SELAMAT DATANG

Ahad, 7 Jun 2009

Tahalluf Siyasi- Antara Tamak & Ego

PUTRAJAYA-Gara-gara tidak menghayati konsep tahalluf siyasi atau kerjasama politik yang telah dijalin sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 baik di pihak PKR mahupun di pihak ahli-ahli PAS maka tercetuslah kekeliruan. Banyak kerusi diperuntukkan kepada PKR ketika Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu. Kerusi majoriti Melayu yang PAS tidak begitu kuat telah diperuntukkan kepada PKR atas alasan PKR mampu menarik sokongan daripada ahli UMNO dan pengundi atas pagar.

Kerusi yang bersifat 50 – 50 di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu juga dibolot oleh PKR atas alasan PAS tidak mampu menarik sokongan undi bukan Melayu jika PAS meletakkan calonnya di kerusi tersebut. Begitu juga DAP akan gagal menarik undi Melayu jika parti itu bertanding di situ. Kesimpulannya, calon dari PKR adalah yang paling sesuai kerana PKR adalah parti bersifat pelbagai kaum.

Hakikatnya, pelbagai kaum sangatkah mereka. Bila telah dapat banyak kerusi, calon pula tidak berapa ada. Maka diambillah sesiapa saja yang ada tanpa melalui penapisan yang ketat. Akhirnya, bila menang menampakkan warna yang sebenar. Ada yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam hubungan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dalam kerajaan, ada yang melompat hasil tawaran yang menggelapkan mata dan sebagainya.

Niat kita bukan untuk memburukkan sesiapa, tetapi inilah ingatan terhadap sesama kawan kita supaya sikap saling hormat-menghormati sentiasa diamalkan. Kita ingin menegaskan bahawa kriteria pemilihan calon pilihanraya mewakili parti-parti Pakatan Rakyat perlu melalui satu proses tapisan yang sistematik. Ini bagi memastikan calon yang benar-benar berwibawa dan memilih calon-calon yang bukan sahaja cemerlang dalam arena keprofesionalan mereka, tetapi dalam masa yang sama mempunyai integriti dan istiqamah yang tinggi terhadap parti dan rakyat. Alhamdulillah, telah terbukti bahawa calon-calon PAS yang menang tetap dengan parti walau apa jua yang berlaku, sebesar mana tawaran tidak diendah demi takutkan Allah dan inilah hasil tarbiyyah kita.

Kita PAS pula, rata-rata ahli PAS berpandangan, “mana-mana kerusi pun ahli PAS juga yang buat kerja sampai menang”. Rata-rata ahli PAS berpandangan “mana ahli PKR waktu kerja-kerja pilihanraya dulu?”. Rata-rata ahli PAS berpandangan “orang-orang PKR cuma ramai waktu pimpinan parti mereka turun padang”.

Kita tak nafikan hal ini. Malah, kita bersetuju sangat dalam hal ini. Pengalaman di Permatang Pauh dan di Bandar Tun Razak cukup untuk membuatkan kita membisu jika ada ahli PAS berpandangan seperti itu. Namun, sedar atau tidak, hanya ahli PAS, yang menilai PAS sebagai sebuah parti politik sahaja yang akan berpandangan sedemikian. Wahai sahabat sahabat sejemaah sekalian, PAS adalah sebuah gerakan Islam, dan politik itu pula adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebuah gerakan Islam.

Jika kita hanya menumpukan pada kerja kerja pilihanraya tetapi melupakan tangungjawab atau gerak kerja jemaah seperti usrah, tamrin dan sebagainya, maka anda belumlah layak untuk digelar pejuang Islam. Jika kita berpendirian “kalau tidak kerana orang PAS, tak menang puak- puak nih”, maka kita telah melupakan bahawa kalah menang itu adalah urusan Allah swt. Jika kita berpendirian “kalau bukan kerana kita, tak menang puak-puak ini”, maka kita melupakan peranan dan sumbangan orang lain. Inilah yang dikatakan ego. Saya tak berniat nak ulas panjang hal ini. Masing-masing faham sebenarnya. Baik PKR mahupun PAS. Semuanya faham. Kita sangat berharap pimpinan kita dapat berbuat sesuatu dalam perkara ini.

Menyedari potensi untuk Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya akan datang ini, maka Wilayah Persekutuan menyeru saf kepimpinan parti dan semua ahli agar berbuat sesuatu yang konstruktif. Kita dah banyak dengar ugutan-ugutan daripada rakyat yang sokong kita, yang tak puas hati dalam banyak hal. Satu pesanan yang jelas untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita bersetuju dengan pandangan Datuk Seri bahawa rakyat Malaysia hari ini bukanlah bodoh. Rakyat Malaysia sedang memerhati. Namun begitu, Datuk Seri juga kena faham, rakyat Malaysia bukan sekadar memerhatikan BN tetapi rakyat Malaysia juga sedang memerhatikan kita dalam Pakatan Rakyat. People Power! Makkal Sakhti! Mereka akan menentukan dalam PRU-13 dengan izin Allah SWT.

Buat ahli PAS – tingkah laku kita adalah Islam. Kerja buat kita adalah Islam. Pemikiran kita adalah Islam. Maka, ikutlah Islam sepenuhnya. Tidak ada tempat untuk mereka yang mengikut kepala sendiri dalam PAS.

(Ini adalah sebahagian ucapan yang tak sempat dihabiskan oleh ana dalam ucapan sokongan usul terima kasih ucapan dasar Presiden pagi semalam.Sila ikuti teks ucapan penuh ana di bawah)

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails