SELAMAT DATANG

Khamis, 29 Oktober 2009

Park & Ride elak jalan sesak.

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

Tambah petak letak kenderaan bukan penyelesaian jangka panjang: PPj

PUTRAJAYA: Jumlah kenderaan di jalan raya di bandar raya ini yang sudah melebihi kapasiti ditetapkan menjadi faktor utama kemudahan Park & Ride disediakan, selain langkah mengehadkan bilangan tempat meletak kenderaan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Timbalan Pengarah Perhubungan Awam PPj, Zaharah Salamat, berkata ia kerana berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Pusat ini akan dibangunkan sebagai bandar bebas kesesakan jalan raya.

Justeru, katanya, langkah menambah bilangan tempat meletak kenderaan di lot tanah kosong di sekitar Presint 1, tidak akan mengatasi masalah kekurangan kawasan meletak kenderaan, sebaliknya mengundang lebih banyak kenderaan memasuki bandar raya ini.

"Penambahan kawasan meletak kenderaan bukanlah satu penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Putrajaya.

"Tindakan ini akan mengundang lebih banyak kenderaan masuk ke Putrajaya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau berkata, kaedah terbaik ialah menyediakan kemudahan Park & Ride dan perkhidmatan bas Nadi Putra bagi mengatasi masalah kekurangan kawasan meletak kenderaan di Putrajaya.

"Strategi ini sudah terbukti di negara maju yang mengamalkan sistem pengangkutan awam yang mapan.

"Namun, pendekatan ini hanya akan berjaya sekiranya orang awam dan kakitangan kerajaan sedia memberikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas surat pembaca yang disiarkan dalam akhbar ini pada 20 Oktober lalu berhubung ketidakpuasan hati penulis yang menggelarkan dirinya `ibu anak kecil' dari Puchong, Selangor mengenai sistem Park & Ride dan kawasan meletak kenderaan bermeter yang dilaksanakan oleh PPj.

Dalam surat itu, penulis mahu ruang tanah yang luas di sekitar kompleks A hingga E dan Presint 1 dijadikan tempat meletak kenderaan dan bukannya dihiasi landskap seperti sedia ada.

Tindakan melaksanakan kawasan meletak kenderaan bermeter dan kompaun oleh Bahagian Penguat kuasa PPj dan polis dianggap membebankan kakitangan awam yang sudah sedia dibebani dengan kesesakan ketika hendak ke pejabat.

Bagaimanapun, Zaharah berkata, PPj mengalu-alukan sebarang aduan dan cadangan penambahbaikan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan kempen Park & Ride dan kawasan meletak kenderaan bermeter.

Katanya, orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi talian aduan PPj iaitu 03-88873000.

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails