K'tangan k'jaan perlu sokong GST jika mahu gaji lebih baik
Gaji penjawat awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Beliau berkata selagi produktiviti meningkat, gaji mereka akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.
"Gaji mereka akan diselaraskan mengikut perkembangan. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat," kata beliau dalam program "Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri” yang disiarkan Bernama TV.
Najib, yang juga menteri kewangan, turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan.
"Itulah sebabnya GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?," katanya. - malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan