الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ (١٨٥)
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur
Kita bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan buat sekian kalinya dalam hidup kita mulai esok di mana bulan ini dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya.
Raikanlah kehadiran Ramadhan kali ini untuk menambah amal ibadat bukan makanan lazat yang menambah berat badan. Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣)
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi tanpa usaha yang bersungguh dan sikap acuh tidak acuh. Kita mesti memilki 4 ciri utama taqwa melalui tarbiah madrasah Ramadhan yang bakal kita lalui sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :
Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi
Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Kita wajib memperkemaskan ilmu berkenaan puasa zahir dan batin agar puasa kita menjadi ibadat yang diterima Allah bukan hanya setakat adat yang sia-sia. Kita tidak mahu ibadat yang penting ini hanya dilaksanakan dalam keadaan teraba-raba setakat mengikut orang bukannya berdasarkan ilmu yang dipelajari. Jangan biarkan puasa kita setakat berlapar dahaga di dunia sahaja sedangkan di akhirat nanti hampa tanpa ganjaran atas apa yang dikerjakan. Jangan malu untuk belajar apatah lagi untuk bertanya agar kualiti puasa tahun ini lebih baik dari sebelum nya. Jika perkara dunia kita mahu yang terbaik, inikan pula perkara akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena kedatangan Ramadhan yang dijanjikan dengan pelbagai anugerah berharga daripada Allah ini maka marilah kita sama-sama menghidupkannya dengan ibadat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat terawih, menjamu orang berbuka puasa, sedekah, qiamullail dan sebagainya. Gunakanlah peluang dengan kehadiran Ramadhan sebaiknya dalam melahirkan diri sebagai umat yang bertaqwa kepada Allah sepanjang masa. Jangan biarkan diri kita terus tertewas kepada nafsu ketika teman rapatnya iaitu syaitan dirantai sebulan Ramadhan ini. Adalah malang apabila ada umat Islam yang tidak mahu berusaha untuk beramal dan bersifat sebagaimana ahli syurga ketika Allah membuka seluas-luasnya pintu Syurga dan bertambah malang apabila ada juga di kalangan umat Islam sendiri yang terus beramal dan bersifat sebagaimana ahli neraka pada bulan yang ditutup rapat pintu neraka. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال النبي e : إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ - رواه مسلم
Maksudnya : Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan
Tanyalah diri kita samada ibadat yang dikerjakan selama ini termasuk ibadat puasa adakah sudah mampu menewaskan nafsu dalam diri serta melahirkan diri kita sebagai umat yang begitu inginkan Syurga sehingga kita berlumba untuk beramal dan bersifat sebagaimana yang disuruh oleh Allah dan dalam masa yang sama kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh agar menjauhi amalan dan sifat ahli neraka dengan menghindari segala perbuatan yang dilarang oleh Allah. Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah bagi orang yang berpuasa penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :
قال الرسول e : ِإنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ - رواه ومسلم
Maksudnya : Sesungguhnya pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Islam merupakan agama fitrah yang sesuai dengan keadaan diri umat manusia. Kewajipan puasa bukanlah suatu penyeksaan dan penderaan kepada umat manusia sebaliknya di sana ada pelbagai kelebihan dan kebaikan yang terbit hasil daripada menunaikan ibadat puasa. Anugerah Ramadhan dapat menyaksikan bagaimana masjid dan surau yang sebelum ini agak kosong kini mulai ramai ahli jemaahnya terutama pada waktu malam. Tanpa anugerah Ramadhan maka agak susah untuk menarik umat Islam sendiri untuk berjinak dengan masjid dan surau walau pun masuknya percuma dan pintunya terbuka sepanjang masa.
Oleh itu kita mesti gunakan peluang dengan kehadiran ahli jemaah yang ramai pada bulan Ramadhan ini untuk mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan disamping menanam kukuh kesedaran serta membangkitkan semangat juang dalam melawan musuh batin yakni nafsu dan musuh zahir yang terdiri daripada musuh Islam yang tidak pernah jemu berusaha memerangi Islam. Ramadhan yang pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra dan pembukaan Kota Mekah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.
Jika kita boleh mengerjakan ibadat puasa kerana adanya rasa takut kepada Allah dalam diri maka kita juga wajib yakin bahawa kemenangan Islam pasti datang dengan syarat kita memenuhi tuntutan yang telah digariskan oleh Allah termasuk sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah sepanjang masa dengan ibadat serta menjauhi segala dosa yang boleh menyebabkan kita dihinakan oleh Allah di dunia serta disiksa pula dengan api neraka di akhirat sana. Ketika kita membaca dan meneliti ayat-ayat al-Quran maka di sana kita dapati pelbagai cara Allah mendatangkan kemenangan kepada umat Islam yang membantu agamaNya dan pelbagai akibat buruk pula yang menghancurkan umat yang melawan agama Allah walau pun mereka mendabik dada dengan kekuasaan dan kekayaan serta kehebatan yang ada pada diri mereka. Kita pada hari ini dapat menyaksikan bagaimana betapa hebatnya Amerika Syarikat sehingga dapat menjajah Afghanistan serta menghancurkan Iraq dalam masa yang singkat tetapi tidak mampu menghadapi bala daripada Allah berbentuk ribut yang menghancurkan beberapa buah negeri dan bandarnya. Manusia hanya mampu mengesan kedatangan ribut yang membolehkan mengurangkan angka kematian tetapi tidak mampu menangkis dan menghalang ribut tersebut.
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Apabila sebuah negara melahirkan individu, keluarga, masyarakat bermula daripada pemimpin sehinggal rakyat jelata daripada kalangan orang bertaqwa maka dijanjikan keberkatan kepada negara tersebut dan inilah yang kita idamkan selama ini. Tanpa masyarakat yang taqwa maka pelbagai masalah terus datang silih berganti bermula daripada kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak, masalah jenayah, penyakit berjangkit dan sebagainya. Pemikiran dan tindakan umat bertaqwa berbeza jauh daripada golongan yang memisahkan agama daripada sistem kehidupan seharian.
Umat bertaqwa sentiasa beriman bahawa setiap apa yang berlaku berdasarkan Qadha’ dan Qadar Allah di mana kita tidak boleh lari daripada bergantung harap kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku disamping sentiasa memikirkan tentang setiap bala ujian yang menimpa merupakan peringatan daripada Allah dalam menyedarkan hambaNya yang banyak melakukan perderhakaan disamping untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah.
Manusia yang tidak bertaqwa menganggap apa yang berlaku hanya disebabkan fenomena alam di mana hanya perlu dicari ubat untuk mengubatinya tanpa memikirkan bahawa penyakit yang menimpa merupakan kesan daripada kesalahan diri dan masyarakat yang banyak menolak kekuasaan dan kehebatan Allah. Kita dapat saksikan bagaimana masyarakat hari ini hanya takut kepada penyakit seperti selsema babi bukannya takut kepada Allah yang mencipta penyakit tersebut. Contohnya sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini hanya dibuat sederhana kerana bimbang jangkitan selsema babi yang telah meragut 68 nyawa sebagaimana berapa kali sambutan tahun baru dan merdeka sebelum ini hanya dibuat sederhana kerana tsunami dan banjir besar bukannya kerana takut kepada Allah.
Jika tiada bala Allah ini sudah kerap kali sambutan tahun baru dan merdeka walaupun jatuh pada bulan Ramadhan dicemari dengan program maksiat. Pemimpin hanya sibuk memperkatakan 95 peratus yang keluar demontrasi membantah ISA dari kalangan orang Melayu sedangkan mereka terus membiarkan lebih 90 peratus orang Melayu yang sentiasa memenuhi program maksiat yang berakhir dengan dadah, penzinaan dan sebagainya.
Sepatutnya SEMPENA DENGAN BULAN KEBERKATAN INI pemimpin negara mengarahkan kita supaya mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Allah agar dijauhi selsema babi sebelum sahur pagi esok di seleruh negara, kerana penyakit ini telah tersebar ke seluruh negara.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Apabila pemimpin tidak bertaqwa maka berlakunya pecah amanah, rasuah serta tindakan yang bercanggah dengan agama dalam mentadbir negara. Apabila peniaga tidak bertaqwa maka berlakulah sorok barang seperti gula bagi mengaut keuntungan berganda. Malah di tengah kekalutan selsema babi maka diambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam menjual penutup muka dan ubat virus sehingga timbul dakwaan bahawa selsema babi dicipta oleh golongan kapiltalis untuk mengaut keuntungan daripada ubat atau vaksin yang dijual.
Namun kita yakin bahawa setiap apa yang berlaku adalah antara tanda kekuasaan Allah. Oleh itu marilah kita menggunakan kesempatan dengan kedatangan Ramadhan untuk melahirkan pemimpin dan rakyat jelata yang bertaqwa sehingga negara dilimpahi keberkatan manakala pelbagai masalah dapat disekat daripada terus melarat. Islamlah nescaya kita selamat, negara berkat, dunia bahagia, akhirat sentosa
Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :
وَإِذَآ أَذَقۡنَا ٱلنَّاسَ رَحۡمَةً۬ فَرِحُواْ بِہَاۖ وَإِن تُصِبۡهُمۡ سَيِّئَةُۢ بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيہِمۡ إِذَا هُمۡ يَقۡنَطُونَ
Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan