SELAMAT DATANG

Rabu, 24 Jun 2009

Pas tunduk kepada tekanan – Shafie

KUALA LUMPUR 22 Jun – Orang Melayu kini mempunyai sebab yang jelas untuk bimbang mengenai kelangsungan pengaruh mereka selaku kaum majoriti.

Kebimbangan itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) apabila, dalam usaha untuk menyatukan kaum sendiri pun parti Pas tunduk kepada tekanan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sedih dengan senario itu, beliau berkata sikap tunduk pada DAP dan PKR seolah-olah menjadikan Melayu seperti golongan penakut.

“Kini rakyat boleh menilai siapa sebenarnya yang berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Siapa pula hanya mementingkan kepentingan politik semata-mata.


“Patutkah kita tunduk kepada pihak lain dalam usaha untuk menyatukan orang Melayu. Adakah mereka akan tunduk sama dalam isu yang berkaitan kepentingan kaum mereka. Tidak, mereka sebaliknya bersatu,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

Malah, pakatan pembangkang hari ini menuduh idea tersebut yang sebenarnya dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai fitnah dan tohmahan jahat UMNO untuk menggugat kekuatan mereka.

Menurut Mohd. Shafie, Pas seharusnya tidak tunduk kepada DAP dan PKR kerana mereka merupakan sebuah parti yang kuat.

Ditanya mengenai tuduhan yang dilemparkan ke atas UMNO, beliau berkata, Abdul Hadi ikhlas semasa membuat cadangan itu dan UMNO memberi reaksi yang positif demi menyatukan orang Melayu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menempelak pakatan pembangkang berhubung isu itu dengan menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

“UMNO membuat reaksi demi bangsa dan negara dan tidak lebih daripada itu. Reaksi UMNO ikhlas berdasarkan cadangan Abdul Hadi.

“Tetapi nampaknya selepas wujud bancuhan serta tekanan, Pas tunduk kepada rakan mereka dalam pakatan walaupun idea itu demi kepentingan orang Melayu,’’ jelasnya.

Katanya, ketetapan yang diambil oleh pakatan pembangkang itu terbukti menunjukkan mereka tidak ikhlas.

Namun ujarnya, UMNO akan tetap mengingati cadangan Abdul Hadi itu sebagai sesuatu yang murni.

Bercakap mengenai perkara yang sama, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan memberitahu, beliau telah menjangkakan pakatan pembangkang akan menolak cadangan Pas.

Bagaimanapun, jelas Ahmad, Pas sebenarnya boleh berdikari dalam isu-isu utama jika ingin meneruskan perbincangan dengan UMNO.

“Pas mempunyai kekuatan sendiri dengan memiliki 23 kerusi di Parlimen serta menerajui kerajaan negeri Kedah dan Kelantan,’’ tegasnya.

utusanonlie

Tiada ulasan:

Blog Yang Saya Lawati

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails