Kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan taufiq dan limpah kurniaNya dapat kita bermuktamar untuk kali yang ke-55. PAS Wilayah Persekutuan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyokong ucapan dasar Dato’ Seri Tuan Guru Presiden yang bertemakan Islam Memimpin Perubahan.
Saya mendoakan mudah-mudahan muktamar kita pada kali ini seperti masa lalu berlangsung dalam suasana ukhuwwah Islamiyah dan semangat persaudaraan yang tinggi untuk menegakkan keadilan dan membenteras kezaliman di negara kita ini.
PAS Wilayah Persekutuan juga mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan syabas kepada PAS Negeri Selangor yang menjadi tuan rumah Muktamar kali ini. Berkat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat, dan sebagai simbol kemenangan ini maka kita bermuktamar di negeri Selangor. Tidak syak lagi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu telah mengejutkan banyak pihak, malah suatu keputusan yang amat pahit untuk diterima oleh UMNO/BN. Alhamdulillah, kita bersyukur dengan kemenangan ini, berkat usaha gigih pendukung PAS di semua peringkat khususnya petugas Pakatan Rakyat. Hari ini sudah lebih setahun kita diamanahkan untuk memerintah di negeri Selangor dan negeri-negeri lain di bawah Pakatan Rakyat. Walau apa pun bagi kita yang penting di atas segala kemenangan ini ialah semoga pertolongan Allah terus berkekalan di samping kurnia keredhaanNya.
Saf Kepimpinan dan perwakilan sekelian,
Sebagai jamaah Islam di bawah Kepimpinan Ulama, diharapkan kita tidak tenggelam dengan sorak-sorai kemenangan ini dan angkuh dengan kejayaan yang kita perolehi dan tidak juga berduka dengan kekalahan. Bagi kita, kalah menang dalam pilihanraya adalah laluan yang lumrah kita tempuhi. Sementara matlamat kita sebenarnya ialah mencapai keredhaan Allah seperti yang ditegaskan oleh Allah Azzawajalla;
لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ {23}
“Dan agar kamu tidak putus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan juga agar kamu tidak terlalu gembira dengan kurniaan kepadamu, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang menyombong” (al-Hadid : 23)
Sekarang bukan masa lagi untuk kita terus berbulan madu, sekarang adalah masa untuk kita bekerja menunaikan apa yang telah kita janjikan kepada rakyat, melaksanakan apa yang telah menjadi dasar yang telah kita perkatakan dalam setiap kali kita beceramah, melaksanakan tugas dengan penuh amanah dengan penuh keadilan. Menterjemah konsep kepimpinan ulama yang contohnya telah ditunjukkan oleh pemimpin utama kita Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ulama yang ikhlas, bukan ulama E-CLASS. Sebab itu Wilayah Persekutuan memohon agar (YB-YB kita terutama barisan Exco khususnya daripada PAS) buktikan keikhlasan kita dalam memperjuangkan kepentingan rakyat terlebih dahulu. Kenapa kita pentingkan kereta-kereta mewah terlebih dahulu. Kita buktikan PAS adalah Harakah Islamiyah yang lebih mementingkan tarbiyyah dari segala-galanya.
Firman Allah SWT dalam Surah At-Takathur, 1-2 yang bermaksud:
“Kemegahan dunia akan melalaikan kamu. Hingga kamu dimasukkan ke dalam kubur.”
Kemenangan menawarkan kepada kita kuasa dan kuasa pada zaman ini dilihat sebagai kembaran harta dan pangkat. Maka Wilayah Persekutuan menyeru supaya kita menyediakan diri dalam menghadapi dugaan ini. Ada antara kita yang sudah mula berubah setelah memegang jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan. Dugaan kuasa ini pada pandangan Wilayah Persekutuan dapat di atasi dengan sistem tarbiyyah yang mantap dan tersusun. Mungkin Lajnah Tarbiyyah boleh menggariskan beberapa program tarbiyyah khusus untuk ahli-ahli dan kepimpinan PAS yang menjadi ADUN, Ahli Parlimen dan memegang jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan negeri. Tambahan lagi, platform ini juga sesuai untuk merealisasikan konsep “aspirasi jemaah menerajui pemerintahan kerajaan”. Moga dengan kuasa yang bakal kita mliki nanti menjadikan kita lebih bertaqwa dan dapat menjalankan amanah Allah ini.
Pimpinan dan para perwakilan sekelian,
PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah yang bergerak sebagai mata rantai perjuangan Islam perlu juga melihat ke luar dan mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di seluruh dunia, terutama yang berkaitan dengan nasib umat Islam. PAS yang kini diiktiraf sebagai sebuah gerakan Islam yang menonjol di peringkat serantau dan global, perlu memainkan peranan yang penting dalam membela umat Islam melalui pemerkasaan jaringan dan pakatan gerakan Islam antarabangsa.
Pakatan Gerakan Islam antarabangsa perlu mengambil-alih peranan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat gagal membela umat Islam dan negara umat Islam daripada gerakan keganasan antarabangsa. Penyertaan PAS dalam pertemuan-pertemuan Gerakan Islam antarabangsa perlu diberi sokongan yang padu kerana PAS dilihat mampu mempamerkan kejayaan membawa mesej Islam ke tengah masyarakat dan model pemerintahan Islam seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Keprihatinan PAS terhadap isu kemanusiaan global terutama yang berkaitan dengan isu-isu umat Islam telah terbukti seperti bantuan tenaga, kewangan dan sebagainya yang dihulurkan kepada umat Islam Palestin baru-baru ini yang dizalimi oleh tentera Israel laknatullah. Bukan hanya setakat sumbangan yang dihulur, tetapi PAS mengambil inisiatif memastikan sumbangan tersebut sampai kepada pihak yang sebenarnya iaitu Hamas, dalam isu berkaitan Palestin.
Penglibatan atau “engagement” PAS di peringkat serantau dan antarabangsa sama ada dengan gerakan Islam atau NGO antarabangsa, perlu diperkasa terutama yang melibatkan isu kemanusiaan sejagat. Ini menunjukkan bahawa keadilan Islam itu bukan hanya dalam ruang lingkup umatnya sahaja, tetapi ianya perlu lebih jauh dari itu dengan menunjukkan kepekaan terhadap isu-isu global yang merangkumi semua kaum tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan warna kulit. Kita perlu sentiasa bersedia untuk terlibat dalam apa jua bentuk kerjasama, persidangan, forum, wacana antarabangsa mahupun serantau bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang sedang dialami di rantau ini atau pun di peringkat global. Inilah sifat ‘alamiyah yang ada pada gerakan Islam yang menurut jalan perjuangan yang dibawa oleh Nabi SAW. Dakwah dan gerakerja Rasulullah SAW bukan hanya tertumpu dalam negara Islam Madinah sahaja, tetapi pengembangan dakwah terus berjalan tanpa mengira sempadan negara dan bangsa. Apa yang dibawa adalah mesej Islam yang tetap relevan dalam memberikan penyelesaian terhadap permasalahan umat di sepanjang zaman. Semua pihak tidak perlu sangsi dengan keikhlasan dan kesungguhan PAS dalam usaha mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan tamadun manusia sejagat.
Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa PAS perlu mengorak langkah ke hadapan dengan menganjurkan lebih banyak program bertaraf antarabangsa seperti Ijtima’ Gerakan Islam Antarabangsa. PAS juga mampu bertindak sebagai Sekretariat Gerakan Islam Antarabangsa bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan isu-isu umat Islam.
Sidang hadirin dan hadirat sekelian,
Selepas kita melihat keluar dan menyoroti kemampuan serta kesediaan PAS dalam keterlibatan di peringkat serantau dan global, tidak lupa untuk kita melihat aspek domestik yang menentukan kekuatan jemaah yang kita sayangi ini. Secara umumnya, PAS sebagai sebuah gerakan Islam tidak sunyi daripada mehnah dan fitnah daripada musuh-musuh Islam. Selama lebih daripada 55 tahun menyelusuri perjuangan Islam di negara ini, PAS menjadi semakin dewasa dan matang; dan seharusnya ahli-ahli dan pimpinan juga turut matang dalam amalan dan tindakan.
Usahlah terpedaya dengan polimik media yang cuba melaga-lagakan kita dengan mengenengahkan isu ulama/profesional ini. PAS adalah Parti Islam, yang sudah pasti meletakkan ilmu dan ulama di tempat yang paling tinggi. Seperti kata YB Saudara Salahuddin Ayub, mantan Ketua Pemuda;
"Ulama menjadi teras kepimpinan PAS. Profesional sebagai tiang seri manakala aktivis parti pula sebagai paksi perjuangan. Salah satu patah, PAS akan tumbang. Bermakna janganlah kita terheret kepada permainan musuh untuk memisahkan kita." Dan katanya lagi “Insya-allah PAS akan kukuh, dan tidak ada sesiapa dalam PAS yang akan melakukan kerja-kerja jahil untuk meminggirkan kepimpinan ulama ini".
Kita sangat-sangat berharap agar ulama tidak cepat melatah, apabila ada di kalangan profesional yang mampu diketengahkan untuk dijadikan pimpinan no. 1 atau no. 2, kemungkinan pencalonan mereka dibuat setelah diteliti bahawa mereka benar-benar layak untuk memimpin PAS pada suatu ketika nanti.
Wilayah Persekutuan sangat berharap supaya ulama yang ramai, yang berada di bawah payung PAS ini dapat diketengahkan menjadi pimpinan yang berkaliber dan berketerampilan serta mampu diterima secara meluas oleh semua peringkat masyarakat. Dewan Ulama’ perlu lebih diperkasakan lagi untuk mewujudkan saf kepimpinan pelapis yang mampu diketengahkan bagi memimpin jemaah di masa hadapan dengan gandingan mantap oleh golongan profesional dan amilin parti.
Walaupun kita mengakui akan sikap tawadhu’ yang ditunjukkan oleh kepimpinan Dewan Ulama’, namun Wilayah Persekutuan berpandangan saf kepimpinan Dewan Ulama’ perlu bersedia memikul amanah yang lebih besar demi kelangsungan perjuangan ini. Adalah wajar mereka yang menduduki kepimpinan tertinggi Dewan Ulama’ ditonjolkan bagi memegang jawatan-jawatan utama dalam tanzim PAS Pusat.
Kita memuji Dewan Pemuda PAS yang sebelum ini dipimpin oleh seorang professional, tetapi untuk kali ini diserahkan kepada seorang ulamak muda yang terserlah dan bakal mewarnai kepimpinan ulamak PAS pada suatu ketika nanti.
Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dihormati
Kita bermuktamar kali ini dalam suasana yang belum lagi bebas dari pelbagai kegawatan sama ada ekonomi, hak asasi manusia, perundangan, politik dan lain-lain. Walaupun perubahan tampuk kepimpinan negara telah berlaku apabila Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun kita melihat belum ada sebarang petunjuk bahawa negara ini akan segera bebas dari pelbagai kegawatan ini.
Malah dunia sedang memerhatikan gelagat pemimpin negara ini yang kononnya sedang berusaha menyatupadukan rakyat dengan slogan One Malaysia (Satu Malaysia), Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan; mereka lantang menyatakan soal kebebasan, keadilan soasial dan ketelusan namun kita masih masih lagi sangsi dengan slogan-slogan yang diwar-warkan ini kerana pada hakikatnya merekalah sebenarnya golongan yang paling dahsyat dan ganas dalam melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat yang diperuntukan oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Lihat saja krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak. Bagaimana mereka yang tidak mempunyai harga diri dan maruah telah mempermain-mainkan undang-undang dan perlembagaan. Kita tetap konsisten dengan tuntutan kita, yang juga merupakan suara hati rakyat yang mahukan DUN Perak segera dibubarkan dan dikembalikan kuasa kepada rakyat.
Para hadirin dan hadirat sekelian,
Sukacita kita nyatakan di sini bahawa Pakatan Rakyat semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Kerjasama kita dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah berupaya menghapuskan semua prasangka buruk musuh politik kita bahawa PAS adalah parti yang tidak terbuka, pelampau dan sebagainya.
Kemenangan kita dalam PRU ke-12 yang lalu membuktikan bahawa majoriti rakyat khususnya orang-orang Cina dan India bergembira menerima kita di samping orang-orang Melayu sendiri terus menyokong kita. Ini terbukti selepas PRU ke-12, PAS telah menyertai 2 pilihanraya kecil peringkat Parlimen; Alhamdulillah, kita diberi kemenangan oleh Allah, dengan kemenangan yang besar ertinya.
Di sini kita ingin mempertegaskan bahawa Pakatan ini perlu perkemaskan. Kita ingin melihat kebijaksanaan kepimpinan kita (khususnya saf kepimpinan baru) untuk meletakkan diri sebagai pemacu kepada Pakatan ini. Bagi merealisasikan hasrat Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dalam ucapan dasarnya pagi tadi yang ingin melihat bahawa Islam perlu memimpin perubahan, pemimpin-pemimpin yang sedang memegang kuasa pemerintahan di peringkat negeri perlu tegas dalam semua perkara lebih-lebih lagi yang melibatkan perkara halal dan haram.
Sistem pemerintahan Islam perlu ditonjol dan dipraktikkan secara hikmah supaya rakyat benar-benar merasa keadilan Islam itu sendiri. Kita tidak perlu khuatir dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, mereka sedar dan perlu disedarkan siapa kita, tanpa kita siapalah mereka, begitu juga kita sedar bahawa tanpa mereka, mungkin kita tidak pergi sejauh ini.
Kekuatan yang ada pada PAS dari akar umbi hingga ke peringkat pimpinan sudah jelas dan diakui oleh kawan dan lawan. Ini terbukti melalui gerakerja pilihanraya di mana mereka tidak boleh mendabik dada bahawa mereka cukup kuat bekerja, tetapi kita dengan dengan segala kecukupan yang dipersiapkan oleh agenda parti yang mantap, kita turun bagaikan singa di siang hari dan abid di ketika manusia lain sedang enak dibuai mimpi. Pemimpin atasan kita perlu tegas dalam menyatakan yang hak dan tidak bertolak ansur dalam perkara kebatilan. Kita juga berharap pimpinan kita perlu lebih tegas dalam perkara pengagihan kerusi pilihanraya.
Apa yang ingin dinyatakan di sini oleh Wilayah Persekutuan ialah rasa terkilan yang teramat sangat bahawa di dalam PRU ke-12 yang lalu telah menzahirkan pembahagian kawasan bertanding yang tidak adil bagi PAS Wilayah Persekutuan dengan PKR. Sepanjang 35 tahun PAS Wilayah Persekutuan hanya semacam dijadikan bidak di atas papan catur oleh PAS Pusat dan seharusnya ia tidak berulang lagi di dalam PRU ke-13 nanti.
Ingatlah, kami juga adalah ahli-ahli PAS, kami juga berjuang bertungkus lumus. Apa sahaja program besar yang diadakan di KL, kamilah yang bertungkus lumus, bila pilihanraya kamilah yang ada banyak maklumat yang boleh disampaikan kepada orang-orang kampung, yang balik beramai-beramai memenangkan negeri-negeri yang menang.
Cuba ambil peduli sikit hati kecil ahli-ahli PAS, contohnya di dalam Pilihanraya Kecil DUN Penanti baru-baru ini, suara suara yang kurang menyenangkan masih lagi kedengaran. Bukan sahaja di Penanti atau Pulau Pinang, suara-suara sumbang ini turut berbunyi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.
Kita tahu, semuanya gara-gara tidak menghayati konsep tahalluf siyasi atau kerjasama politik yang telah dijalin sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 baik di pihak PKR mahupun di pihak ahli-ahli PAS. Banyak kerusi diperuntukkan kepada PKR ketika Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu. Kerusi majoriti Melayu yang PAS tidak begitu kuat telah diperuntukkan kepada PKR atas alasan PKR mampu menarik sokongan daripada ahli UMNO dan pengundi atas pagar.
Kerusi yang bersifat 50 – 50 di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu juga dibolot oleh PKR atas alasan PAS tidak mampu menarik sokongan undi bukan Melayu jika PAS meletakkan calonnya di kerusi tersebut. Begitu juga DAP akan gagal menarik undi Melayu jika parti itu bertanding di situ. Kesimpulannya, calon dari PKR adalah yang paling sesuai kerana PKR adalah parti bersifat pelbagai kaum.
Hakikatnya, pelbagai kaum sangatkah mereka. Bila telah dapat banyak kerusi, calon pula tidak berapa ada. Maka diambillah sesiapa saja yang ada tanpa melalui penapisan yang ketat. Akhirnya, bila menang menampakkan warna yang sebenar. Ada yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam hubungan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dalam kerajaan, ada yang melompat hasil tawaran yang menggelapkan mata dan sebagainya.
Niat kita bukan untuk memburukkan sesiapa, tetapi inilah ingatan terhadap sesama kawan kita supaya sikap saling hormat-menghormati sentiasa diamalkan. Kita ingin menegaskan bahawa kriteria pemilihan calon pilihanraya mewakili parti-parti Pakatan Rakyat perlu melalui satu proses tapisan yang sistematik. Ini bagi memastikan calon yang benar-benar berwibawa dan memilih calon-calon yang bukan sahaja cemerlang dalam arena keprofesionalan mereka, tetapi dalam masa yang sama mempunyai integriti dan istiqamah yang tinggi terhadap parti dan rakyat. Alhamdulillah, telah terbukti bahawa calon-calon PAS yang menang tetap dengan parti walau apa jua yang berlaku, sebesar mana tawaran tidak diendah demi takutkan Allah dan inilah hasil tarbiyyah kita.
Kita PAS pula, rata-rata ahli PAS berpandangan, “mana-mana kerusi pun ahli PAS juga yang buat kerja sampai menang”. Rata-rata ahli PAS berpandangan “mana ahli PKR waktu kerja-kerja pilihanraya dulu?”. Rata-rata ahli PAS berpandangan “orang-orang PKR cuma ramai waktu pimpinan parti mereka turun padang”.
Kita tak nafikan hal ini. Malah, kita bersetuju sangat dalam hal ini. Pengalaman di Permatang Pauh dan di Bandar Tun Razak cukup untuk membuatkan kita membisu jika ada ahli PAS berpandangan seperti itu. Namun, sedar atau tidak, hanya ahli PAS, yang menilai PAS sebagai sebuah parti politik sahaja yang akan berpandangan sedemikian. Wahai sahabat sahabat sejemaah sekalian, PAS adalah sebuah gerakan Islam, dan politik itu pula adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebuah gerakan Islam.
Jika kita hanya menumpukan pada kerja kerja pilihanraya tetapi melupakan tangungjawab atau gerak kerja jemaah seperti usrah, tamrin dan sebagainya, maka anda belumlah layak untuk digelar pejuang Islam. Jika kita berpendirian “kalau tidak kerana orang PAS, tak menang puak- puak nih”, maka kita telah melupakan bahawa kalah menang itu adalah urusan Allah swt. Jika kita berpendirian “kalau bukan kerana kita, tak menang puak-puak ini”, maka kita melupakan peranan dan sumbangan orang lain. Inilah yang dikatakan ego. Saya tak berniat nak ulas panjang hal ini. Masing-masing faham sebenarnya. Baik PKR mahupun PAS. Semuanya faham. Kita sangat berharap pimpinan kita dapat berbuat sesuatu dalam perkara ini.
Menyedari potensi untuk Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang ini, maka Wilayah Persekutuan menyeru saf kepimpinan parti dan semua ahli agar berbuat sesuatu yang konstruktif. Kita dah banyak dengar ugutan-ugutan daripada rakyat yang sokong kita, yang tak puas hati dalam banyak hal. Satu pesanan yang jelas untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita bersetuju dengan pandangan Datuk Seri bahawa rakyat Malaysia hari ini bukanlah bodoh. Rakyat Malaysia sedang memerhati. Namun begitu, Datuk Seri juga kena faham, rakyat Malaysia bukan sekadar memerhatikan BN tetapi rakyat Malaysia juga sedang memerhatikan kita dalam Pakatan Rakyat. People Power! Makkal Sakhti! Mereka akan menentukan dalam PRU-13 dengan izin Allah SWT.
Buat ahli PAS – tingkah laku kita adalah Islam. Kerja buat kita adalah Islam. Pemikiran kita adalah Islam. Maka, ikutlah Islam sepenuhnya. Tidak ada tempat untuk mereka yang mengikut kepala sendiri dalam PAS.
Sidang perwakilan yang di rahmati Allah sekelian,
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaaan dan amalan kamu).”
(Surah Al-Hujurat: Ayat 13)
Negara Malaysia kita yang tercinta ini, dijadikan oleh Allah SWT dengan satu kombinasi pelbagai kaum. Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan dan sebagainya seharusnya kita lihat sebagai tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT. Setiap bangsa dengan keunikan dan keistimewaannya tersendiri.
Walau bagaimanpun, pihak penjajah British dengan dasar pecah dan perintahnya, dan seterusnya diwarisi oleh UMNO/BN, telah berjaya mengekalkan satu situasi tegang yang berpanjangan di kalangan pelbagai bangsa di Malaysia. Inilah kunci yang dipegang oleh UMNO/BN sejak sekian lama dalam memastikan relevan kewujudan mereka. Di saat masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini menghayati Firman Allah SWT dalam Surah Hujurat yang dibacakan sebentar tadi, maka hilanglah relevan UMNO/BN. Tidak penting lagi samada seseorang itu Melayu, Cina atau India. Yang lebih penting ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Dalam negara berbilang kaum, keadilan adalah elemen yang penting dalam mengekalkan keharmonian dan kemajuan negara. Dengan kekuasaan yang diberikan oleh Allah SWT dalam juzuk-juzuk pemerintahan tertentu di negara ini, PAS yang dasarnya Islam, perlu mengambil langkah segera bagi mempraktikkan keadilan Islam sehingga ianya terkesan secara jelas terhadap rakyat. Keadilan yang dianjurkan oleh Islam bukan berteraskan kaum atau bangsa, tetapi ianya lebih jauh lagi dengan menjamin hak-hak bagi setiap rakyat.
Yang benar-benar perlukan bantuan, tanpa mengira bangsa, kerajaan perlu bantu tanpa sebarang sikap prejudis. Cuba fikirkan natijah apabila rakyatn melihat keikhlasan Islam dalam membantu orang yang memerlukan? Kita mesti percaya sifat semulajadi manusia menerima perkara baik dan menolak perkara jahat. Dalam politik hari ini pejuang Islam diuji dengan hebatnya dalam menegakkan keadilan sejagat, bukan hanya untuk orang Islam semata-mata.
Petikan daripada SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009 oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat:
“Kepada semua orang islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam. Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.”
Wilayah Persekutuan menyeru agar saf kepimpinan menyusun strategi dan mula berbicara mengenai konsep keadilan sejagat yang selari dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah, seterusnya mengambil kira realiti masyarakat berbilang bangsa di Malaysia yang tercinta ini, seterusnya menolak sebarang pemikiran sempit nasionalisme atau Asobiyah Kemelayuan yang merudum dan mengundang malang sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969. Mainan politik kotor UMNO/ BN ini harus ditolak habis-habisan dan kita yang berada dalam sebuah parti dan jemaah Islam seharusnya tidak terperangkap dengan cebisan Asobiyah Kemelayuan ini.
Sidang perwakilan sekelian dan saf kepimpinan yang di hormati,
Wilayah Persekutuan ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur muktamar di atas gerakerja yang dilakukan. Cuma sedikit maklum balas untuk penambahbaikan di masa akan datang, mohon tajuk-tajuk fokus kepada negeri-negeri dalam ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden diberikan dalam tempohmasa yang sewajarnya. Janganlah sehari dua. Ini akan menimbul sedikit permasalahan dalam mengolah ucapan yang sebelum ini telah dibincangkan di peringkat negeri.
Akhir kalam daripada Wilayah Persekutuan, beberapa perkara luaran dan dalaman pada hari ini memerlukan satu tindakan yang jitu dan tersusun agar kita dapat menyelesaikannya dan seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT. Maka sekali lagi Wilayah Persekutuan ingin menyatakan sokongan terhadap Ucapan Dasar Presiden yang telah disampaikan pagi tadi. Dengan itu Wilayah Persekutuan mendoakan muktamar kita pada kali ini dapat dijadikan satu medan muhasabah dan mujadalah ke arah satu tahap yang lebih baik di masa yang akan datang, AMIN YA RABBAL ‘ALAMIN.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan