
Alangkah bagusnya – dan tentulah sesuatu yang amat dibanggakan – sekiranya carta itu adalah untuk kejuaraan-kejuaraan berprestij dunia seperti Olimpik, golf, grand prix, bola sepak dan sebagainya.

Dengan 56 maut kita mencatatkan kadar kematian tertinggi (2 peratus), berbanding negara-negara lain di rantau ini – Vietnam (0.08), Hong Kong (0.067), dan Australia (0.34).
Bandingkan kita dengan negara-negara lain: 56 orang kita maut dari keseluruhan 2,253 kes yang disahkan positif H1N1. Vietnam 1 kematian (1,211 kes), Hong Kong 4 kematian (5,991 kes), Australia 95 kematian (27,663 kes), Singapura hanya 9 kematian.
Walaupun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkali-kali meminta orang ramai supaya jangan panik, nampaknya rakyat – tidak kira di kampung, lebih-lebih lagi di bandar – tidak dapat lagi menerima kata-kata menteri itu.
Pergilah ke mana-mana klinik dan hospital kerajaan sekarang, pasti menteri berkenaan akan merasakan betapa orang ramai panik. Baik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buluh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang), orang berpusu-pusu untuk mendapatkan rawatan dan pengesahan wabak maut ini.
Bahawa hospital-hospital kerajaan sesak, sehingga ada yang menunggu hingga enam jam untuk bertemu doktor, adalah bukti orang ramai gelisah @ bimbang @ gelabah @ panik. Kerajaan sahaja yang masih tidak panik, sedangkan seluruh rakyat sudah lebih dari panik.
Lagi pun ada sebab untuk mereka panik. Kita berhadapan dengan maut. Dengan jumlah yang terkena virus maut ini purata 150 setiap hari, dan kematian lima enam orang setiap hari sejak dua minggu lalu, hanya mereka yang tidak waras sahaja tidak berasa bimbang.
* DALAM ruangan ini minggu lalu pun Tok sudah menyentuh mengenai H1N1. Tok sudah menyatakan kebimbangan sebab sudah ramai yang mati kerana kuman babi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menegaskan bahawa wabak ini adalah satu ancaman serius terhadap negara.
Dalam kenyataannya minggu lalu, Najib juga memberitahu akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Kesihatan untuk meneliti perkara ini. Tidaklah diketahui apakah perbincangan itu sudah dilakukan, tetapi nampaknya tidak ada apa-apa tindakan drastik untuk menangani kuman babi ini.
Dua hari lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun mengakui Influenza khinzir ini sudah berada pada tahap ‘perlu tangani’, iaitu berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau memberitahu akan meneliti cadangan beberapa pihak untuk mengumumkan ‘zon panas’ mengenai wabak ini. “Saya akan bertemu dengan Menteri Kesihatan untuk berbincang sama ada wajar perkara ini dilakukan,” katanya kepada media. Orang ramai berharap PM dan TPM bincang dengan Menteri berkenaan secepat mungkin, sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Ada cadangan dari pembangkang supaya diisytiharkan darurat untuk memudahkan langkah-langkah drastik dilakukan bagi menangani masalah ini. Ada juga yang mahu sidang khas Parlimen diadakan membincangkan perkara ini. Lim Kit Siang pula mahu Liow memberi penjelasan mengapa kadar kematian H1N1 di negara kita terlalu tinggi?
Tun Dr Mahathir pula menjelaskan betapa langkah keselamatan di lapangan terbang kita masih agak longgar berbanding negara-negara lain seperi Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Pendek kata macam-macam cadangan sudah dikemukakan sebagai bukti bahawa semua pihak memang prihatin terhadap masalah yang dihadapi sekarang. Adalah jelas apa yang terjadi ini menunjukkan kelemahan kita menangani masalah ini.
Kalau di negara lain, khasnya Jepun, pasti ada Menteri yang meletakkan jawatan kerana rasa bertanggungjawab atas sesuatu kegagalan. Di negara kita meletak jawatan kerana kegagalan dan kelemahan belum lagi menjadi amalan dan tradisi. Apakah kes H1N1 ini akan memulakan tradisi itu?
* KETIKA rasa panik semakin memuncak berikutan angka kematian H1N1 yang melonjak setiap hari, pemain-pemain politik kita masih tidak habis-habis dengan cabar-mencabar, tuduh-menuduh, bodoh-membodoh, maki-memaki, antara satu dengan lain.
Pantang ada isu, semua orang cepat melenting. Parti A kata parti B bodoh. Parti C tuduh parti D rasuah. Kemudian masing-masing mendabik dada dan cuba sengseng lengan untuk menjadi hero.
Masing-masing pun keluar kenyataan berapi-rapi bagaikan Hang Jebat mencabar Hang Tuah. Para juak pun ikut sama memekik dan membodek, hingga pelakon utama naik semangat dan kadang-kadang mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal.
Air liur bersembur-sembur ketika bercakap, gigi palsu tercabut, seluar terlondeh, tetapi akhirnya semua tidak jadi. Isu yang hangat mulanya hilang begitu sahaja, sehinggalah isu baru dibangkitkan dan air liur bersembur lagi.
Sudah dekat dua tahun sejak pilihan raya umum ke-12, tsunami politik masih tidak reda. Setiap hari ada sahaja yang tidak kena. Antara parti pemerintah dan parti pembangkang tidak habis-habis bercakaran. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah.
Kita sekarang sedang menghadapi bala. Orang kita mati satu demi satu akibat wabak maut H1N1. Apakah tidak boleh, untuk sekali ini, pemain-pemain politik kita lupakan isu politik, dan tumpukan usaha untuk sama-sama memerangi kuman babi?
Apakah tidak boleh, untuk sekali ini, kita hentikan kenyataan-kenyataan yang boleh menyakiti pihak lain? Apakah tidak boleh kita semua lupakan politik dan betul-betul berkhidmat untuk rakyat?
Rakyat sudah bosan – malah meluat – melihat gelagat hero-hero politik kita tidak habis-habis bertelagah. Tidak kira pemerintah atau pembangkang, sekiranya masa banyak dihabiskan hanya untuk serang-menyerang politik, bila pula masanya untuk berkhidmat kepada rakyat?
Ingatlah sudah lebih 50 orang kita maut akibat H1N1 dan kemungkinan untuk angka itu meningkat memang sentiasa ada. Kita sekarang menghadapi masalah yang jauh lebih besar dan lebih mencabar dari sekadar hendak menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar. Cukup-cukuplah berpolitik!
* BELUM hilang lenguh lutut, dan belum baik serak tekak kerana kempen di Manek Urai, Kelantan, kita hendak menjerit lagi untuk kempen pada satu lagi pilihan raya kecil, kali ini di Permatang Pasir pula.
Tidak kira berapa banyak calon bebas, macam di Manek Urai, pilihan raya kecil di Pulau Pinang ini pun adalah perlawanan antara Pas dan UMNO. Walaupun musim H1N1, dan puasa sehari dua lagi, Permatang Pasir tetap jadi tumpuan.
Tok tidak kisah berapa ramai calon yang akan bertanding, sebab kita negara demokrasi semua orang boleh bertanding – walaupun sesetengahnya siang-siang sudah tahu akan kalah.
Cuma, Tok minta janganlah sebab hendak menang kita berkempen hingga lupa diri. Ingatlah bulan puasa. Elakkan maki-hamun, umpat-mengumpat, caci-mencaci...juga bodek-membodek ketika kempen. Jangan kurangkan pahala puasa hanya kerana kempen.
Kalau ambil contoh Manek Urai dulu, sepanjang kempen semuanya berjalan baik dan aman, malah antara yang paling sopan dalam sejarah pilihan raya kita. Tok harap di Permatang Pasir kesopanan itu dapat dikekalkan.
* PUASA belum pun bermula, tetapi kesan Ramadan sudah terasa sejak dua minggu lalu. Kesan pertama, tidak fasal-fasal gula hilang dari pasaran. Banyak tempat melaporkan bahan pemanis itu sukar diperoleh, atau tidak ada langsung.
Seperti biasa bila bahan-bahan penting tiba-tiba tiada, beberapa pihak bertelagah pendapat. Peruncit kata, mereka tidak dapat bekalan dari pengedar. Pengedar kata, mereka tidak dapat bahan dari pengilang (pengeluar).
Pengilang pula kata mereka keluarkan gula macam biasa, tidak sekatan. Kerajaan pula setiap hari kata bekalan cukup, jangan panik. Jangan panik lagi! Ada pun yang betul-betul tahu adalah pengguna. Hendak dapat sekilo gula pun kena merayau satu bandar. Mudah-mudahan krisis gula dapat diatasi sehari dua...
Kesan kedua, Tok semalam ikut isteri ke beberapa pasar raya. Mengejutkan, puasa belum bermula, ada pasar raya sudah memainkan lagu raya. Demikianlah orang kita, tidak kira gula ada atau tidak, tidak kira H1N1 atau tidak, tidak kira ekonomi meleset atau tidak, semangat raya sentiasa tinggi! - TOK PERAK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan