SELAMAT DATANG

Selasa, 22 Disember 2009

7 TAHUN UMNO BERJUANG UNTUK SEKOLAH AGAMA PUTRAJAYA

Alhamdulillah, seperti yang didakwa oleh Pemuda UMNO Putrajaya dalam http://mypemuda.blogspot.com/2008/12/serah-memorandum-sra-putrajaya.html bahawa merekalah juara dalam memperjuangkan sekolah agama di Putrajaya sejak 2002 lagi.

Namun begitu amat mendukacitakan setelah 7 tahun berjuang, ia masih belum kelihatan tersergam indah seperti yang digambarkan. 7 tahun berjuang bagi parti yang memegang tampuk pemerintahan negara adalah suatu jangka masa yang panjang apatah lagi hanya untuk sebuah sekolah agama.Ini menampakkan dengan jelas bahawa agama bagi UMNO hanyalah tempelan semata-mata.

Di dalam kempennya ketika Pilihanraya Umum ke 12 yang berlangsung pada bulan Mac 2008 yang lalu, calon Parlimen yang mewakili Barisan Nasional bagi kawasan Pilihanraya (P125) Parlimen Putrajaya YB Dato Seri Tengku Adnan Bin Mansor telah membangkitkan perjuangannya sehingga terlulusnya Projek pembinaan Sekolah Agama di Putrajaya.

Namun selepas 18 bulan berlalu selepas PRU12 atau 7 tahun seperti yang didakwa sekolah agama itu masih kelihatan tiang2nya sahaja. Kalau betul mereka memperjuangkan agama kenapa tidak dimulakan di premis sementara terlebih dahulu seperti universiti-universiti yang ditubuhkan bagai cendawan di serata pelusuk negara.

Tidak mengira siapa dulu yang memperjuangkan Pembinaan Sekolah Agama di Putrajaya, kami bagi pihak PAS Wilayah Persekutuan, khususnya PAS Kawasan Putrajaya dalam Memorandum yang bertarikh 25 DZULHIJJAH 1427 bersamaan 15 JANUARI 2007 yang dihantar kepada pihak yang berwajib dari PM, Menteri Wilayah, Jakim, jawi, Perbadanan dan lain-lain telah mendesak supaya pembinaannya disegerakan. Namun amat malang setelah selepas segala usaha diperjuangkan baik dari pihak PAS, BN, NGOs dan penduduk Putrajaya, namun ia masih tidak beroperasi dengan segera atau dengan lebih tepat dimulakan pada sesi 2010 ini.

Kenapa pihak kerajaan khususnya agensi-agensi atau Jabatan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan agama Allah yang Maha Tinggi ini tergamak membiarkan projek ini dilambatkan? Sedangkan pada masa yang sama, mereka setiap hari dalam tempoh tersebut, dapat melihat bagaimana projek-projek dan program-program yang menghabiskan wang Jutaan Ringgit bahkan langsung tidak memberi manfaat dan faedah kepada pembinaan modal Insan seperti yang diwar-warkan, contohnya pertandingan Bunga Api, Fiesta Flora dan seumpamanya lagi.

Ketika berdialog dengan Pimpinan PIBG Sekolah-Sekolah Putrajaya dalam majlis hariraya aidilfitri pada 17 Syawal 1429H bersamaan 17 Oktober 2008 bertempat di Dewan Serbaguna Presint 8, Ketua Polis IPD Putrajaya OCPD Razak telah menyatakan kebimbingannya terhadap indeks jenayah Remaja yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di Putrajaya yang meningkat, sehingga September 2008 sahaja melebihi 100% dari tahun 2007 kepada 46 kes.

Amat malang sekali wakil rakyat Parlimen Putrajaya YB Dato Seri Tengku Adnan Bin Mansor yang turut hadir dalam majlis berkenaan telah menyalahkan ibubapa dan mengumpamakan ibubapa sebagai SYAITAN kerana tidak berjaya mendidik anak-anak mereka. Apakah beliau tidak pernah mendengar Sabda Rasulullah S.A.W: “An-Naasu ‘alaa Deeni Muluukihim” yang bermaksud; “Rakyat mengikut cara pemimpin mereka”. Dan lagi al-Ummahaat Madrasatul Uula lil Abnak”. Yang bermaksud “Ibu bapa adalah Sekolah yang Pertama bagi anak-anak.”

Kita mengakui peranan ibubapa di dalam rumahtangga, namun harus kita ingat bahawa ibubapa di rumah itu sendiri telah terdidik dengan dasar pendidikan yang jauh terpesong dari aqidah dan akhlak Islam yang sebenar, hasil daripada pendidikan yang diberi oleh ibubapa yang lebih berperanan di dalam masyarakat (Pemimpin) iaitulah mereka yang diberi tanggungjawab mentadbir dan mengurus dunia ini yang sepatutnya mentadbir dan mengurus dunia ini dengan Deenullah (Agama Allah).

Seberapa baik pun ibubapa mendidik anak-anak mereka di rumah, akhirnya anak-anak tersebut akan bergelumang juga dengan persekitaran yang diwujudkan oleh pemimpin (ibu bapa) yang berada di dalam masyarakat. Harus diingat, Perdana Menteri adalah ibubapa dalam kontek negara, wakil rakyat adalah ibubapa dalam konteks kawasan Parlimen yang diwakilinya dan seterusnya. kalaulah ibu bapa dirumah itu dianggap SYAITAN maka lebih tepat pemimpin-peminpin ini dianggap BAPA SYAITAN.

Oleh kerana itulah kami bagi pihak PAS Kawasan Putrajaya dan PAS Wilayah Persekutuan amnya amat berharap Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib bin Tun Abd razak mengarahkan;

Pembinaan Sekolah Agama itu disegerakan seberapa cepat yang mungkin ATAU

Sekurang-kurangnya satu premis yang sedia ada (mana-mana bangunan yang belum diduduki di Putrajaya) dijadikan Sekolah Rendah/Menengah Agama sementara yang ditadbir sepenuhnya oleh JAWI yang beroperasi pada sesi 2010 nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud;
“ Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). Luqman : 17

BACA BLOG PEMUDA UMNO PUTRAJAYA
http://mypemuda.blogspot.com/2008/12/serah-memorandum-sra-putrajaya.html

Friday, July 10, 2009

Sekolah Rendah Agama Putrajaya (SRA) Mula Dibangunkan

Sebagaimana posting saya sebelum ini http://mypemuda.blogspot.com/2008/12/serah-memorandum-sra-putrajaya.html kontraktor yang dilantik oleh JKR iaitu Myasas Engineering Sdn. Bhd. telah memulakan kerja-kerja pembinaan Sekolah Rendah Agama Putrajaya di Presint 9 (sebelah Sekolah Kebangsaan Presint 9(2) ). Kerja-kerja dimulakan pada Mei 2009 yang lepas dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan iaitu pada Mei 2010. Ini bermakna perjuangan UMNO dari tahun 2002 supaya dibangunkan Sekolah Agama di Putrajaya telah menjadi kenyataan. Inilah contoh perjuangan UMNO yang bukan retorik, hanya pada slogan 'Membangun Bersama Islam' tetapi tidak mampu membangunkan kehidupan rakyat Kelantan dengan terancang dan selesa. Jangan nanti pada PRU-13 PAS masih mempolitikkan isu Sekolah Agama ini. Sudah tentu kerajaan melalui agensinya seperti Perbadanan Putrajaya telah merancang Bandar Raya Putrajaya dengan sebaik mungkin termasuk untuk kepentingan Islam. Mungkin anda tidak tahu bahawa Putrajaya dibangunkan dengan doktrin hubungan manusia dengan penciptaNya, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekeliling.

Tapak-tapak Sekolah Agama, Masjid dan Surau telah direzabkan oleh Perbadanan Putrajaya untuk pembangunan akan datang. Tidak perlu lagi kita merangkak dan mengemis ihsan mencari tapak untuk mendirikan bangunan sekolah, masjid dan surau di atasnya. Peranan masyarakat dengan dipimpin oleh UMNO di Putrajaya hanyalah menguruskan birokrasi dan supaya cadangan pembangunannya dibajetkan diperingkat agensi berkaitan khususnya JAKIM. Sehubungan itu, janganlah nanti pegawai-pegawai kerajaan ini yang duduk di JAKIM dan tinggal di Putrajaya mempersalahkan UMNO dan agensi lain kerana tidak membangunkan Sekolah Agama di lokasi yang lain pula. Tugas anda ialah mempastikan supaya bajet untuk pembangunan Sekolah Agama itu di masukkan dalam Bajet 2010 akan datang. Tetapi perlu diingat, tiada peruntukan dalam RMK-10 untuk pembangunan Sekolah Agama di Putrajaya. Adakah itu salah UMNO juga yang telah memperjuangkannya. Sudah tentu, pegawai-pegawai kanan di JAKIM dan JPM yang menguruskan bajet dan RMK-10 yang lepas tidak mempedulikan perkara penting ini. Justeru itu, dalam RMK-11 kelak peruntukan bagi pembangunan Sekolah Agama di tapak lain di Putrajaya ini perlu dimuktamadkan.

Tuesday, December 30, 2008

Serah Memorandum SRA Putrajaya: Publisiti Murahan PAS

Saya tertarik untuk mengulas tindakan Ustaz Nazir, YDP PAS Putrajaya menyiarkan gambar-gambar diakhbar setelah menghantar memorandum pembinaan SRA Putrajaya ke Pejabat PM pada 23 Dis. 2008 yang lepas. Tindakan beliau dan PAS dianggap sebagai mencari publisiti murahan dan retorik semata kerana UMNO telah memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya sejak awal lagi iaitu pada PRU 11 tahun 2004 yang lepas. Ketika itu, calon BN adalah YB. Datuk Seri Tengku Adnan yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. UMNO telah mengemukakan memorandum dan memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya tetapi tidaklah disiarkan di dalam surat khabar dan media bagi mencari publisiti seperti Ustaz Nazir.

Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya sendiri telah membawa isu ini ke Persidangan Pemuda UMNO Putrajaya Tahun 2006 dan pada Persidangan Pemuda UMNO Tahun 2007 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin isu dan perkara ini turut dibangkitkan sekali lagi oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid, Ketua Pemuda Bahagian Putrajaya di dalam ucapan dasarnya. Untuk makluman, kedua-dua persidangan tersebut telah diadakan di Dewan Persidangan Perbadanan Putrajaya. Setelah menerima memorandum dan desakan masyarakat Putrajaya, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah membawa perkara ini ke peringkat pembuat dasar yang berkaitan dan hasilnya pembinaan SRA Putrajaya telah ditenderkan oleh JKR pada 31 Disember 2007 sebelum PRU-12. Walau bagaimanapun semua penender yang memasuki tender tersebut telah membida lebih dari siling kos projek yang diperuntukan oleh EPU kepada JAKIM. Sehubungan itu JAKIM memohon supaya JKR menender semula projek SRA tersebut berdasarkan peruntukan yang diluluskan dan tender baru telah dikeluarkan oleh JKR pada 22 Disember 2008 yang lepas. Inilah perjuangan UMNO Putrajaya yang dilaksanakan secara senyap dan teratur, bukan menjaja mengelirukan dan menipu rakyat di luar Putrajaya.

Pada masa ini juga bukan tiada langsung SRA dan kelas KAFA di Putrajaya, sebagaimana dakwaan Ustaz Nazir di laman blog PAS Putrajaya. Untuk makluman, Sekolah Rendah Agama (SRA) di Apartment Putra Harmoni Presint 9 iaitu berhadapan dengan tapak projek yang dicadangkan di atas telah menyediakan kemudahan SRA 5 hari seminggu sejak tahun 2002 yang diasaskan dan diuruskan pembukaannya oleh Tengku Bidin iaitu Ketua UMNO Cawangan Bunga Pakma yang tinggal di Blok D, Pangsapuri tersebut. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya sendiri. Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 8, 9, 11 dan 16 telah lama menyediakan kelas KAFA iaitu 3 hari seminggu dan Surau Ar-Rahman dan Al-Raudah Presint 16, Surau Presint 8, 9 dan 11 juga menyediakan pembelajaran KAFA 5 hari seminggu kepada anak-anak tempatan. Dakwaan bahawa anak-anak Putrajaya terpaksa belajar di SRA di luar Putrajaya seperti Sg. Merab, Dengkil dan Puchong adalah tidak berasas kecuali pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 1998-2000 di mana Putrajaya mula didiami. Pada tahun 2006, Pemuda UMNO Putrajaya sendiri telah mengambil inisiatif memberi sumbangan lebih 80 set buku teks KAFA kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di dalam satu majlis di Dewan Serbaguna sekolah tersebut. Semua kelas KAFA tersebut menggunakan silibus yang sama digunakan oleh JAIS dan JAWI serta semua pelajar turut menjalani Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Walaupun kita melihat pembelajaran yang disediakan disurau-surau tersebut tidak selesa tetapi jika kita kembali kepada asas, belajar di surau yang merupakan pusat ibadah dan tarbiah itulah yang dikehendaki di dalam Islam supaya dari zaman kanak-kanak lagi mereka dekat dengan tempat ibadah. Apatah lagi, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah memperuntukan sejumlah dana hampir RM500 ribu dengan memperlengkapkan semua surau di Putrajaya dengan penghawa dingin yang membolehkan anak-anak tersebut belajar dengan lebih selesa.

Jelas disini bahawa perjuangan memartabatkan pendidikan agama tetap menjadi keutamaan UMNO Putrajaya disemua peringkat di bawah pimpinan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya. Pembangunan Sekolah Menengah Agama Putrajaya juga sedang diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan oleh UMNO Putrajaya dan jawatankuasa tersebut sedang memperhalusi kertas cadangannya termasuk cadangan tapak yang bersesuaian dan bagaimana peruntukan hendak diambil dalam RMK-10 atau RMK-11. Insyaallah, dengan iltizam dan doa semua masyarakat Putrajaya, kita juga akan melihat pembangunan SMA Putrajaya terlaksana...

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails