SELAMAT DATANG

Khamis, 4 Februari 2010

Shamsul Azhar Presiden, CEO baru Petronas

KUALA LUMPUR; Datuk Shamsul Azhar Abbas (gambar), bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC Bhd., dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru berkuat kuasa 10 Februari ini.

Beliau turut dilantik memangku jawatan Pengerusi Lembaga Petronas, demikian menurut kenyataan akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikeluarkan hari ini.

Shamsul Azhar, 57, akan menggantikan Tan Sri Mohd. Hassan Merican yang tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 9 Februari ini.

Menurut Najib, Shamsul Azhar berpengalaman luas dalam industri petroleum negara.

"Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC antara 2004 hingga 2009," katanya.

Shamsul Azhar mula berkhidmat dengan Petronas pada 1974 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Naib Presiden Perniagaan Minyak, Naib Presiden Petrokimia, Naib Presiden Eksplorasi (Huluan) dan Naib Presiden Maritim dan Logistik.

"Saya yakin beliau mempunyai kelayakan, kewibawaan dan pengalaman untuk membawa kejayaan yang berterusan kepada Petronas," kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Tambahnya, kerajaan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan besar Hassan kepada negara dan industri petroleum, selaku Pemangku Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sejak 1995.

Hassan mula berkhidmat dengan Petronas sejak 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 1995.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan Pemangku Pengerusi pada 2004 hingga sekarang. - Bernama


Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails