Wajarkah SPRM hentikan siasatan politik?
MEMETIK laporan media, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shukri Abdull telah mencadangkan dihentikan sementara ‘siasatan politik’ berkuat kuasa serta merta. Alasan yang diberikan bagi tindakan ini ialah kerana SPRM telah menerima kecaman akibat menjalankan siasatan ke atas apa yang disifatkan sebagai siasatan politik tersebut.

Dengan menghentikan siasatan ke atas perkara-perkara tertentu bererti SPRM telah secara langsung menunjukkan sikap penyiasatan terpilih. Ini boleh ditafsirkan sebagai mengamalkan dasar double standard.
Kita semua faham bahawa SPRM menghadapi banyak tekanan di dalam menjalankan tugas. Tetapi ia bukan bererti bahawa SPRM mesti tunduk.
Ini kerana tanggungjawab yang diamanahkan lebih besar daripada tekanan yang dihadapi oleh SPRM. Sepatutnya Datuk Shukri Abdull memikirkan apa yang wajar dilakukan jika beliau sudah tidak mampu menghadapi tekanan yang beliau hadapi.Menghentikan siasatan terhadap ahli politik atau campur tangan politik bererti memberi ‘lesen’ kepada pengamal rasuah untuk bermaharajalela.
Dengan taraf Suruhanjaya, SPRM adalah merupakan satu organisasi bebas dan tidak dipengaruhi dalam membuat sesuatu penyiasatan. Jangan pula nanti SPRM dilihat sebagai ‘hanya berani’ mengambil tindakan ke atas ‘ikan bilis’ dan membiarkan ‘jerung’ berbuat sesuka hati.
Malaysia ada undang-undang yang jelas dalam soal yang ada hubungkait antara satu sama lain. Contohnya menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas adalah merupakan perlanggaran undang-undang. Tidak kiralah orang awam atau orang politik. Kenapa kita terlalu ‘liat’ untuk menguatkuasa undang-undang yang telah ada?
Adakah seorang ahli politik terletak di atas undang-undang yang memberi mereka imuniti untuk tidak didakwa?Jika SPRM mengamalkan sikap berpilih di dalam penyiasatannya, percayalah rasuah akan terus berkembang dan SPRM sendiri akan hilang kredibiliti di mata rakyat.SPRM seharusnya bertindak lebih berani dan tidak tunduk dengan sebarang tekanan, terutama tekanan politik, tidak kira dari pihak kerajaan atau pihak pembangkang.
SPRM memerlukan pegawai-pegawai yang berani, berdedikasi, tegas, berintegriti. Mereka yang merasakan tidak berkemampuan untuk melaksanakan tugas eloklah meletakkan jawatan.
Sungai Buluh
Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan