
"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan," titah baginda.
Patik pacal yang hina dina ini sangat setuju benar dengan apa yang Tuanku titahkan itu. Budaya politik kita bukan saja anti-ilmuan tapi anti ilmu dan anti maklumat. Bukan sedikit ilmuan dan pemikir-pemikir kita yang terpaksa meringkuk dipenjara sebelum ini. Ada pula yang terpaksa bertapa di Kamunting kerana cuba menyebarkan idea yang tidak selaras dengan dasar konservatif pemerintah dan oleh itu perlu diasingkan dari masyarakat kerana didakwa 'membahayakan keselamatan negara'.
Kerana dasar negara yang anti-ilmuan, anti-ilmu dan anti-maklumat itulah juga hanya media yang selari dengan dasar konservatif kerajaan saja yang dibenarkan terbit di negara ini. Pas pernah memohon penerbitan akhbar hariannya sendiri - Purnama - kira-kira empat tahun lalu, tapi apa yang terjadi dengan permohonan itu hingga kini tiada siapa tahu. TV pula hanya membawa berita satu pihak sahaja, tidak ubah seperti media negara-negara Eropah Timur dan China di era kediktatoran komunis dahulu.
Walaupun ilmuan boleh berkarya dalam internet di negara ini, tapi sedikit kesilapan (baca: kelantangan) boleh menyebabkan mereka ditahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 malah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Lagi pun dengan kelembapan capaian internet dan jumlah pengguna internet yang begitu kecil, rakyat terpaksa bergantung dengan berita dari media pemerintah yang berat sebelah itu. Apa yang Tuanku katakan bahawa 'kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka tercabar' memang tepat dan benar. Ia telah berlaku dan masih berlaku, walaupun ada pemimpin yang cuba berlagak mesra rakyat di bawah slogan 1Malaysia.
Sejak dulu dasar pemerintah tidak pernah mesra ilmuan, kecuali para ilmuan jadi-jadian yang sentiasa ingin menjilat kerajaan. Contohnya jka pemerintah kita mesra ilmuan, mereka akan dengar nasihat ilmuan yang menentang pelaksanaan PPSMI. Tetapi kerana ilmuan dimusuhi seperti yang Tuanku titahkan, dasar yang merugikan negara itu dilaksanakan pada tahun 1993, walaupun kebanyakan ilmuan menentang pelaksanaannya. Selepas enam tahun berlalu baru pemerintah sedar kesilapannya tidak mendengar suara ilmuan, tapi ribuan pelajar sudah dimusnahkan masa depan mereka dan RM12 bilion wang rakyat hangus untuk melaksanakan sebuiah kerja gila yang direncanakan secara sangat tergopoh-gapah.
Alangkah baiknya Tuanku jika titah Tuanku ini difahami oleh pemerintah yang kononnya mendahulukan rakyat, tapi tidak pernah bersimpati dengan suara rakyat itu. Dan tentunya Tuanku, jika pihak Istana sendiri rajin-rajin menegur pemerintah, tidak kira pemerintah di peringkat pusat atau di peringkat negeri, tidaklah berlaku banyak onar dalam politik tanah air termasuk mengganggu pemerintahan yang dipilih rakyat majoriti dan menukar ganti kerajaan yang sah dengan kerajaan lain sesuka hati mereka yang berkuasa di peringkat Pusat.
Daulat Tuanku!
http://pendikargunung.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan