SELAMAT DATANG

Selasa, 4 Mei 2010

Apa yang Tak Kenanya dengan Soalan YB Kubang Rotan : Antara Legislatif & Pegangan Politik


PERANAN LEGISLATIF DALAM MEMPERKUKUHKAN INSTITUSI BERAJA DI NEGARA KITA

Peguam menulis : Mohd Fikri Abd Rahman

Negara kita sejak pra merdeka dan pasca kemerdekaan telah mewarisi suatu sistem yang diperkenalkan oleh kolonial British telah mewujudkan suatu konsep pemerintahan yang dikenali 'separation of power' (pengasingan kuasa).

Sistem ini terdiri daripada entiti-entiti yang seperti judiciary (kehakiman), executive (jamaah menteri) dan legislative (pembuat undang-undang – ADR / ADUN).

Ketiga-tiga entiti ini bergerak seiringan dalam memperkukuhkan kedaulatan dan kestabilan politik negara ini dan menjadi tunggak dan simbol kepada pemerintahan YDP Agong di peringkat Malaysia dan DYMM Tuanku Sultan di peringkat negeri.

Kita memahami bahawa sistem pemerintahan negara ini menekankan konsep raja berpelembagaan di mana institusi beraja dipertahankan dan YDP Agong / DYMM Tuanku sebagai symbol pemerintahan dan baginda tidak bertindak secara 'per se' (bersendirian) tetapi melalui nasihat dan pandangan PM / MB. Perkara ini dijelaskan dalam Fasal 40 Perlembagaan Persekutuan:

“In the exercise of his functions under the constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agung shall act in accordance with the advice of the cabinet”

Jadual Kelapan (Artikel 71) Perlembagaan Persekutuan:
“In the exercise of his functions under the constitution of this state or any law the Ruler shall act in accordance with the advice of the Executive Council”

Berdasarkan kepada kedua-dua Fasal di atas, jelas perlembagaan memperuntukkan keperluan YDP Agong / DYMM Tuanku bertindak atas nasihat Kabinet di peringkat persekutuan dan majlis mesyuarat kerajaan negeri di peringkat negeri.
Sekarang kita perlu mengetahui apakah fungsi legislative dan peranannya dalam memperkukuhkan institusi beraja.

Sebelum kita pergi dengan lebih jauh, kita perlu memahami dengan jelas siapakah legislative. Legislative atau bahasa mudahnya ADR / ADUN merupakan mereka yang dipilih secara melalui proses demokrasi pilihanraya di dalam tempoh 5 tahun sekali menurut perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal 44, Fasal 45, Fasal 46, 47 dan 48 Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan ADR /ADUN ini cukup istimewa dan dijamin oleh perlembagaan kerana mereka ini dipilih secara sah oleh rakyat di parlimen / DUN untuk membincang, memperkenal, membentang rang Undang-undang atau enakmen untuk diluluskan dan diwartakan sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan dalam Fasal 63 dan Fasal 71 Perlembagaan Persekutuan atau kita sebut sebagai ‘parliamentary privileges’ dan ‘legislative assembly privileges’

Maka seharusnya kedudukan yang istimewa yang telah dijamin oleh perlembagaan ini hendaklah digunakan oleh semua YB untuk kepentingan rakyat dan negara dan bukannya digunakan untuk agenda politik picisan pihak-pihak tertentu.

Bagaimanakah peranan ADR / ADUN untuk memperkukuh institusi beraja.

Kita melihat bahawa DYMM Tuanku Sultan adalah simbol dan tonggak kepada pemerintahan di sesebuah Negara / negeri yang berdaulat. Ini dijelaskan dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri tentang peranan Tuanku sebagai payung pemerintahan negeri, ketua urusan agama dan adat-istiadat melayu dan menjaga kepentingan serta hak-hak melayu dan bumiputera.

Fasal 9 Jadual II (artikel 95B (1) (a)) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bidang kuasa yang diperuntukkan perlembagaan kepada negeri-negeri dalam perkara-perkara yang berkaitan bidangkuasa negeri antaranya:
i. Hal Ehwal Agama Islam.
ii. Adat Istiadat Melayu
iii. Zakat, Fitrah dan Baitul Mal.
iv. Pentadbiran masjid, surau dan tempat-tempat ibadah.
v. Mengawal aktiviti penyebaran agama lain.
vi. Pentadbiran Mahkamah Syariah.
vii. Tanah
viii. Tanah Simpanan Melayu.
ix. Permit dan lesen melombong
x. Pengambilan tanah.
xi. Pindahmilik, gadaian, pajakan dan yang berkaitan dengan tanah,
xii. Hutan dan sumber hasilnya.
xiii. Pentadbiran majlis kerajaan tempatan.
xiv. Air dan jalan negeri.
xv. Perkhidmatan awam negeri dan lain-lain yang tidak dinyatakan secara khusus di sini.

Isu di hadapan kita ialah adakah bertanya tentang peranan institusi beraja dalam hal ehwal agama sesebuah negeri dibenarkan oleh perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri itu sendiri.

Perlu dijelaskan di sini bertanya dan mempertikaikan adalah sesuatu yang sangat berbeza. Bertanya ertinya kita ingin mengetahui dan mendapat jawapan, tetapi pertikai ertinya kita tahu tetapi kita tak mahu menerimanya meskipun kita tahu akan jawapannya.

Dari segi perundangan, pertanyaan ADR / ADUN di dewan adalah suatu bentuk privileges yang diperuntukkan perlembagaan itu sendiri bagi mendapatkan jawapan dan kepastian, bukannya bertujuan untuk mempertikaikan.

Perbezaan ini jelas tidak dapat difahami oleh sesetengah pihak yang meletakkan politik murahan sebagai agenda, pertanyaan itu seiring untuk mendapatkan ilmu dan pemahaman, pertikaian itu ertinya cuba untuk menafikan kebenaran dan keesahan sesuatu perkara yang telah diputuskan kerana tidak mahu berpegang kepadanya.

Sistem perundangan kita telah menggariskan beberapa pendekatan di dewan bahawa pertanyaan tentang peranan instistusi beraja dengan tujuan untuk merperkukuhkan sistem tersebut adalah sesuatu yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Kita mungkin terlepas pandang atau cuba menutup sebelah mata sebelum ini ada pihak secara terang-terang cuba mempertikaikan kuasa dan peranan DYMM Raja-Raja Melayu hatta sehingga ke peringkat menggubal Akta untuk menghakis imuniti raja-raja melayu dan kesannya raja-raja sekarang boleh didakwa di mahkamah oleh sesiapa sahaja di mahkamah yang dikenali sebagai "Mahkamah Khas" dan yang terakhir sekali kes Almarhum DYMM Tuanku Jaafar, YDP Besar Negeri Sembilan beberapa tahun dahulu sebelum kemangkatan baginda.

Tuan / Puan boleh merujuk perkara ini pada Fasal 182 Perlembagaan Persekutuan tentang kewujudan mahkamah khas tersebut.

Ini semua kerja siapa yang cuba mengheret raja-raja Melayu boleh didakwa di mahkamah sama ada dalam kes sivil atau jenayah? Kolonial British dahulu pun tidak sama sekali berani untuk menyentuh tentang keistimewaan dan institusi raja-raja Melayu.

Lupakan kita, dulu ada pihak yang cuba menabalkan seorang raja yang baru di Kelantan, ada pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur hasutan di kain-kain rentang di Terengganu terhadap Tuanku Sultan, dan terbaru ada pihak cuba menghasut dan mempertikaikan arahan agensi agama yang bernaung di bawah Tuanku Sultan mengenai pentadbiran imam dan pegawai masjid di negeri Kedah dengan mempertikaikan kewajarannya dan lebih lagi menuduh arahan tersebut atas dasar politik kepartian.

Suka saya membawa kepada apa yang berlaku di hadapan kita, melihat kepada beberapa tindakan dan agenda pihak tertentu untuk mempertikaikan peranan dan kuasa Tuanku Sultan, adakah menjadi kesalahan kepada seorang ADUN untuk mengajukan pertanyaan tentang senario ini bagi menjelaskan kepada pihak yang tidak mahu memahami ini bahawa kerajaan negeri sekarang sangat telus dan tranparent dalam pemerintahan dan pentadbirannya serta menerangkan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri menjunjung tinggi peranan dan kuasa Tuanku Sultan dalam pentadbiran hal ehwal agama negeri.

Justeru, bagi orang-orang yang berfikir sudah tentu isu ini dapat difahami dengan hati dan jiwa yang waras dan mengetahui bahawa pihak yang cuba memutar belitkan isu ini adalah mereka yang dangkal tentang hakikat dan kebenaran, malah memperlihatkan sifat mereka sebagai ahli politik yang tidak matang, tidak membuat homework secukupnya sebelum bercakap, bercakap seolah-olah ahli politik kedai kopi, seharusnya isu besar seperti pembangunan dan kestabilan politik Kedah dan survivalnya lebih diutamakan dari memberi kredit kepada isu picisan sebegini.

(Rujuk soalan YB Kubang Rotan) dan kita yang waras pun dapat faham itu soalan bukan pertikaian, kalau kita bertanya budak sekolah PASTI pun boleh jawab tu soalan bukan pertikaian.

Tapi bagi sesetengah ahli politik sebegini mereka melihat sebagai tafsiran yang sebaliknya, menjadikan mereka mudah melatah dan menjadi tidak keruan macam kera kena belacan pada hal isu tak ke mana, gunung keriang yang depa nak kerekah.

Kita melihat isu ini dari segi perundangan jelas tidak ada yang salah selagimana ianya tidak membawa kepada pertikaian tentang peranan dan kuasa Tuanku Sultan dalam pentadbiran hal ehwal agama negeri.
Privileges yang diperuntukkan perlembagaan itu sendiri memberi ruang kepada ADR / ADUN untuk bertanya bagi memperkukuhkan institusi beraja itu sendiri dengan syarat pertanyaan itu bukannya bersifat ke peringkat untuk melucut atau mengganggu gugat peranan dan kuasa Tuanku Sultan.

Saya juga melihat soalan ini wajar diutarakan di dewan atas hujah bahawa kebelakangan ini wujud pihak-pihak yang cuba mempertikaikan kuasa dan peranan Tuanku Sultan dengan menggunakan agenda politik mereka, sebab itu Dato' Speaker telah pun menjelaskan bahawa tiada apa-apa kesalahan pada soalan tersebut kerana ianya tidak bertentangan dengan peraturan-peraturan mesyuarat dan undang-undang tubuh negeri malah perlembagaan itu sendiri.

Yang salahnya ialah apabila orang yang melihat secara politik sempit cuba mengapi-apikan tetapi isu ini tetapi tidak akan ke mana-mana selagi mana kita faham dan memahami semangat dan prinsip perlembagaan itu sendiri.

Saya nasihatkan kepada ahli politik yang berfikiran sedemikian, rujuk kepada pakar perundangan atau pengamal undang-undang tentang keesahan soalan-soalan dan sejauh mana ia memberi kesan kepada undang-undang tubuh negeri dan Tuanku Sultan bukannya bercakap sembarangan, takut-takut nanti orang kata meludah ke langit kemudian jatuh ke muka sendiri.

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails