yang diberi buka seperti dihajati atau sepadan. Mereka ini majoritinya ‘making hay while the sun still shines’.

Pendapat umum terhadap Najib tanpa mengira suku bangsa berbelah bagi: ada gembira (exhilaration); marah (angry) dan ketakutan, amat takut ‘atau dread’ apa yang akan berlaku pada masa depan Melayu. Bukan Melayu mahu apa yang dilihatnya iaitu “Malay Malaysia” ditukar; ‘transform’ menjadi Malaysia yang mengamalkan meritokrasi sepenuhnya; Melayu/bumiputera pula takut status quo terkubur. Maka sebab ini ada usaha (gagal buat atau sengaja dilakukan demikian sementara waktu) agar ada perikatan, pakatan atau kombinasi pasukan antara penyokong status quo dengan mereka yang hasratnya sebuah negara Islam sebenar atau tulen.

Apa pun, kemungkinan besar sebuah negara mirip teokrasi nasionalis wujud sekitar 2035 – 2040 kerana waktu itu penduduk Islam akan meningkat kepada antara 71-75 peratus penduduk Malaysia. Malaysia akan menjelma sebagai Singapura ‘in reverse’ – dari segi komposisi penduduk, kaum atau bangsa. Implikasi politik, ekonomi, sosial akan ternampak sebelum 2020.

Najib, Muhyiddin Yassin, UMNO dan kerajaan harus memperjelaskan sejelas-jelasnya apa sebenarnya 1Malaysia yang disifatkan ramai manusia slogan yang sedap didengar, agak ‘glib’, agak licik itu? Satu Malaysia penuh kontradiksi; bercanggah. Muhyiddin menegaskan dia akan berkompromi, bertolak-ansur dengan pelbagai perkara tetapi tidak akan melakukan demikian dalam mempertahankan hak orang Melayu? ‘Really, come on, don’t treat us as imbecile/obtuse’ atau sebagai goblok dan pandir!

Najib dan kerajaan harus berterus-terang apa yang boleh dirunding dan apa yang tidak boleh berpadu-padan? Ramai pemerhati telah memberi interim ‘report card’ bahawa Najib berdasarkan empat bulan dia lebih dekat dengan pendekatan Tunku Abdul Rahman.

Kesimpulannya berasaskan beberapa pendapat adalah Najib sedang cuba memberi satu New Deal dan New Frontiers kepada semua rakyat, satu hal yang wajar. Tetapi bolehkah dia bertahan? Kuatkah iltizam atau azamnya untuk mencapai isi perut hatinya sebenar atau semata-mata permainan catur politik?

Apa pun satu hal yang rakyat tidak mahu dan akan menolak dan mengguling dalam pilihan raya akan datang, kecualilah ekonomi mula subur kemakmuran melimpah, ialah seorang pemimpin yang tinggal dalam ‘Fool’s paradise’ atau yang ‘delusional’. Saya harap dan saya berdoa anak sulung Tun Razak ini tidak demikian.”

UMNO harus berubah secara radikal ke arah satu masyarakat yang benar-benar ‘equitable’, saksama, adil dan amanah. Jika tidak parti pemerintah agak sukar untuk bertahan. Janganlah berharap sangat untuk menang atas kelemahan pembangkang. Sebalik dan sebaiknya UMNO mesti memperbaiki kelemahannya yang banyak, terang dan nyata itu.

Najib harus dapat melakukan kerana dia tidak seperti orang lain - “Most people grow up and go into politics. Najib goes into politics and then grows up.” Politik adalah seperti sungai. Kalau air di ulu keruh, begitu jugalah air di hilir keruh hingga ke muaranya.

sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails