
Oleh itu pastikan umara’ yang memimpin merupakan orang yang alim tentang hukum hakam Allah dan amanah dalam menjalankan tugasannya manakala ulama’ pula mesti benar-benar faham agama dan menunaikan segala tugas yang terpikul di atas bahunya bersesuaian dengan tugas sebagai pewaris nabi yang merupakan penerus kepada tugasan yang ditinggalkan oleh para nabi dan rasul. Kuasa yang ada pada umara’ adalah amanah bukannya suatu anugerah untuk digahkan di mana setiap tugasannya bakal dihitung di hadapan Allah nanti.

Bila tugas dan amanah yang dipikul begitu besar maka ganjarannya di akhirat nanti juga begitu besar dengan syarat mereka menjalankan tugas mengikut apa yang wahyu pinta bukannya berdasarkan apa yang nafsu minta. Kegagalan dalam melaksanakan amanah menyebabkan mereka terjerumus ke lembah neraka yang begitu dahsyat penyiksaannya.
Pada hari ini kebiasaannya apabila disebut umara’ dan ulama’ maka akan terbayang diruang mata dua jawatan yang berbeza dipikul oleh dua orang yang berlainan. Berbeza dengan zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin dan beberapa khalifah di zaman khilafah selepas mereka di mana umara’ terdiri daripada golongan ulama’ yang menyebabkan tiada banyak pertikaian dan pertembungan yang berlaku. Khulafa’ ar-Rasyidin terutamanya begitu jelas keilmuan mereka dalam masalah ilmu agama dan mampu pula mentadbir urusan dunia berasaskan apa yang disuruh oleh syarak yang membawa kepada kurangnya pertembungan antara umara’ dan ulama’.
Keadaan agak berlainan apabila umara’ dipilih samada melalui amalan monarki atau pilihanraya dan sebagainya terdiri daripada mereka yang jahil maka pertembungan golongan ini dengan golongan ulama’ begitu jelas dan ketara sekali. Apabila umara’ terdiri daripada mereka yang jahil tentang hukum hakam agama menyebabkan ulama’ turut berpecah di mana ada ulama’ yang bangun menentang kezaliman dan kesesatan yang berlaku dan ada pula ulama’ yang mengambil sikap berdiam diri serta ada juga ulama’ yang berdamping dengan umara’.
Ulama’ yang berdamping dengan umara’ pula terbahagi kepada ulama’ yang mampu memberi nasihat kepada pemimpin atau pun ulama’ yang hanya bertindak mendengar nasihat dan mengampu pemimpin sahaja. Tindakan ulama’ yang berdamping dengan umara’ yang jahil akan memberi kesan positif dan negatif bergantung kepada sikap umara’ samada mahu menerima pakai nasihat ulama’ atau menentangnya. Apa yang paling banyak berlaku dalam sejarah Islam ialah apabila terlantiknya umara’ jahil maka banyak nasihat ulama’ yang tidak berkenan dengan nafsu mereka ditolak.
Apa yang lebih malang ialah apabila terlantiknya umara’ jahil didampingi pula oleh ulama’ palsu atau jahat maka keadaan bertambah buruk apabila ulama’ jahat ini bertindak menghasut umara’ jahil untuk melakukan kezaliman dan kesesatan termasuk memenjara malah membunuh golongan ulama’ yang bangun menentang kezaliman dan kesesatan mereka sebagaimana pernah di hadapi oleh imam Syafie, imam Ahmad bin Hanbal dan selainnya dalam berhadapan dengan golongan sesat muktazilah yang berselindung di sebalik khalifah yang dikuasai oleh mereka.Oleh itu umat Islam mestilah menambah ilmu setakat yang termampu dalam mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan umara’ jahil dan ulama’ palsu.
Umat Islam hari ini berpecah akibat kejahilan yang membawa kepada kedegilan untuk tunduk di bawah panji Islam. Perpecahan bertambah celaru akibat pemimpin yang jahil dan ulama’ yang terlalu ditekan sehingga banyak kesesatan dan kezaliman tidak mampu ditangani dengan sebaiknya. Perpaduan boleh dicapai apabila pemimpin turut bersatu dengan mengikut kehendak Allah dan rasulNya dan golongan ulama mestilah dibebaskan untuk bersuara dalam menyatakan kebenaran. Ulama’ boleh bersatu atas kebenaran dan boleh bertindak sebagai penasihat dalam pembinaan tamadun kebendaan dan kemanusiaan. Sebaliknya apabila ulama’ yang tiada kuasa ditambah dengan umara’ jahil yang menekan mereka akan menyebabkan suara ulama’ tidak mampu direalisasikan.
Ulama’ boleh bersatu untuk mengharamkan arak, judi, zina, murtad, riba dalam memastikan kerosakan akhlak dan aqidah serta kemunduran ekonomi dapat ditangani tetapi kuasa untuk melakukannya terletak pada tangan umara’ di mana jika umara’ mendengar kesatuan suara ulama’ maka sudah tentu masalah ini dapat diselesaikan dengan jaya tetapi jika ulama’ sahaja bersatu memberi pendapat sedangkan umara’ bersatu menentang resolusi yang dibuat maka tiada hasil yang dapat dilihat malah kerosakan dan kezaliman terus bertambah melarat.
Ulama’ sentiasa membuka jalan untuk bersatu dan memang ulama’ wajib berlapang dada dalam menyatukan umat dengan syarat kesatuan pemikiran dan tindakan mestilah berlandaskan al-Quran dan Sunnah bukan selainnya. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah golongan umara’ yang terus memerangi ajaran Islam yang lengkap walau pun telah dinasihat secara lembut atau ditegur secara terang. Oleh itu masalah perpecahan umat bukan salah ulama’ tetapi akibat kejahilan umat dan tindakan keras umara’ dalam memerangi ajaran Islam yang menyeluruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan