SELAMAT DATANG

Ahad, 7 Jun 2009

PAS Digesa Perkasakan Jaringan Antarabangsa

SHAH ALAM, 6 Jun - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) digesa supaya memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa melalui pemerkasaan jaringan antarabangsa.

PAS Wilayah Persekutuan ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pagi ini menyarankan PAS agar terus prihatin dengan isu kemanusiaan global terutamanya dalam isu Palestin.

Pas dipuji kerana mengambil inisiatif untuk memberi sumbangan terus kepada rakyat Palestin melalui wakil HAMAS ke Malaysia.

Merujuk kepada usaha dakwah dan gerak kerja Rasulullah SAW yang bukan sekadar tertumpu kepada Negara Islam Madinah tetapi meluaskannya tanpa mengira sempadan negara dan bangsa, PAS diharapkan dapat menunjukkan kepekaan dalam semua isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira bangsa dan negara.

Ustaz Nazir denan nada yang tegas menyatakan;
"PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah yang bergerak sebagai mata rantai perjuangan Islam perlu juga melihat ke luar dan mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di seluruh dunia, terutama yang berkaitan dengan nasib umat Islam. PAS yang kini diiktiraf sebagai sebuah gerakan Islam yang menonjol di peringkat serantau dan global, perlu memainkan peranan yang penting dalam membela umat Islam melalui pemerkasaan jaringan dan pakatan gerakan Islam antarabangsa.

Pakatan Gerakan Islam antarabangsa perlu mengambil-alih peranan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat gagal membela umat Islam dan negara umat Islam daripada gerakan keganasan antarabangsa.
Penyertaan PAS dalam pertemuan-pertemuan Gerakan Islam antarabangsa perlu diberi sokongan yang padu kerana PAS dilihat mampu mempamerkan kejayaan membawa mesej Islam ke tengah masyarakat dan model pemerintahan Islam seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Keprihatinan PAS terhadap isu kemanusiaan global terutama yang berkaitan dengan isu-isu umat Islam telah terbukti seperti bantuan tenaga, kewangan dan sebagainya yang dihulurkan kepada umat Islam Palestin baru-baru ini yang dizalimi oleh tentera Israel laknatullah. Bukan hanya setakat sumbangan yang dihulur, tetapi PAS mengambil inisiatif memastikan sumbangan tersebut sampai kepada pihak yang sebenarnya iaitu Hamas, dalam isu berkaitan Palestin.

Penglibatan atau “engagement” PAS di peringkat serantau dan antarabangsa sama ada dengan gerakan Islam atau NGO antarabangsa, perlu diperkasa terutama yang melibatkan isu kemanusiaan sejagat. Ini menunjukkan bahawa keadilan Islam itu bukan hanya dalam ruang lingkup umatnya sahaja, tetapi ianya perlu lebih jauh dari itu dengan menunjukkan kepekaan terhadap isu-isu global yang merangkumi semua kaum tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan warna kulit. Kita perlu sentiasa bersedia untuk terlibat dalam apa jua bentuk kerjasama, persidangan, forum, wacana antarabangsa mahupun serantau bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang sedang dialami di rantau ini atau pun di peringkat global.

Inilah sifat ‘alamiyah yang ada pada gerakan Islam yang menurut jalan perjuangan yang dibawa oleh Nabi SAW. Dakwah dan gerakerja Rasulullah SAW bukan hanya tertumpu dalam negara Islam Madinah sahaja, tetapi pengembangan dakwah terus berjalan tanpa mengira sempadan negara dan bangsa. Apa yang dibawa adalah mesej Islam yang tetap relevan dalam memberikan penyelesaian terhadap permasalahan umat di sepanjang zaman. Semua pihak tidak perlu sangsi dengan keikhlasan dan kesungguhan PAS dalam usaha mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan tamadun manusia sejagat.

Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa PAS perlu mengorak langkah ke hadapan dengan menganjurkan lebih banyak program bertaraf antarabangsa seperti Ijtima’ Gerakan Islam Antarabangsa. PAS juga mampu bertindak sebagai Sekretariat Gerakan Islam Antarabangsa bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan isu-isu umat Islam".

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails