
Datuk Bandar, Datuk Khazali Din, berkata isu merobohkan tempat ibadat itu tidak berbangkit sama sekali kerana ia sudah diselesaikan hasil perbincangan antara MBAS bersama wakil penduduk dan Exco berkaitan di dua kawasan dimaksudkan iaitu di Taman Tengku Husna, Jalan Tanjung Bendahara dan Jalan Pegawai, di sini.
Katanya, isu perobohan struktur di Taman Tengku Husna tidak membabitkan rumah ibadat sebaliknya hanya struktur binaan dikenali sebagai keramat Cina serta keramat Hindu dan ia diarah pindah ke kawasan lebih sesuai kerana berada dalam kawasan taman permainan kanak-kanak.
"Kita tidak arah roboh tetapi meminta ia dipindahkan kerana tidak sesuai tambahan pula struktur yang ada kini diperbesarkan dan ia memerlukan lokasi lebih sesuai.
"MBAS juga sudah berbincang dengan wakil penduduk di situ awal bulan lalu dan kami sudah mencapai persetujuan bahawa ia perlu dialihkan ke kawasan lain, malah dalam hal ini MBAS sendiri ada menawarkan satu lokasi tetapi tidak dipersetujui wakil penduduk.
"Mereka minta tempoh enam bulan untuk mencari tapak baru dan kita setuju," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Selain itu, Khazali berkata, arahan merobohkan struktur bangunan di Jalan Pegawai tidak membabitkan sama sekali rumah ibadat tetapi bangunan kecil di sebelahnya yang digunakan penduduk untuk aktiviti masyarakat.
"Dalam hal ini wakil penduduk dan Exco Hal Ehwal Masyarakat India, S Manikumar sudah menyatakan persetujuan untuk merobohkan sendiri bangunan itu. Tidak timbul soal meroboh rumah ibadat sama sekali,” katanya.
Rabu lalu, Su mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai arahan bertulis dikeluarkan MBAS supaya rumah ibadat Hindu dan Buddha di kawasan itu dirobohkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan