
Apakah ubat mujarab dalam mencegah diri kita daripada dipengaruhi oleh usia dan keadaan sekeliling. Setelah meneliti dengan jiwa yang murni dan pemikiran yang matang maka tiada jawapan selain daripada ilmu agama sahaja yang mampu dijadikan benteng daripada dihakis oleh gelombang arus deras keruntuhan akhlak yang semakin menjadi-jadi tanpa mengira di mana kita berada samada di kota atau di desa.
Ilmu agama adalah begitu penting untuk membawa diri ke arah mencapai keimaman yang lebih mendalam serta melahirkan diri yang tidak jemu untuk tunduk patuh kepada segala perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Jika manusia tanpa makanan dan minuman boleh mati kebuluran maka begitulah juga dengan manusia tanpa agama boleh mati kesesatan.
Ilmu agama bukan sekadar berperanan sebagai pengetahuan yang dipelajari hanya untuk diketahui sahaja tetapi ia dituntut agar diamalkan dalam kehidupan seharian. Ilmu sahaja tanpa pengamalan tidak mampu memberi kesan kepada perubahan manusia ke arah yang terbaik. Begitu juga amalan sahaja tanpa ilmu akan membawa kepada banyak penyelewengan yang menyebabkan manusia mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa dan bagaimana ianya mampu dicapai.
Ilmu agama yang dimiliki dan diamalkan oleh setiap individu akan berperanan besar bermula daripada diri sendiri seterusnya mempengaruhi masyarakat sekeliling dan terus berkembang ke peringkat yang lebih luas. Ini bersesuaian dengan sifat agama Islam itu sendiri yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terhad kepada masalah peribadi tetapi turut berperanan dalam mengawal gerak geri masyarakat dan pemerintahan negara yang lebih besar.
Kadang-kadang Islam dipersoalkan tentang kemampuannya dalam menangani masalah keruntuhan akhlak akibat daripada jumlah umat Islam yang terlibat dengan pelacuran melebihi 60% , najis dadah, arak dan sebagainya. Ramai yang mendakwa bahawa jika ilmu agama mampu mengawal umat Islam daripada kerosakan dan keruntuhan akhlak ini maka mengapakah perkara negatif ini bukan sahaja terus terjadi malah semakin bertambah.
Adakah jawapan yang biasa didengar iaitu mereka yang terlibat kurang memahami atau mempelajari ilmu agama boleh terus menjadi alasan sedangkan mata pelajaran agama di peringkat sekolah dan universiti semakin dikurangkan. Ilmu tanpa amalan adalah sesuatu yang menjadi jenayah besar dalam Islam. Mengapa ilmu Islam banyak tidak diamalkan. Adakah salah individu semata-mata atau banyak kesalahan disebabkan oleh pengabaian pemimpin dalam memartabatkan ilmu dan pengamalan Islam dalam negara.
Manusia tidak boleh hidup tanpa peraturan di mana ilmu boleh memahamkan mereka tentang halal dan haram tetapi dalam kebanyakan waktu ia tidak mampu mengawal manusia melainkan ada undang-undang pencegah yang menggerunkan mereka daripada terlibat dengan jenayah sosial. Undang-undang pencegah hanya ada pada hukum Islam kerana ada jaminan daripada Allah sedangkan hukuman manusia bukan sahaja tiada jaminan daripada Allah malah dimurkai oleh Allah.
Apabila apa yang diguna pakai samada dari segi pemerintahan, ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bercanggah dengan Islam maka di sana timbul krisis keyakinan ilmu yang menyebabkan ilmu Islam terabai dan kurang diamalkan di peringkat yang lebih luas. Apabila ilmu Islam dilihat pada pandangan yang sempit iaitu rukun Islam, nikah kahwin sahaja maka umat Islam terus menjauhi ajaran Islam yang menyeluruh. Perkara ini menyebabkan umat Islam sendiri mudah hanyut dengan nafsu serta ditenggelamkan oleh godaan dunia.
Akhirnya umat Islam hanya beribadat khusus sahaja mengikut ajaran Islam sedangkan cara hidup mereka bertentangan dengan kehendak Allah. Bagi golongan ini melihat bahawa cukup sekadar ibadat khusus untuk mengejar kebahagiaan akhirat sedangkan mereka lupa bahawa amalan dunia yang lain turut dihisab oleh Allah di akhirat nanti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan