SELAMAT DATANG

Jumaat, 19 Jun 2009

Nizar Mohon Jawatan Menteri Besar Perak Digantung

PUTRAJAYA, 19 Jun - YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari selepas solat Jumaat hadir ke Mahkamah Persekutuan memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohammad Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang tadi melalui Tetuan Leong & Tan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu. Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar juga turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar oleh 11 hakim daripada 12 Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Selepas solat jumaat Mohammad Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu terlebih dahulu pergi menjamu selera di Medan Selera Presint 8 Putrajaya. Beliau diraikan YDP PAS Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir Zakaria yang turut bersamanya hadir ke mahkamah sejurus selepas itu. Turut mengiringinya ialah Ikatan Anak-Anak Perak Di Perantauan.

Dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, Mohammad Nizar turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

Kenyataan Akhbar diedarkan sejurus selepas Sidang Media yang diadakan di Bilik Peguam Istana Keadilan yang dihadiri oleh lebih 50 orang wartawan dan Bloggers.

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails