SELAMAT DATANG

Khamis, 29 Oktober 2009

Tiada lagi Tempat Letak Kereta Percuma Di Putrajaya

ISU kekurangan tempat letak kereta di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya bukan perkara baru.

Penulis sendiri sudah jemu dan jelak apabila diutarakan permasalahan itu sama ada daripada kalangan rakan petugas media mahupun orang ramai yang berurusan dengan pelbagai kementerian yang ada di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Rasanya pelawat berhak untuk meletakkan kenderaan mereka di kompleks kerajaan pada setiap kali menjalankan urusan di situ. Tetapi malangnya kerap kali pengawal keselamatan yang bertugas memberi alasan tempat letak kereta sudah penuh.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa memang ada tempat letak kereta pelawat, malangnya dipenuhi dengan kereta staf dan kakitangan kerajaan yang lebih "rela" membawa kereta sendiri daripada meletakkan kenderaan di tempat lain seperti Park & Ride dan menaiki bas untuk ke tempat kerja.

Apa saja alasan diberikan seperti tidak selesa dengan bau peluh apabila menaiki bas, alasan memakai kasut tumit tinggi, mekap dan takut gincu cair, ini semua tidak boleh dijadikan alasan.

Secara logiknya, pernahkah warga kerajaan mempunyai rasa kesian kepada warga tua, wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU) yang sekadar mahu berurusan untuk tempoh waktu yang singkat tetapi terpaksa berjalan kaki di tengah panas dan paling menyakitkan hati apabila kembali ke kereta masing-masing yang diletakkan di tepi jalan mendapati saman polis terselit di cermin depan.

Cubalah fikirkan sejenak dan buka minda seluas-luasnya, kalau warga emas, wanita mengandung dan OKU yang terpaksa berjalan atau berkerusi roda hampir setengah atau satu kilometer semata-mata untuk berurusan dengan kementerian seperti di Kompleks E dan D. Di manakah sikap prihatin kita kepada golongan tua dan OKU yang selama ini dilaung-laungkan.

Siapa harus dipersalahkan? Penulis tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa. Sepatutnya kakitangan awam yang sering keluar masuk untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah patut guna kemudahan Park & Ride, bukannya meminta pelawat supaya letak kereta di tempat yang jauh dan menaiki bas.

Malah, kakitangan kerajaan juga perlu dikenakan bayaran tempat letak kereta dikenakan apabila membawa kereta ke tempat kerja (caj sekali masuk untuk tempoh sehari).

Walaupun sudah ada kempen dan galakan dilaksanakan pihak berwajib supaya mereka menggunakan kemudahan Park & Ride yang banyak disediakan tetapi masih sepi kerana tidak mendapat sambutan.

Langkah itu (meletakkan kereta di Park & Ride) perlu dimulakan dari peringkat atasan termasuk pegawai tinggi dan kanan kerajaan. Kalau sekadar mengeluarkan arahan belum cukup berkesan untuk memujuk kakitangan supaya tidak membawa kenderaan ke tempat kerja sehingga menjadikan kawasan di kompleks kerajaan sesak dan menyusahkan pelawat kerana tiada tempat untuk mereka meletak kenderaan.

Penulis sendiri mempunyai pengalaman pahit kerana terpaksa meletakkan kenderaan di sebuah hotel berdekatan Kompleks D kerana pengawal keselamatan di situ tidak membenarkan masuk bagi membuat liputan Menteri Dalam Negeri.

Malah, pengawal keselamatan di kebanyakan kompleks lain memberi alasan tempat letak kereta penuh dan meminta petugas media serta orang ramai meletak kenderaan di kawasan Park & Ride.

Bila agaknya isu kekurangan tempat letak kereta di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan menemui jalan penyelesaian.

Wajarkah rungutan dan keluhan OKU kerana kesukaran golongan itu mendapatkan kemudahan letak kereta ketika berurusan terus menerus dipandang sepi.

Penulis berpendapat langkah Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk memujuk pengunjung ke Putrajaya khususnya mereka yang berurusan di kompleks kerajaan supaya menggunakan bas, diubah dengan menggalakkan lebih ramai kakitangan awam menaiki bas dan meletakkan kenderaan di kawasan Park & Ride.

Sedikit pengorbanan daripada kalangan warga kerajaan tidak akan merugikan, sebaliknya akan menjadikan Putrajaya kawasan sifar kesesakan kerana setiap pagi laluan ke kompleks kerajaan sentiasa sesak dengan ribuan kereta berpusu-pusu ke tempat kerja. Fikir-fikirkanlah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

susah nak kata apa-apa hal kesesakan di Putrajaya ini .....orangramai masih tidak tahu kebanyakkan staff kerajaan membawa anak ke tadika yang ditempatkan dalam bangunan pejabat itu sendiri...... kalau staff pula kena park jauh kat kawasan Park& Ride itu dari sana itu plakk kena naik bus dan berjalan kaki membawa anak ........ siapa yg patut mengalah dalam soal ini ???? ini lah buruknya kalau dah pejabat duduk setempat parking plakkk kurang .....

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails